nikalila



Psikologi Abnormal: Kecelaruan Sakit (Pain Disorder)

1.0       Pengenalan

Kecelaruan sakit adalah merupakan kecelaruan yang dikategorikan dalam kecelaruan Somatofora. Menurut Ma’rof dan Haslinda (2003), istilah somatofora secara umumnya adalah merujuk kepada tubuh badan iaitu yang berkaitan dengan simptom-simptom yang menyebabkan kesakitan kepada keadaan fizikal seseorang. Kecelaruan-kecelaruan yang digolongkan dalam kecelaruan Somatofora dicirikan sebagai rasa sakit pada fizikal, tetapi dalam masa yang sama kesakitan tersebut bukan datang daripada sebarang kecederaan fizikal. Simptom kecelaruan sakit ini bukanlah disebabkan oleh faktor fizikal, fisiologi ataupun biologikal tetapi sebenarnya disebabkan oleh faktor psikologikal (Coon, 2002). Individu yang mengalami kecelaruan sakit ini percaya bahawa mereka mempunyai masalah dari segi keadaan fizikal. Sebagai contohnya disini, seseorang itu merasa sakit di bahagian-bahagian tertentu dalam tubuh badannya yang difikirkan sebagai berpunca daripada faktor fizikal, tetapi apa yang sebenarnya menjadi punca kesakitan itu ialah disebabkan oleh faktor psikologikal.

Kecelaruan sakit sebagai salah satu daripada sub kategori kecelaruan Somatofora dijelaskan sebagai kecelaruan dimana seseorang itu merasa sakit, contohnya rasa sakit di bahagian dada, kepala, perut, sendi ataupun belakang, walaupun dari sudut fizikalnya bahagian-bahagian tersebut tidak ada tanda-tanda sakit. Kecelaruan sakit ini lazimnya terjadi ketika seseorang itu mengalami tekanan perasaan yang tinggi (Ma’rof & Haslinda, 2003). Istilah lain yang digunakan untuk merujuk kepada kecelaruan ini ialah kecelaruan sakit Psikogenik, iaitu seseorang yang mengadu mengalami sakit namun sebaliknya tiada asas fizikal yang nyata bahawa ia sakit. Rasa sakit yang dialami tersebut sebenarnya boleh dikawal secara sukarela (Azizi & Jamaludin, 2007).

Secara umumnya kita biasanya akan mengaitkan kesakitan yang dialami di bahagian-bahagian tubuh badan seperti di kepala, dada, belakang dan sebagainya adalah disebabkan oleh faktor fizikal seperti keadaan otot kita yang lemah atau lenguh namun terdapat juga kesakitan yang dirasakan di bahagian-bahagian tersebut adalah disebabkan oleh faktor psikologikal seperti emosi dan kognitif kita. Individu lazimnya akan mencari jalan penyelesaian mengatasi rasa sakit yang dialami tersebut dengan berjumpa dengan doktor dan pengamal-pengamal perubatan yang lain tanpa menyedari bahawa ia adalah disebabkan oleh individu itu sendiri. Menurut Stannard dan Booth (2004), kebanyakan pesakit yang mengalami rasa sakit dan golongan pengamal perubatan profesional mempunyai anggapan yang salah bahawa kesakitan yang dirasakan pada fizikal seseorang adalah disebabkan oleh kerosakan tisu badan, namun pada hakikatnya kedua-duanya adalah tidak berkaitan. Kesakitan secara umumnya adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti kederiaan, emosi dan kognitf yang berlaku di dalam otak yang mana ia dipengaruhi oleh pengalaman-pengalaman lalu sejak peringkat kanak-kanak sehinggalah membesar dan faktor lain seperti sosial dan budaya (Bond & Simpson, 2006).  

