nikalila



Sikap Komuniti Kaum Kadazandusun Di Sabah Terhadap Aspek Kepercayaan Dan Kehidupan Beragama Dari Sudut Psikologi Dan Sosiologi

1.0              Pengenalan

komuniti kaum Kadazandusun di Sabah sememangnya kaya dengan keunikan budayanya yang tersendiri. Sepertimana yang kita sedia maklum aspek kepercayaan dan agama adalah merupakan dua ciri yang terkandung dalam sesuatu budaya dalam sesebuah bangsa. Dari sudut pengertian umum  budaya dianggap satu norma sosial dan tradisi yang dikongsi dan diamalkan dalam sesebuah komuniti. Porter dan Samovar (2003) melihat budaya dari sudut yang lebih luas dimana budaya merupakan satu proses penyimpanan pengetahuan, pengalaman, kepercayaan, nilai, sikap, makna, hierarki sosial, agama, konsep tentang alam, fahaman tentang masa, peranan, ruang perhubungan, dan objek material yang dimiliki oleh sekumpulan manusia yang mana ianya diturunkan dari satu generasi kepada generasi yang lain. Kepercayaan dan tradisi budaya akan memberi kesan terhadap karekteristik komuniti, dimana ia akan turut mempengaruhi hubungan interpersonal dan kehidupan individu (Dalton, Elias, & Wandersman, 2001).

Daripada huraian yang diterangkan oleh Porter dan Samovar (2003) kita dapat mengetahui bahawa tiga elemen budaya yang ingin ditekankan disini iaitu sikap, kepercayaan  dan agama adalah merupakan satu norma sosial dan dikongsi secara bersama dalam budaya sesebuah kaum. Maka dengan itu komuniti kaum Kadazandusun tidak terkecuali mempunyai sikap terhahadap aspek kepercayaan dan agama yang dikongsi secara bersama-sama. Elemen-elemen dalam budaya lazimnya dikongsi dalam sesebuah masyarakat ataupun komuniti. Menurut Day (2006), komuniti boleh didefinisikan sebagai sekumpulan manusia yang hidup secara bersama-sama, faktor ini menjadi satu ikatan kepada mereka sehingga wujud perasaan dimiliki antara satu sama lain. Komuniti juga menyediakan sesebuah kumpulan manusia kepada satu perasaan kekitaan yang mengiktiraf kepada sikap saling bergantung antara satu sama lain di kalangan ahli komuniti, walaupun orang tersebut tidak dikenali namun dengan adanya nilai-nilai kekitaan tersebut, semangat komuniti tetap juga akan wujud (Block, 2008). Begitu juga halnya dengan komuniti atau komuniti Kadazandusun di Sabah ini, walaupun mereka terpisah dengan identiti sub suku yang terdapat dalam rumpun kaum Kadazandusun dan terpisah mengikut kawasan geografi penempatan masing-masing, mereka tetap menanamkan sikap kekitaan yang mendalam sebagai satu rumpun yang sama.

Seperti juga kebanyakan bangsa atau kaum di dunia ini komuniti kaum Kadazandusun tidak dapat lari daripada terdedah dengan pengaruh-pengaruh daripada luar. Hal ini dapat dilihat pada masa kini dimana jika ditinjau daripada aspek kepercayaan dan agama bagi komuniti kaum Kadazandusun terdapat sesetengah ahli komuniti kaum Kadazandusun yang masih mengekalkan kepercayaan nenek moyang, mereka ini terdiri daripada komuniti yang masih mendiami kawasan-kawasan pendalaman dan tinggl jauh dari kawasan bandar.

Penyebaran agama-agama besar di dunia seperti Islam dan Kristian di kalangan komuniti kaum Kadazandusun telah memberi impak besar dalam aspek kehidupan mereka dan mengubah sedikit sebanyak asas pegangan kepercayaan yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Walaupun aspek pegangan kepercayaan dan kehidupan beragama komuniti kaum kadazandusun ini dilihat terdapat perbezaan, namun apa yang menariknya perbezaan aspek tersebut tidak menjejaskan hubungan dan ikatan kukuh yang telah lama terjalin di kalangan ahli komuniti kaum Kadazandusun, khususnya dalam aspek sikap mereka terhadap kepelbagaian agama. Argyle (2000) menjelaskan bahawa aspek kepercayaan dan asas-asas moral dalam agama akan turut mempengaruhi sikap dan tingkah laku seseorang individu terhadap orang lain. Sikap pula secara teorinya adalah merupakan keadaan mental yang menyediakan dan menyusun keseluruhan pengalaman, sikap juga mengarah dan mempengaruhi secara dinamik kepada individu-individu bagaimana mereka perlu bertindak kepada objek dan situasi yang mana ianya berhubungkait antara sama lain (Allport, 1935) (dlm. Ajzen, 1991). Perbincangan dalam huraian kertas kerja ini akan menumpukan sejauhmana sikap komuniti kaum kadazandusun terhadap aspek perbezaan kepercayaan dan kehidupan beragama mereka. Huraian dalam kertas kerja ini juga akan membincangkan faktor-faktor dan strategi boleh yang mempengaruhi perubahan sikap komuniti Kaum Kadazandusun ke arah perubahan sikap yang lebih positif dalam aspek kepercayaan dan agama mereka yang berbeza.