Dalam senario yang berlaku di negara ini, masyarakat secara umumnya masih belum mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan jenis kecelaruan sakit ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh kekurangan pengetahuan dan pendedahan berkaitan masalah mental. Masyarakat di negara ini biasanya akan menganggap rasa sakit yang berlaku di bahagian-bahagian fizikal seperti sakit kepala, sakit dada, sakit belakang, sakit pinggul dan bahagian-bahagian fizikal yang lain adalah disebabkan oleh faktor biologikal, sebagai contohnya mereka menganggap bahawa rasa sakit itu adalah disebabkan oleh keletihan yang dirasakan sewaktu bekerja atau ketika melakukan kerja-kerja berat. Faktor-faktor tersebut sebenarnya boleh juga diambil kira sebagai penyebab kesakitan tersebut namun sebenarnya mereka tidak mengetahui atau menyedari bahawa faktor psikologikal seperti tekanan juga menyebabkan timbulnya rasa sakit tersebut. Sebagai contohnya dalam situasi masyarakat kita pada hari ini, golongan yang sering dikaitkan dengan kesakitan fizikal adalah melibatkan golongan dewasa ataupun golongan tua. Kita sering kali mendengar mereka akan mengeluh berkenaan rasa sakit yang dirasakan pada fizikal, perkara seperti ini adalah dianggap biasa oleh kita kerana kita mungkin akan menganggap ia adalah kesan daripada keletihan sewaktu bekerja ataupun kesan daripada faktor peningkatan umur yang disebut sebagai “sakit tua”. Sebenarnya terdapat faktor psikologikal yang boleh menyebabkan kesakitan tersebut, sebagai contohnya golongan dewasa yang berkerja yang mengalami rasa sakit pada bahagian fizikal mungkin adalah berpunca daripada kesan tekanan kerja dan tanggungjawab berat yang dipikul oleh mereka. Bagi golongan tua pula rasa sakit yang dialami mereka mungkin adalah disebabkan oleh tekanan yang dialami kesan daripada perasaan takut disisihkan oleh ahli keluarga ataupun ingin mengambil perhatian ahli keluarga. Dalam hal ini, aspek psikologikal adalah merupakan penyebab utama kepada berlakunya kecelaruan sakit.          

2.0       Pandangan daripada beberapa teori terhadap kecelaruan sakit.

Teori psikologi awal yang dikaitkan dengan kesakitan pada umumnya mula diperkenalkan oleh Arisotle. Menurut beliau, sakit adalah dikaitkan oleh lima deria iaitu deria penglihatan, deria pendengaran, deria bau, deria rasa dan deria sentuhan. Beliau turut menjelaskan bahawa sakit adalah sebahagian daripada apa yang disebutnya sebagai “Passion of the soul”. Pandangan teori sakit yang diutarakan oleh beliau ini telah mempengaruhi beberapa pendapat tokoh lain termasuklah juga Avicenna (Ibnu Sina) yang menganggap bahawa rasa sakit mempunyai hubungkait dengan emosi seseorang (Bond & Simpson, 2006).     

Pada masa kini terdapat beberapa pandangan dan teori yang cuba menerokai masalah kecelaruan sakit. Menurut Ma’rof dan Haslinda (2003) terdapat beberapa teori atau model cuba menerangkan dan menghuraikan faktor-faktor yang menyumbang kepada kecelaruan sakit. Dari sudut pendekatan Biopsikologikal, pendekatan ini melihat kecelaruan sakit berkait rapat dengan faktor genetik. Kajian yang dijalankan terhadap pasangan kembar seuri menunjukkan kecenderungan untuk mengalami kecelaruan ini adalah lebih daripada tiga kali ganda berbanding daripada kembar fraternal. Faktor biologikal lain seperti pasangan yang mengalaminya juga turut mempengaruhi kecenderungan anak-anak untuk mengalami kecelaruan sakit ini.

Pendekatan Psikoanalisis yang dipelopori oleh Sigmund Freud juga tidak ketinggalan dalam mengutarakan pandangannya terhadap kategori kecelaruan ini. Freud menjadikan faktor histeria sebagai asas kepada kecelaruan seperti ini, menurut beliau histeria adalah berpunca daripada impuls seksual yang ditekan. Kebimbangan tersebut kemudiannya ditukarkan kepada simptom-simptom fizikal yang bersifat simbolik, contohnya seperti kaki yang lumpuh yang akan menyebabkan seseorang wanita untuk mengelak daripada bertindak ke atas impuls seksualnya. Freud menamakan kecelaruan ini sebagai histeria penukaran dan kini istilah tersebut diubah menjadi kecelaruan penukaran. Kecelaruan penukaran ini sebenarnya tidak jauh bezanya dengan kecelaruan sakit. Apa yang membezakan kedua-dua kecelaruan ini ialah bahagian simptom sakitnya, sebagai contohnya dalam kecelaruan penukaran seseorang itu menyatakan bahawa tangannya lumpuh tetapi sebenarnya tangannya dalam keadaan normal atau baik. Bagi contoh kecelaruan sakit pula adalah seperti menyatakan rasa sakit pada bahagian dadanya tetapi sebenarnya tidak apa-apa penyakit fizikal yang menyebabkan dadanya sakit. Bagi Freud kecelaruan ini terjadi apabila seseorang bertindak menekan impuls seksualnya.

Dari sudut pendekatan Behaviorisme pula, teori psikologi ini mengandaikan bahawa kecelaruan sakit ini terjadi kerana mereka yang mengalami kecelaruan ini diberi peneguhan berdasarkan perhatian yang diperolehi atau pengurangan tanggungjawab. Kanak-kanak mungkin cenderung mengalami kecelaruan sakit selepas mereka memerhatikan orang lain seperti ahli keluarga mereka diberi peneguhan bagi simptom kesakitan fizikal mereka. Sebagai contohnya disini katakanlah salah seorang ahli keluarga tersebut sering mengadu rasa sakit pada di bahagian dada atau bahagian fizikal yang lain (mengalami kecelaruan sakit) individu seperti ini mudah mendapat perhatian daripada ahli keluarga, begitu juga halnya individu seperti ini biasanya akan dielakkan daripada melakukan daripada melakukan kerja-kerja berat atau tanggungjawab tertentu. kedua-dua situasi seperti inilah sebenarnya menerangkan apa yang dimaksudkan dengan peneguhan diberi perhatian dan pengurangan tanggungjawab. Oleh itu teori ini melihat bahawa kecelaruan sakit ini adalah dipelajari atau ditiru daripada peneguhan yang diterima oleh orang yang berada di persekitaraannya. 

Satu lagi pendekatan yang melihat faktor yang menyumbang kepada kecelaruan sakit ini ialah pendekatan Humanistik. Menurut teori ini, kecelaruan ini adalah salah satu cara manusia cuba melindungi diri melalui pencacatan-kendiri. Dengan mencacatkan diri, manusia dapat lari daripada diberi tanggungjawab, seterusnya melalui cara tersebut manusia dapat menyelamatkan air muka mereka. Misalnya seseorang individu yang mengalami tekanan perasaan yang berat untuk menjalankan sesuatu tanggungjawab akan merasa sakit di bahagian-bahagian fizikal yang tertentu, melalui cara tersebut individu tersebut akan dapat lari daripada diberi tanggungjawab.

3.0       Jenis-jenis kecelaruan sakit

Terdapat tiga jenis kecelaruan sakit iaitu yang pertama ialah kecelaruan sakit yang berkaitan dengan faktor psikologikal. Bagi kategori kecelaruan sakit ini, faktor psikologikal memainkan peranan utama sebagai punca daripada peringkat permulaan sehinggalah kepada pengekalan kecelaruan ini (Lianos, 2008). 

Jenis kecelaruan kedua pula ialah kecelaruan sakit yang berkaitan dengan faktor psikologikal dan keadaan perubatan. Bagi kategori kecelaruan sakit ini, kedua-dua faktor iaitu faktor psikologikal dan keadaan perubatan (kesihatan) memainkan peranan sebagai punca daripada peringkat permulaan sehinggalah kepada pengekalan kecelaruan ini. Klasifikasi perkaitan keadaan perubatan atau bahagian anatomi ini biasanya dirujuk di bawah paksi ketiga DSM-IV-R.

Jenis kecelaruan ketiga ialah kecelaruan sakit yang berkaitan dengan keadaan perubatan. Bagi kategori kecelaruan sakit ini, keadaan perubatan memainkan peranan utama sebagai punca daripada peringkat permulaan sehinggalah kepada pengekalan kecelaruan ini. Kod diagnosis kesakitan lazimnya dipilih berdasarkan kepada bahagian anatomi yang sakit, contohnya seperti tulang belakang, pinggul, kepala, leher dan sebagainya.