2.0 Komuniti Kaum Kadazandusun di Sabah  

Sebelum mengenali sikap dalam aspek kepercayaan dan kehidupan beragama kaum Kadazandusun dengan lebih mendalam, adalah lebih baik untuk kita mengenali terlebih dahulu isu-isu yang dikaitkan dengan kaum ini. Kaum Kadazandusun adalah merupakan suku kaum yang terbesar di Sabah. Kelompok etnik Kadazandusun ini menjadi sebuah komuniti bumiputera yang terbesar. Jumlah penduduk kaum Kadazandusun di Sabah dilaporkan adalah berjumlah 479, 944 orang, jumlah ini adalah berdasarkan kepada banci penduduk yang dijalankan di Sabah pada tahun 2000. Kawasan penempatan komuniti Kadazandusun boleh didapati hampir keseluruhan kawasan di Sabah. Menurut Low Kok On (2005) lokasi tempat tinggal bagi masyarakat Kadazandusun dapat dibahagikan kepada tiga kawasan, kawasan pertama ialah tertumpu di kawasan pantai barat seperti Penampang, Putatan, Papar, Inanam, Kuala Penyu, Menggatal, Tamparuli, Tuaran dan Tenghilan. Kawasan kedua ialah tertumpu di kawasan utara seperti Kudat dan Kota Belud. Kawasan ketiga pula lebih tertumpu di kawasan pedalaman seperti Ranau, Keningau dan Tambunan. Penempatan masyarakat etnik Kadazandusun juga boleh ditemui di bahagian Sandakan dan Kinabatangan.

kaum Kadazandusun adalah sebuah kaum yang mempunyai banyak suku dan subsukunya. Terdapat lebih kurang 27 suku dan subsuku yang dapat digolongkan sebagai kaum Kadazandusun, antaranya ialah seperti suku kaum Dupas di Labuk, suku Lotud di Tuaran, suku Tatana dan Bundu di Kuala Penyu, suku Tanggara dan Kadazan di Penampang dan Papar, suku Tambanuo dan Paitan di sungai Paitan. Seterusnya suku Kimaragang di Kota Marudu, suku Sarayo, Sonsogon dan Lobou di daerah Ranau, Kudat dan Kota Marudu, suku Minokok dan Mangkaak di Kinabatangan, Tuhawon dan Liwan di Tambunan (Suraya Sintang, 2007). Secara umumnya kesemua suku dan sub suku orang Kadazandusun mempunyai ciri-ciri persamaan dari segi bahasa, pertuturan, kepercayaan, adat resam dan ciri-ciri fizikal yang sama. Dari segi penuturan, setiap suku yang terdapat dalam etnik Kadazandusun boleh dikatakan mempunyai dialek yang sama, cuma yang membezakannya adalah dari segi gaya bahasa dan sebutannya. Situasi ini dapat digambarkan dengan memberi contoh di antara bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia dengan di Indonesia, walaupun istilah yang hampir sama digunakan di kedua-dua negara tetapi yang membezakanya ialah pengunaan dari segi istilah, gaya bahasa dan sebutannya, begitu juga halnya dengan situasi yang berlaku diantara suku dan subsuku dalam Kadazandusun ini. Dari segi fizikal pula, orang Kadazandusun mempunyai ciri-ciri fizikal seperti mempunyai tubuh badan yang tegap, sederhana tinggi dan warna kulit mereka seolah-olah sama dengan warna kulit orang Cina, iaitu berwarna kulit langsat (Low Kok On, 2005). 

Penggunaan istilah “Kadazandusun” bagi merujuk kepada suku kaum yang mempunyai rumpun yang sama ini turut mengalami proses yang panjang. Menurut Low Kok On (2005) jika ditinjau dari kisah awalnya di era sebelum tahun 1960-an, kesemua suku dan subsuku Kadazandusun hanya dikenali sebagai orang Dusun. Pengunaan istilah “Dusun” dikatakan berlaku ketika kesultanan Brunei yang memerintah Borneo Utara (Sabah) pada masa itu, kesemua suku kaum tersebut dipanggil sebagai orang Dusun sahaja,  istilah yang diberikan tersebut adalah disebabkan kebanyakan mereka tinggal di kampung atau desa dan bekerja sebagai petani, pesawah, peladang dan pekebun. Istilah nama Dusun untuk merujuk suku kaum tersebut dikekalkan sehinggalah di era pemerintahan penjajah British pada masa itu iaitu Syarikat Berpiagam Borneo Utara (Suraya Sintang, 2007).

Ketika Sabah meniti ke arah proses kemerdekaan pada tahun 1961, idea bagi menggunakan istilah “Kadazan” untuk mewakili suku kaum Kadazandusun mula diutarakan oleh pemimpin United National Kadazan Organization (UNKO) pada masa itu, iaitu Tun Haji Mohamad Fuad Stephens (Donald Stephens). Cadangan beliau banyak menerima sokongan daripada masyarakat suku kaum Kadazandusun yang tinggal di Penampang, Putatan dan Papar. Menurut beliau, istilah “Kadazan” bermaksud “orang kita” iaiitu satu istilah yang bertujuan menunjukkan perasaan kekitaan dikalangan orang Kadazandusun. Cadangan beliau ditolak oleh beberapa perwakilan dalam persatuan yang ingin mengekalkan istilah “Dusun” sehingga menyebabkan bibit-bibit pepecahan diantara penyokong kedua-dua pihak yang ingin mempertahankan nama “Kadazan” ataupun “Dusun”. Kesannya mereka yang tidak berpuashati telah menubuhkan pertubuhan baru iaitu United Sabah Dusun Association (USDA) pada tahun 1967. Situasi mula berubah apabila pada tahun 1995, kedua-dua pertubuhan telah bersetuju dan mencapai kata sepakat untuk menggunakan istilah kaum Kadazandusun bagi merujuk kepada rumpun kaum mereka (Low Kok On, 2005). Peristiwa ini adalah merupakan peristiwa yang bersejarah bagi masyarakat kaum Kadazandusun kerana ia merupakan titik penyatuan bagi kesemua suku dan subsuku kaum Kadazandusun.  Walaupun begitu, suku dan subsuku Kadazandusun sehingga ke hari ini masih mengekalkan panggilan yang asal, sebagai contohnya Dusun Lotud, Kadazan Penampang, Rungus, Orang Sungai dan sebagainya bagi membezakan diri dengan suku dan subsuku Kadazandusun yang lain.

3.0 Sikap dan Kehidupan beragama kaum Kadazandusun

Kedatangan agama besar di dunia seperti Islam dan Kristian ke Sabah secara amnya telah mempengaruhi sedikit sebanyak sistem kepercayaan komuniti kaum Kadazandusun. Dalam bidang psikologi komuniti, kehidupan agama dan kepercayaan yang pelbagai dilihat sebagai salah satu aspek kepelbagaian manusia. Perbezaan kumpulan-kumpulan agama di dalam sesuatu budaya atau komuniti adalah penting dalam bidang psikologi komuniti kerana ia dilihat sebagai satu aspek dalam memahami kepelbagaian manusia yang merupakan salah satu daripada nilai teras psikologi komuniti (Dalton, Elias & Wandersman, 2001).

Bagi meninjau aspek kehidupan beragama dalam komuniti kaum Kadazandusun ini dengan lebih lanjut, perbincangan akan ditumpukan terlebih dahulu terhadap isu-isu yang berkaitan dengan aspek kehidupan beragama. Ramai tokoh-tokoh dalam psikologi dan sosiologi sebelum ini telah memberikan teori dan konsep yang dikaitkan dengan agama. Salah seorang tokoh psikologi yang telah mengutarakan teori agama ialah Sigmund Freud. Menurut Freud (1975), agama adalah merupakan salah satu cara manusia memberikan ganti rugi atau menyesuaikan diri dengan pelbagai kekecewaan sosial dan kehidupan, dengan adanya agama, manusia dapat memperolehi gantian bagi menampung ketidakupayaannya mengatasi kekecewaan hidup. Beliau telah mengemukakan satu analogi yang mengambarkan bahawa perasaan kecewa terhadap dunia adalah sama seperti perasaan kita pada zaman kanak-kanak terhadap ibu bapa kita khususnya terhadap seorang bapa, nilai-nilai yang terdapat dalam agama telah memberikan satu perlindungan yang sama seperti sifat seorang bapa yang melindungi (Nelson, 2009). Dalam hal ini, Freud melihat agama sebagai pendorong dan pelindung kepada manusia untuk sentiasa bersikap positif dalam kehidupan seharian walaupun berhadapan dengan dugaan dan cabaran hidup yang sentiasa membuatkan manusia berasa kecewa.

Bagi tokoh bidang sosiologi seperti Emile Durkheim pula, beliau mendefinisikan agama sebagai kesatuan sistem kepercayaan dan amalan yang berkaitan dengan sesuatu yang dianggap suci yang mesti diasingkan dan menjadi satu tegahan. Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa agama adalah satu kepercayaan dan amalan yang menyatukan kepada semua orang yang menganutnya ke dalam satu tata susila komuniti (Suraya sintang, 2007). Dari sudut bidang psikologi komuniti pula, agama adalah merupakan set kepercayaan dan amalan yang melibatkan kepercayaan sesebuah komuniti sama ada dalam kumpulan yang berbeza ataupun kumpulan yang sama (Dalton, Elias & Wandersman, 2001).