 Terdapat dua kategori spesifik yang terkandung di dalam kecelaruan sakit ini. Kecelaruan ini dapat dikategorikan kepada tahap akut dan juga tahap kronik. Bagi tahap akut, kecelaruan sakit yang dialami adalah dalam tempoh jangka masa kurang daripada enam bulan. Bagi tahap kronik pula, kecelaruan sakit yang dialami adalah dalam tempoh jangka masa lebih daripada enam bulan.

4.0       Simptom dan punca kecelaruan sakit

Terdapat beberapa simptom-simptom kecelaruan sakit dan ianya bergantung kepada bahagian anatomi tubuh badan atau fizikal yang dirasakan sakit. Antara simptom kecelaruan sakit yang dikenal pasti ialah seseorang individu yang mengalaminya mempunyai tahap kognitif yang negatif dan tidak menentu. Seseorang itu akan akan menjadi tidak berdaya dan berasa putus asa disebabkan keperitan sakit yang dialaminya. Dari segi kesihatan dan kualiti hidup, individu yang mengalami kecelaruan ini akan menunjukkan tanda-tanda menjadi orang yang pasif, lemah, kurang melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti tertentu dan seolah-olah menjadi orang kurang upaya. Selain itu mereka juga akan mengalami kesukaran untuk tidur malam (insomia) dan sering berada dalam keletihan. Dari sudut kehidupan sosial, individu yang mengalami kecelaruan berhadapan dengan masalah hubungan sosial dengan orang persekitaraan, contohnya hubungan sosial di rumah, di tempat kerja ataupun di sekolah. Akhir sekali ialah individu-individu ini akan menunjukkan simptom seperti sentiasa berada di bawah tekanan.

Individu-indivdu yang mengalami kecelaruan sakit biasanya akan mengalami kesakitan di bahagian-bahagian anatomi tubuh badan, iaitu sama ada sakit di bahagian kepala, leher, dada, perut, belakang, pinggul dan sebagainya lagi. Seperti mana yang telah dijelaskan sebelum ini, faktor psikologikal adalah merupakan penyumbang terbesar kepada punca berlakunya kecelaruan sakit ini. simptom-simptom kecelaruan sakit ini biasanya terjadi dalam tempoh masa sebulan dan ada juga mencecah sehingga bertahun-tahun lamanya (Bond & Simpson, 2006).

Model Biopsikososial berkenaan kecelaruan mental melihat tiga punca utama berlakunya kecelaruan sakit ini, model ini lebih melihat kecelaruan ini berpunca dari sudut biologikal, psikologikal dan sosial. Dari sudut biologikal punca yang menyebabkan kecelaruan sakit terjadi ialah masalah organik dalam tubuh badan manusia dan keadaan perubatan. Contohnya ialah seperti kerosakan tisu fibromuscular, tulang menjadi susut, masalah organ dalaman, masalah pencernaan ulser, migrain yang menyebabkan sakit kepala dan sebagainya lagi yang boleh menyebabkan kesakitan di bahagian tubuh badan tertentu.

Dari sudut psikologikal pula punca yang menyebabkan kecelaruan ini ialah disebabkan tekanan emosi. Tekanan dan kebimbangan merupakan perasaan yang sering kali dikaitkan dengan kesakitan. Satu lagi faktor psikologikal yang menyebakan kecelaruan ini terjadi ialah pengalaman terhadap rasa sakit. Bentuk atau tahap kesakitan dan tempoh mengalami kesakitan tersebut adalah faktor penentu utama kepada tekanan, pengurusan sakit yang tidak baik dan efektif akan menyebabkan seseorang individu berada dalam keadaan tertekan.