Menyentuh isu berkenaan aspek kepercayaan dan kehidupan beragama komuniti atau masyarakat kaum Kadazandusun ini, komuniti Kadazandusun secara umumnya dapat dibahagikan kepada komuniti Kadazandusun yang masih mengekalkan kepercayaan tradisional, komuniti kaum Kadazandusun yang beragama Islam dan juga komuniti kaum Kadazandusun yang beragama Kristian.

Banyak pengkaji sebelum ini menggunakan istilah “pagan” ataupun “animisme” terhadap sistem kepercayaan tradisional komuniti kaum Kadazandusun. Secara umumnya istilah pagan diberikan terhadap mereka yang tidak beragama manakala istilah animisme pula adalah merujuk kepada kepercayaan terhadap semangat dan kuasa ghaib yang ada di sekeliling alam persekitaraan (Low Kok On, 2005). Sebelum kedatangan agama Islam dan Kristian, komuniti Kadazandusun dianggap sebagai pagan. Sehingga pada hari ini, masih ada lagi sesetengah daripada mereka yang pagan tetapi jumlahnya masih boleh dikatakan dalam bilangan yang sedikit. Kehidupan awal komuniti kaum kadazandusun dipengaruhi oleh kepercayaan terhadap adanya dewa atau tuhan yang dikenali sebagai Kinoringan (Suraya Sintang, 2007). 

Bagi komuniti kaum Kadazandusun yang mengekalkan kepercayaan tradisional, sikap mereka dalam asas pegangan kepercayaan mereka lazimnya masih kukuh dengan kepercayaan bahawa terdapat tuhan atau dewa Kadazandusun yang bernama Kinoringan dan Suminundu. Mereka juga mengekalkan tradisi kepercayaan bahawa wujudnya alam-alam seperti dunia di atas langit, dunia di bawah bumi, selain mempercayai bahawa wujudnya dewa dewi yang lain dan kepercayaan terhadap semangat baik dan juga semangat jahat. Dalam mempraktikkan amalan kepercayaan tradisonal ini, mereka masih lagi bergantung kepada bomoh Kadazandusun yang digelar sebagai Bobolian dalam menjalankan upacara-upacara tertentu. Fungsi Bobolian ini seolah-olah dilihat mempunyai peranan yang hampir sama dengan dukun atau pawang di kalangan komuniti Melayu yang masih mengamalkan kepercayaan tradisional. komuniti kaum kadazandusun yang masih mengekalkan kepercayaan tradisional biasanya mempunyai sikap rasa hormat yang tinggi terhadap golongan bomoh yang digelar sebagai Bobolian ini. sikap rasa hormat itu juga dipengaruhi oleh faktor usia kerana kebanyakan golongan Bobolian ini adalah merupakan golongan yang telah berusia lanjut, lazimnya komuniti kaum kadazandusun sangat menghormati golongan yang lebih tua daripada mereka.

Setiap unsur bentuk muka bumi mempunyai lambang tertentu dalam kepercayaan komuniti kaum Kadazandusun tradisional. Sebagai contohnya gunung adalah salah satu unsur bentuk muka bumi yang dianggap sebagai suci dan menjadi pusat bumi. Dalam hal ini, kaum Kadazandusun tradisional menganggap gunung yang tertinggi di Sabah iaitu Gunung Kinabalu adalah merupakan gunung suci yang dicipta oleh Kinoringan dan Suminundu. Berdasarkan kisah rakyat masyarakat kadazandusun, proses penciptaan Gunung Kinabalu bermula apabila Kinoringan dan Suminundu mendapati keadaan bumi pada ketika itu tidak cukup berat, keadaan ini menyebabkan Kinoringan dan Suminundu membuat keputusan bagi menjadikan bumi menjadi lebih berat, mereka mengambil seketul batu besar dan kemudiannya meletakkanya di tengah-tengah bumi. Batu besar yang dimaksudkan dalam kisah tersebut ialah Gunung Kinabalu, oleh sebab itulah komuniti kaum Kadazandusun menganggap bahawa Gunung Kinabalu adalah pusat bumi yang terletak di tengah-tengah bumi. Sikap mereka terhadap kepercayaan bahawa gunung Kinabalu adalah merupakan gunung suci yang dicipta oleh Kinoringan dan Suminundu adalah sangat tinggi. Menurut Witcombe (2001), kebanyakan suku dan bangsa di dunia ini mempunyai kepercayaan bahawa gunung-ganang yang menjadi bentuk muka bumi utama di bumi adalah merupakan lambang-lambang kesucian.  