Seterusnya ialah punca kecelaruan sakit dari sudut faktor sosial. Antara punca tersebut ialah kelemahan fungsi sosial. Kesakitan biasanya akan memuncak apabila seseorang rasa kehilangan aktiviti yang bermakna atau hubungan sosial dengan orang di sekelilingnya. Kesannya individu cenderung mengasingkan dirinya, menahan perasaan marah dan seterusnya menyebabkan kesakitan yang dialami meningkat. Menurut Wallace dan Staats (2005), hubungan konteks sosial iaitu hubungan interpersonal yang lemah akan menyebabkan terjadinya simptom-simptom kecelaruan sakit. 

5.0       Rawatan farmasi dan psikologikal bagi kecelaruan sakit

Secara umumnya rawatan yang diberikan terhadap individu adalah bergantung kepada tahap kronik rasa sakit yang dialami tersebut. Terdapat dua rawatan utama yang sering digunakan untuk mengatasi kecelaruan sakit iaitu menggunakan kaedah rawatan farmasi (pengambilan ubat) dan kaedah rawatan psikoterapi.

Antara rawatan farmasi atau klinikal yang sering diberikan kepada individu yang mengalami kecelaruan sakit ialah pengambilan ubat antidepresi. Jenis ubat Tricyclic antidepressants (TCA) membantu mengurangkan kesakitan dan mengurangkan simptom-simptom kecelaruan sakit seperti melegakan kesakitan dan meningkatkan kualiti waktu tidur pesakit. Ubat antidepresi ini adalah merupakan bahan yang mengandungi Opioid iaitu sejenis dadah seperti Codeine, Morphine, Fentanyl  dan Oxycodone yang membantu mengurangkan tekanan. Seperti mana yang kita sedia maklum, faktor utama yang menyebabkan kecelaruan sakit ini terjadi adalah disebabkan oleh faktor psikologikal iaitu tekanan. Pengambilan ubat Tricyclic antidepressants (TCA) mengikut dos yang sepatutnya diambil akan membantu mengurangkan tekanan yang seterusnya dapat membantu individu yang mengalaminya terhindar daripada kecelaruan sakit ini. Ubat Tricyclic antidepressants (TCA) yang mengandungi bahan Opioid ini adalah merupakan ubat yang disyorkan kerana ia tidak menyebabkan kesan sampingan yang teruk seperti pendarahan dalam perut atau bahagian dalam tubuh badan yang lain. Pengambilan ubat ini jarang menyebabkan orang mudah menjadi tertagih jika pengambilannya digunakan hanya untuk merawat kesakitan dalam jangka masa yang singkat. Terdapat juga kesan sampingan pengambilan ubat ini, antaranya ialah seperti akan menyebakan orang yang mengambilnya rasa mengantuk, berasa loya dan mual, rasa gatal, mengalami masalah sembelit dan masalah pernafasan, serta boleh menyebabkan ketagihan jika pengambilannya tidak mengikut preskripsi atau arahan yang diberikan oleh doktor. (Encyclopedia of Mental Disorder, 2010).      

Terdapat juga beberapa ubat lain yang boleh diambil untuk melegakan atau mengurangkan kesakitan yang dialami oleh individu yang mengalami kecelaruan sakit. Antara ubat tersebut ialah Acetaminophen yang terdiri daripada ubat-ubat seperti Tylenol dan Aspirin. Acetaminophen membantu untuk melegakan kesakitan dan kekejangan di bahagian otot. Individu yang mengalami kecelaruan sakit lazimnya akan mengadu rasa sakit di bahagian sendi-sendi badan yang berhubungkait dengan bahagian otot, dengan adanya ubat Acetaminophen ini, rasa sakit yang dialami dapat dikurangkan (Kazanowski & Laccetti, 2002). Ubat jenis Nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAID) seperti Motrin, Aleve dan Orudis mempunyai fungsi yang sama dengan jenis ubat Acetaminophen namun apa yang membezakannya ialah NSAID membantu mengurangkan radang, jenis ubat ini berfungsi mengurangkan pengeluaran hormon prostaglandins yang menyebabkan punca rasa sakit. Ubat jenis Nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAID) ini adalah sangat berkesan untuk mengatasi masalah rasa pening kepala dan rasa kesakitan dalam jangka masa tertentu (Wallace & Staats, 2005).