Satu lagi perkara yang dipegang oleh komuniti kaum Kadazandusun tradisional ialah apabila berlaku kejadian-kejadian pelik, mereka akan menganggap kejadian tersebut adalah adalah disebabkan oleh perbuatan dewa, misalnya gegaran yang dirasakan di Sabah (5.1 pada skala ritcher) akibat gempa bumi yang berlaku di Indonesia pada tahun 1991 dikatakan dilakukan oleh dewa Minomurun bagi memberi peringatan kepada manusia agar menghentikan kegiatan perlombongan yang dijalankan di daerah Mamut (Suraya Sintang, 2007). Sikap terhadap kesemua aspek kepercayaan tradisonal ini masih dipegang oleh komuniti Kadazandusun yang masih mengekalkan kepercayaan tradisional.          

Penyebaran agama Islam dan Kristian yang bermula sejak zaman pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Bersatu (SBUB) sehinggalah zaman pra kemerdekaan Sabah telah memperlihatkan sebahagian daripada komuniti Kadazandusun mula menganut salah satu daripada agama tersebut. Penyebaran agama Kristian di kalangan komuniti Kadazandusun dilihat lebih awal bermula iaitu sejak pemerintahan pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Bersatu (SBUB) pada tahun 1881. Penyebaran agama Islam di kalangan komuniti kaum Kadazandusun khususnya di daerah pedalaman pula hanya bermula pada pertengahan abad ke-20 (Muhiddin Yusin, 1990) (dlm. Suraya Sintang, 2007). Penerimaan agama Islam dan Kristian di kalangan komuniti kaum Kadazandusun telah memberi gambaran bahawa sifat kebudayaan dan cara hidup komuniti kaum Kadazandusun dilihat lebih fleksibel dimana budayanya yang mudah berasimilasi dan beradaptasi dengan pengaruh luar. Situasi seperti ini menjadikan komuniti kaum Kadazandusun menjadi semakin kompleks disebabkan oleh faktor adaptasi kepada persekitaraan ekosistem yang berbeza-beza kesan daripada pengaruh asing dan penyerapan pengaruh agama di dalam nilai hidup komuniti kaum Kadazandusun.

4.0 Faktor-faktor dan strategi yang mempengaruhi perubahan sikap komuniti Kaum Kadazandusun ke arah perubahan sikap yang positif dalam aspek kepercayaan dan agama mereka yang berbeza.

Menurut Azjen (1991), sikap adalah watak yang memberikan respon sama ada secara baik atau tidak baik terhadap objek, orang, kumpulan, institusi ataupun peristiwa. Dalam situasi ini, perbincangan ini akan menumpukan kepada sikap di antara satu sama lain bagi ahli-ahli komuniti kaum Kadazandusun yang berbeza latar belakang kepercayaan dan agama. Pengekalan kepercayaan tradisional dan penerimaan agama Islam dan Kristian di kalangan kaum Kadazandusun tidak sedikitpun menggugat sikap bertolak ansur dalam mengukuhkan lagi keharmonian perpaduan di antara mereka. Pada asasnya semua agama di dunia ini mengajar umat dan penganutnya berbuat kebaikan sesama manusia, hal ini dapat dibuktikan dalam kehidupan komuniti kaum Kadazandusun ini di mana mereka menyemai sikap yang postif tanpa wujudnya prasangka buruk di antara mereka. Nelson (2009), mengakui bahawa sebuah komuniti yang kuat dan sihat adalah terdiri daripada ahli-ahli yang mempraktikkan nilai agama dengan baik dan wujud hubungan sokongan antara satu sama lain serta mempunyai sikap menghormati kepada orang lain.  

Salah satu faktor yang menyumbang kepada keharmonian dan perpaduan dalam komuniti ini adalah disebabkan oleh sikap komuniti kaum Kadazandusun dalam penerimaan terhadap kepelbagaian manusia, seperti mana penerimaan agama dan kepercayaan yang berbeza di antara mereka. Faktor inilah yang sebenarnya menjadi nilai teras kepada bidang psikologi komuniti yang menekankan aspek kepada kepelbagaian manusia. Sebenarnya terdapat beberapa faktor utama lagi yang dilihat menyumbang kepada semangat perpaduan dan keharmonian di kalangan mereka walaupun pada dasarnya agama dan kepercayaan mereka adalah berbeza. Menurut Suraya Sintang (2007), terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi perubahan sikap ke arah sikap yang lebih positif bagi komuniti kaum Kadazandusun dalam aspek kepercayaan dan agama mereka yang berbeza, kebanyakannya adalah disebabkan oleh interaksi-interaksi yang berlaku dan bersangkut paut dengan hal-hal keluarga dan aktiviti yang dijalankan dalam sesebuah komuniti kaum Kadazandusun tersebut.

Antara faktor yang dinyatakan oleh Suraya Sintang (2007) tersebut ialah dari segi aspek hubungan kekeluargaan. Salah satu keunikan yang terdapat dalam keluarga komuniti kaum Kadazandusun yang boleh didapati di Sabah ialah terdapat situasi dimana dalam sesebuah keluarga ada ahli-ahli keluarganya yang mempunyai agama yang berbeza. Sebagai contohnya dalam satu keluarga, ibu bapanya beragama Kristian manakala anak-anaknya pula beragama Islam dan sebaliknya juga apabila ada adik-beradik seperti abangnya beragama Islam manakala adik-adiknya pula beragama Kristian. Fenomena seperti ini biasa berlaku dalam komuniti kaum Kadazandusun khususnya di daerah Ranau, fenomena seperti ini sebenarnya jarang ditemui dalam komuniti lain. Hal ini disebabkan oleh sikap toleransi yang diamalkan dalam komuniti kaum kadazandusun, dimana setiap ahli keluarga bebas untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa adanya sikap perejudis di antara satu sama lain. Tambahan lagi asas pegangan agama yang dipegang oleh mereka menghalang mereka daripada bersikap sedemikian, sebagai contohnya dalam ajaran Islam, anak-anak yang memilih untuk memeluk agama Islam dilarang untuk memutuskan hubungan persaudaraan dengan ahli keluarga seperti ibu bapa sekalipun mereka bukan beragama Islam. Aspek ajaran agama juga turut mempengaruhi tentang bagaimana seseorang individu seharusnya bersikap dengan orang lain, sebagai contohnya dalam situasi yang diberikan tadi anak-anak yang memilih untuk memeluk Islam seharusnya tetap terus bersikap hormat dan taat kepada ibu bapa yang berbeza agama dengan mereka. Dalam hal ini nilai-nilai murni dan moral dalam asas pegangan agama juga akan turut mempengaruhi sikap dan tingkah laku mereka terhadap orang lain (Argyle, 2000). Keharmonian dan kemesraan tetap terjalin di kalangan ahli keluarga komuniti kaum kadazandusun walaupun terdapat perbezaan pegangan agama dan kepercayaan.

Faktor lain yang menyumbang kepada perubahan sikap yang positif dalam perbezaan kepercayaan dan agama di kalangan komuniti kaum Kadazandusun ialah kewujudan institusi, aktiviti, perayaan dan sebagainya yang dikongsi dalam komuniti ini. Komuniti kaum Kadazandusun sememangnya berasal dari rumpun yang sama, maka tidak hairanlah jika amalan-amalan yang dijalankan oleh mereka juga sama dengan amalan-amalan tradisi yang dijalankan oleh orang Kadazandusun yang lain. Pada asasnya mereka berkongsi kebudayaan yang sama sahaja. Antara aktiviti yang dijalankan tersebut ialah seperti aktiviti minsambai, aktiviti ini merujuk kepada konsep ziarah-menziarahi antara satu sama lain yang dijalankan dalam sesebuah kampung. Aktiviti ini biasanya dijalankan semasa menjalankan pesta keramaian di setiap rumah komuniti kaum Kadazandusun. Pada masa kini aktiviti minsambai ini telah diperluaskan dalam perayaan seperti hari Krismas, hari Raya Aidilfitri dan perayaan besar yang lain. Konsep minsambai  ini sebenarnya hampir sama dengan konsep kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain pada hari perayaan. Aktiviti seperti minsambai ini asasnya didukung oleh sikap perasaan saling mengambil berat antara ahli-ahli komuniti bagi kaum Kadazandusun.

Setiap ahli dalam komuniti kaum Kadazandusun tidak dapat lari daripada terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan ini kerana apabila seorang teman menjemput datang ke rumahnya, individu tersebut tidak berupaya untuk menolak jemputan tersebut melainkan terdapat kesulitan yang tidak dapat dielak. Jika ada seseorang menolak jemputan, dikhuatiri individu yang dijemput tersebut akan dikatakan bersikap sombong dan mementingkan diri sendiri. Ahli-ahli komuniti kaum Kadazandusun sememangnya tidak menyenangi dengan sikap sombong dan mementingkan diri sendiri, kedua-dua sikap negatif itu adalah merupakan sikap yang harus dielakkan oleh setiap ahli dalam komuniti atau masyarakat kaum Kadazandusun. 

Seperti mana yang dijelaskan tadi aktiviti minsambai atau kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain yang diamalkan oleh komuniti kaum Kadazandusun boleh diperluaskan dalam perayaan seperti Hari Krismas, Hari Raya Aidilfitri dan perayaan besar yang lain. Ini dapat dijadikan sebagai satu strategi bagi mewujudkan perubahan sikap yang positif dalam interaksi di antara ahli-ahli komuniti kaum Kadazandusun yang mempunyai perbezaan dalam aspek kepercayaan dan agama. Dalam hal ini perkara yang sememangnya di ambil perhatian ialah soal berkaitan dengan makanan yang disediakan. Masalah perbezaan kepercayaan atau agama tidak menjadi halangan dalam interaksi antara penganut Islam dan kristian dalam komuniti kaum Kadazandusun. Sebagai contohnya disini ahli komuniti yang dijemput datang ke rumah ahli komuniti lain yang mempunyai agama dan kepercayaan yang berbeza tidak perlu bimbang mengenai persoalan tentang makanan halal dan perkara-perkara lain yang ditegah oleh agama kerana kebiasaannya tuan rumah telah sedia maklum tentang perkara tersebut. Bagi ahli komuniti kaum kadazandusun yang menganut agama Islam yang menziarahi rumah orang bukan Islam, masalah yang melibatkan soal makanan dapat diatasi dengan menjemput tukang sembelih, tukang masak dan keperluan lain bagi orang Islam. Makanan yang tidak boleh dimakan oleh penganut Islam akan dihidangkan secara berasingan. Situasi seperti ini mengambarkan bagaimana ahli-ahli komuniti kaum Kadazandusun yang terdiri daripada pelbagai kepercayaan dan agama sangat mementingkan sikap saling memahami antara satu sama lain, sikap seperti inilah yang mewujudkan interaksi yang erat di dalam komuniti mereka.        