Jenis ubat yang terakhir ialah Topical Corticosteroids contohnya seperti Cortaid dan Cortizone. Ubat ini terdiri daripada produk-produk untuk kegunaan luar fizikal seperti losyen, krim ataupun penyembur cecair yang biasanya disapukan atau disembur di atas kulit badan bagi meredakan kesakitan yang dirasakan dibahagian otot atau sendi yang sakit. Pengunaan produk bagi rawatan jenis ubat ini boleh diambil tanpa preskripsi daripada doktor dan ia biasanya digunakan untuk rawatan awal (Encyclopedia of Mental Disorder, 2010). Penekanan terhadap punca sebenar yang menyebabkan rasa sakit perlu ditekankan dan jika ia disebabkan oleh punca-punca organik yang berlaku dalam tubuh badan, maka pengambilan ubat-ubatan adalah sangat penting. 

Dari segi rawatan psikologikal pula, pendekatan psikoterapi adalah merupakan rawatan utama yang digunakan untuk merawat individu yang mengalami kecelaruan sakit. Salah satu kaedah rawatan yang biasanya diambil untuk merawat kecelaruan sakit ialah melalui cognitive-behavioral theraphy (CBT). Matlamat utama terapi kognitif-behavior ini adalah untuk mengurangkan depresi dengan mencabar atau mengubah kepercayaan dan sikap seseorang individu (Wallace & Staats, 2005). Terapi ini menekankan kepada komponen seperti relaksasi, penstrukturan semula kognitif, latihan daya tindak (coping) dan menggalakkan rawatan yang menekankan tingkah laku operan. Pesakit lazimnya akan digalakkan menjadi perserta yang aktif dalam pengurusan sakit mereka melalui pengunaan kaedah yang dapat meminimumkan tekanan yang dirasakan dalam pemikiran dan perasaan mereka. Terapi ini akan membantu pesakit mengenalpasti respon emosi mereka terhadap rasa sakit adalah sebenarnya dipengaruhi oleh pemikiran mereka semata-mata. Oleh itu dalam terapi ini pesakit akan digalakkan utuk melatih pemikiran mereka dengan gangguan-gangguan tersebut. Banyak kajian sebelum menunjukkan bahawa kaedah terapi ini sangat berkesan mengurangkan simptom-simptom kecelaruan sakit (Clark & Treisman, 2004).  

Rawatan melalui psikoterapi interpersonal juga dapat membantu merawat kecelaruan sakit yang dialami oleh seseorang individu. Psikoterapi ini membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh pesakit kecelaruan sakit. Secara asasnya kaedah rawatan ini mengandaikan bahawa masalah tekanan yang wujud adalah timbul daripada konteks sosial. Menurut Wallace dan Staats (2005), terdapat beberapa aspek yang ditekankan dalam psikoterapi interpersonal iaitu yang pertama ialah penderitaan, contohnya merujuk kepada perasaan seperti kehilangan orang yang disayangi. Aspek yang kedua ialah peralihan peranan, contohnya berasa putus asa dengan peranan sosial yang lama dan cuba untuk membuat pengubahsuaian dengan peranan sosial yang baru. Aspek yang ketiga ialah percanggahan peranan, iaitu merujuk kepada kesukaran dalam perhubungan dimana ia tidak seperti yang dijangkakan oleh individu tersebut sebelum ini. Aspek yang terakhir ialah kekurangan peranan yang merujuk kepada kurangnya hubungan interpersonal seseorang individu tersebut. Kesemua aspek tersebut adalah merupakan faktor sosial yang menyebabkan kepada berlakunya kecelaruan sakit, dengan adanya penekanan prinsip dan aspek tersebut, individu akan dapat menerokai dengan lebih luas lagi berkenaan masalah yang menyebabkan dirinya mengalami kecelaruan ini. Strategi dan daya tindak seterusnya dapat diambil setelah masalah telah dikenal pasti.    