Seterusnya ialah aktiviti mansalud dan moginakan. Aktiviti mansalud adalah merupakan aktiviti dimana jiran-jiran yang mengerjakan sawah akan turun bekerja bersama-sama untuk mengairi kawasan padi sawah mereka. Selepas aktiviti mansalud itu selesai, upacara makan beramai-ramai akan dijalankan oleh mereka. Moginakan pula bermaksud mengadakan jamuan makan beramai-ramai sama ada secara tertutup dengan saudara mara ataupun mengajak seluruh penduduk kampung, lazimnya ia dilakukan apabila tuan rumah tersebut selesai menuai padi di sawah mereka dan mendapatkan hasil yang baik dalam tuaian mereka. Sikap tolong-menolong mengerjakan sawah secara bersama-sama dan sikap berkongsi kesenangan dan kenikmatan secara bersama-sama yang diamalkan oleh ahli-ahli komuniti kaum kadazandusun lebih tertonjol dalam aktiviti mansalud dan moginakan ini.  

Terdapat juga aktiviti lain yang diamalkan oleh komuniti kaum Kadazandusun yang boleh mengeratkan ikatan silaturahim di antara mereka. Situasi ini dapat dilihat sebagai satu strategi bagi mewujudkan perubahan sikap yang positif di antara mereka. Aktiviti mitatabang yang dijalankan oleh pesawah Kadazandusun adalah merujuk kepada pekerjaan yang dilakukan secara beramai-ramai ketika musim menanam padi. Dalam situasi yang tertentu mitatabang diperlukan apabila terdapat keluarga yang tidak mempunyai tenaga kerja yang ramai untuk mengerjakan sawah mereka. Sebagai contohnya mereka akan menolong jiran mereka yang kekurangan tenaga kerja untuk megusahakan sawah dan sebaliknya jiran yang dibantu tersebut akan membantu jiran yang telah menghulurkan pertolongan itu tadi. Konsep tolong-menolong yang diamalkan ini seterusnya akan menjadikan tenaga kerja menjadi semakin ramai, keadaan ini seterusnya akan menjadikan suasana akan menjadi lebih meriah dan kerja yang dilakukan secara bersama-sama akan dapat diselesaikan dengan segera hasil daripada kerjasama daripada semua ahli-ahli komuniti yang terlibat. Dalam hal ini, aktiviti mitatabang telah membuktikan bahawa komuniti kaum Kadazandusun mempunyai sikap tolong-menolong di antara mereka dalam melakukan pekerjaan secara bersama-sama. Permuafakatan dan hidup saling berkerjasama ini sebenarya telah membantu mengekalkan interaksi dan hubungan yang positif sesama mereka.

Aktiviti lain seperti mengkerumoh pula adalah merujuk kepada aktiviti ziarah dimana ia boleh berlaku secara dirancang ataupun tidak dirancang. Sebagai contohnya apabila seseorang terserempak kenalannya di tengah jalan, orang tersebut akan mempelawanya ke rumah untuk berziarah. Aktiviti lain yang dikesan menyebabkan keharmonian dikalangan komuniti kaum Kadazandusun adalah seperti perayaan pesta Menuai yang biasnya diadakan pada penghujung bulan Mei serta mengadakan pasar tamu yang biasanya dibuka pada hari ahad. Tamu adalah merupakan pasar yang telah lama diamalkan dan diwarisi sehingga kini. Gambaran Kehidupan seharian yang ditonjolkan oleh komuniti kaum Kadazandusun ini sebenarnya jelas menunjukkan kepada kita bahawa perbezaan agama dan kepercayaan tidak menghalang mereka untuk membina interaksi dan sikap persefahaman diantara satu sama lain.