Terdapat beberapa lagi kaedah terapi yang boleh diambil dalam rawatan kecelaruan mental ini, antara terapi tersebut ialah seperti terapi kumpulan dan terapi tingkah laku. Bagi terapi kumpulan, terdapat beberapa faedah yang boleh didapati melalui kaedah ini. lazimnya pesakit yang mengalami kecelaruan sakit akan disisihkan dan sering disalah faham oleh orang di sekeliling mereka, dengan adanya kaedah terapi kumpulan ini, pesakit-pesakit akan dikumpulkan dalam satu kumpulan secara bersama-sama. Interaksi yang wujud di antara mereka akan mewujudkan kepada suasana sokongan emosi di antara satu sama lain. keadaan ini akan menyebabkan pesakit akan mempunyai perasaan tabah dan tahap ketahan diri yang tinggi kerana bertemu dengan individu lain yang mengalami keadaan yang sama akan menyebabkan seseorang individu itu menjadi lebih positif (Abram, 2006). Satu lagi kaedah rawatan dari segi psikologikal yang boleh diambil ialah melalui terapi tingkah laku, rawatan ini akan menggunakan pengurusan kontigensi ataupun pelaziman operan untuk membantu pesakit kecelaruan sakit ini dengan mengubahsuai rasa sakit tersebut berhubung dengan tingkah laku mereka. Terapi tingkah laku ini juga akan membantu memulihkan rasa sakit yang dialami oleh pesakit melalui peningkatan fungsi yang ditunjukkan oleh mereka (Wallace dan Staats, 2005).

6.0       Statistik berkaitan kecelaruan sakit.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di beberapa negara, secara puratanya golongan yang mengalami kecelaruan sakit adalah sebanyak 31 peratus terhadap golongan lelaki, 40 peratus terhadap golongan wanita, 25 peratus golongan kanak-kanak dalam dalam lingkungan sehingga umur 18 tahun, manakala golongan warga emas lebih daripada umur 65 tahun yang mengalami kecelaruan ini pula mencatat sebanyak 50 peratus (Ospina & Harstall, 2002) (dlm. Clark & Treisman, 2004).   

Dalam satu lagi kajian lain yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap 25 000 buah pusat penjagaan kesihatan di 14 buah negara mendapati bahawa kira-kira 22 peratus pesakit didapati mengalami kecelaruan sakit dalam tempoh jangka masa sekurang-kurangnya enam bulan. Kebanyakan kes tersebut dicatatkan berlaku di Amerika Syarikat, iaitu salah salah satu negara yang dikaji daripada 14 buah negara dalam kajian ini. dalam kajian ini Amerika Syarikat mencatatkan kes sebanyak 17 peratus daripada jumlah 22 peratus pesakit yang mengalami kecelaruan ini (Gureje et al., 1998) (dlm. Clark & Treisman, 2004).       

Menurut Bond dan Simpson (2006), kajian terdahulu mengemukakan bahawa kira-kira 11 peratus hingga 30 peratus daripada manusia secara signifikannya akan mengalami masalah berkaitan kecelaruan sakit tahap kronik dan masalah ini akan tetap wujud dari setahun ke setahun. Kecelaruan sakit yang dirasakan di bahagian belakang tubuh badan manusia adalah salah satu masalah yang tersenarai dalam sepuluh masalah utama yang dikaitkan dengan kecelaruan ini. Berdasarkan satu kajian yang dijalankan di Britain, kira-kira 40 peratus daripada golongan dewasa mengalami serangan akut rasa sakit di bahagian belakang badan yang berlarutan sehingga lebih daripada jangka masa tempoh sehari. 

7.0       Perbincangan dan kesimpulan

Daripada huraian yang dijelaskan tersebut, secara kesimpulannya kecelaruan sakit ini adalah merupakan salah satu daripada masalah mental yang dikaitkan secara spesifik dengan faktor psikologikal berbanding dengan faktor biologikal, fizikal ataupun fisiologi. Pesakit atau individu yang mengalami kecelaruan sakit ini biasanya mempunyai kepercayaan bahawa sakit yang dialaminya adalah disebakan oleh simptom atau masalah kecelaruan fizikal. Seperti mana yang telah dijelaskan oleh Stannard dan Booth (2004), yang mejelaskan bahawa ramai individu yang mengalami masalah kecelaruan sakit ini beranggapan bahawa rasa sakit di bahagian fizikal mereka adalah berpunca daripada aspek fisiologi iaitu kesan daripada kerosakan tisu dalaman tubuh badan. Kepercayaan ini sebenarnya adalah tidak tepat kerana terdapat beberapa aspek emosi dan kognitif yang menyumbang kepada rasa sakit yang dialami oleh seseorang individu tersebut.