Menurut Hamidun Udin (1992) (dlm. Suraya Sintang, 2007), konflik di antara agama yang berbeza jarang berlaku dalam komuniti kaum kadazandusun, sebaliknya hubungan antara agama terjalin dalam suasana yang harmoni. Perkara ini dapat dibuktikan dengan fenomena biasa yang dapat dilihat dengan jelas di daerah-daerah pedalaman Sabah yang majoritinya adalah penduduk komuniti kaum Kadazandusun, khususnya di daerah Ranau apabila rumah-rumah ibadat seperti surau dan gereja terdetak berdekatan antara satu sama lain. Walaupun rumah-rumah ibadat tersebut dibina berdekatan antara satu sama lain, sehingga ke hari ini tidak terdapat sebarang rungutan dan bantahan yang ditimbulkan antara kedua-dua penganut agama tersebut. Komponen agama seperti akhlak yang mulia dan nilai-nilai murni yang disemai dalam jiwa seseorang individu berupaya untuk mencapai dan melahirkan anggota masyarakat yang mempunyai sikap persefahaman, saling hormat-menghormati dan bertolak ansur.       

5.0 Kesimpulan

Secara kesimpulannya dapat dijelaskan bahawa masyarakat atau komuniti kaum Kadazandusun di sabah mempunyai sikap yang positif dalam aspek kepercayaan dan agama masing-masing. Rumpun kaum Kadazandusun telah menyatupadukan mereka, sehingga wujud perasaan semangat kekitaan di kalangan mereka. Walaupun mereka mempunyai pertalian budaya dan berasal dari bangsa dan etnik yang sama, namun dari aspek kepercayaan tradisi dan kehidupan beragama mereka ada yang berbeza. Daripada huraian yang dijelaskan sebelum ini, komuniti Kadazandusun pada awalnya mempunyai sistem kepercayaannya yang tersendiri dan dianggap sebagai tidak beragama (pagan) dan mengamalkan cara hidup animisme yang percaya dengan kuasa-kuasa ghaib. Kemasukan agama Islam dan Kristian di dalam komuniti ini telah menyaksikan sebahagian besar daripada mereka telah memeluk salah satu daripada agama tersebut. Bagi segelintir komuniti kaum Kadazandusun, mereka memilih untuk mengekalkan kepercayaan tradisi mereka. Perbezaan pegangan kepercayaan dan keagamaan yang wujud dalam komuniti kaum Kadazandusun tidak sedikitpun menggugat keamanan, persefahaman dan keharmonian diantara mereka. Faktor-faktor seperti sikap positif tanpa wujud perasaan prejudis, semangat rumpun, amalan seharian dan aktiviti kemasyarakatan yang diamalkan dalam budaya komuniti ini adalah penyumbang terbesar kepada perubahan sikap ke arah sikap yang lebih positif dalam penerimaan ahli-ahli komuniti lain yang berbeza kepercayaan dan agamanya. Terdapat juga beberapa strategi yang dapat diambil untuk mewujudkan lagi perubahan sikap yang positif sesama mereka dalam penerimaan aspek kepercayaan dan agama yang berbeza. Dalam bidang psikologi komuniti, ia dapat dijelaskan sebagai nilai teras sikap penerimaan kepada kepelbagaian manusia di kalangan komuniti kaum Kadazandusun. Perhubungan diantara mereka masih diikat dengan emosi dan psikologi walaupun hakikatnya dipisahkan dengan kepercayaan dan agama masing-masing.   

Rujukan

Ajzen, I. (1991). Attitudes, Personality and Behavior. (2nd ed). Britain: Open University Press.

Argyle, M. (2000). Psychology and Religion: An Introduction. Britain: Routledge Publishers.

Block, P. (2008). Community. United States: Koehler Publishers, Inc.

Dalton, J. H., Elias, M. J., & Wandersman, A. (2001). Community Psychology: Linking Individuals and Communities. United States: Wadsworth Thomson Learning, Inc.

Day, G. (2006). Community and Everyday Life. New York: Routledge Taylor & Francis Group.

Fuller, A. R. (1994). Psychology and Religion: Eight Points of View. (3rd ed). Utd. States: Rowman & Littlefield Publishers, Inc.

Low Kok On. (2005). Membaca Mitos dan Legenda Kadazandusun. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nelson, J. M. (2009). Psychology, Religion and Spirituality. New York: Springer Publishers.

Porter, R. E., & Samovar, L. A. (2003). Intercultural Communication. (10th ed). Utd. States: Wadsworth Thomson Learning, Inc

Suraya Sintang. (2007). Kehidupan Beragama Masyarakat Kaum Kadazandusun. Kota Kinabalu: Penerbit Universiti Malaysia Sabah.

Witcombe, C. (2001). Trees and the Sacred. Diterima pada — Februari 2011, daripada http://www.arthistory.sbc.edu

Disediakan oleh:

A. Rahman A. N. (Februari, 2011).

        


Trackbacks & Pingbacks

Komen-komen

  1. * Dzulhaidi Effendy says:

    minta izin, untuk dijadikan bahan rujukan.

    | Balas Dikirim 10 years, 5 months ago


Tinggalkan Jawapan kepada Dzulhaidi Effendy Batal balasan