Terdapat beberapa teori yang dan pandangan telah diutarakan yang dikaitkan dengan kecelaruan sakit. Bermula daripada teori yang diutarakan oleh tokoh awal seperti Aristotle sehinggalah kepada pendekatan-pendekatan baru yang terdapat pada masa kini. Ma’rof dan Haslinda (2003), telah membahagikan teori dan pendekatan tersebut kepada empat pendekatan yang terdiri daripada pendekatan Biopsikologikal, Psikoanalisis, Behaviorisme dan Humanistik. Kesemua pendekatan tersebut mempunyai pandangan masing-masing terhadap punca berlakunya kecelaruan sakit.

Daripada huraian yang diberikan ini juga kita dapat mengetahui bahawa kecelaruan sakit ini mempunyai beberapa spesifikasi tertentu. kecelaruan sakit ini sebenarnya dapat dipecahkan kepada beberapa jenis mengikut diagnosis melalui rujukan DSM-IV-TR, dimana ianya juga dapat dibahagikan bergantung kepada tempoh jangka masa kesakitan yang dialami tersebut. Terdapat beberapa simptom dan punca yang boleh dikenal pasti bagi individu yang mengalami kecelaruan sakit ini. kebanyakan simptom tersebut akan mempengaruhi aspek kognitif, pemikiran, emosi dan tingkah laku bagi individu yang mengalaminya. Punca berlakunya kecelaruan ini pula dapat dilihat melalui pendekatan model Biopsikososial yang menggabungkan tiga aspek penting iaitu biologikal, psikologikal dan sosial. Dari segi rawatan pula terdapat dua kaedah yang boleh diambil bagi mengatasi atau mengurangkan kecelaruan sakit ini. kaedah rawatan secara perubatan biasanya diambil bagi mengurangkan kesakitan dan tekanan yang dihadapi. Kaedah rawatan secara terapi pula biasanya diambil bagi melatih individu untuk membina strategi daya tindak (coping) bagi mengatasi kecelaruan sakit yang dialami oleh mereka.

Rujukan

Abram, S. E. (2006). Pain Medicine: The Requisities in Anesthesiology. United States: Mosby, Inc.

Azizi Yahaya & Jamaludin Ramli. (2007). Psikologi Abnormal. Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Bond, M. R., & Simpson, K. H. (2006). Pain: Its Nature and Treatment. United Kingdom: Elsevier Ltd.

Clark, M. R., & Treisman, G. J. (Eds.). Pain and Depression. Switzerland: Karger, Inc.

Coon, D. (2002). Psychology A Journey. United States: Wardsworth Thomson Learning, Inc.

Encyclopedia of Mental Disorder. (2010). Pain disorder. Diterima pada — Ogos 2010, daripada http://www.minddisorders.com

Kazanowski, M. K., & Laccetti, M. S. (2002). Pain. New Jersey: Slack, Inc.

Lianos, D. P. (2008). Somatoform Disorder: Pain. Diterima pada — Ogos 2010, daripada http://emedicine.medscape.com

Ma’rof Redzuan & Haslinda Abdullah. (2003). Psikologi. (2nd ed). Shah Alam: Mc Graw Hill.

“Pain Disorder”. (atas talian). http://www.depression-guide.com/somatoform-disorders.html. Diterima pada — Ogos 2010.

“Pain Disorder Diagnosis”. (atas talian). http://www.wrongdiagnosis.com. Diterima pada –Ogos 2010.

Stannard, C., & Booth, S. (2004). Pain. (2nd ed). United Kingdom: Elsevier Ltd.

Wallace, M. S. & Staats, P. S. (2005). Pain Medicine & Management. United States: Mc Graw Hill.

Disediakan oleh:

A. Rahman A. N.(Ogos, 2010).


Tinggalkan komen