nikalila



Teori Psikoanalitik/Psikoanalisis Sigmund Freud

 1.0 PENGENALAN LATAR BELAKANG SIGMUND FREUD

Sigmund Freud adalah merupakan pengasas dan pelopor kepada teori psikoanalitik dimana beliau telah memperkenalkan teori ini sekitar tahun 80-an. Teori ini terhasil semasa Sigmund Freud dan Josef Breurer membuat satu penyelidikan melalui kaedah hipnosis yang dijalankan semasa membuat rawatan terhadap pesakit-pesakit histeria. Menyingkap dari sudut latar belakangnya beliau dilahirkan di Freiberg, Moravia yang kini dikenali sebagai Republik Czech pada 6 Mei tahun 1856. Keluarganya mempunyai lapan orang adik beradik dan beliau adalah anak yang paling tua, lima daripadanya adalah perempuan dan tiga lagi adalah lelaki. Sebagai anak sulung yang paling tua dalam keluarga, hubungannya dengan adik beradiknya adalah rapat. Suasana keluarganya yang luar biasa telah menyebabkan Freud peka kepada keanehan hubungan keluarganya yang mana memberi dorongan yang mendalam untuk beliau mengkaji dalam teorinya yang diutarakan selepas itu. Bapanya bekerja sebagai seorang saudagar bulu kambing dan pernah berkahwin dua kali. Ibu Freud adalah seorang yang mempunyai personaliti periang dan cerdas. Ibunya meninggal dunia ketika berusia 95 tahun. Semasa berusia 4 tahun, Freud dan keluarganya berpindah ke Vienna pada tahun 1680 dan tinggal ketika pemerintahan Nazi yang menyebabkan beliau berpindah ke London pada tahun 1938.

Semasa berumur sembilan tahun, beliau belajar di sekolah tinggi Sperl Gymnasium (Leopoldstädter Kommunal-Realgymnasium). Di sekolah itu, beliau telah mula meminati bidang sejarah dan kemanusiaan sehingga menarik perhatian beliau menceburi dalam kerjaya bidang undang-undang. Semasa berada pada tahun akhir pengajian di Sperl Gymnasium, beliau berpeluang membaca esei yang berkaitan dengan alam tabii sehingga membangkitkan cita-cita saintifiknya. Ketika berumur 17 tahun, Freud telah memasuki sekolah perubatan di universiti Vienna pada tahun 1873. Ketika di universiti Vienna, beliau telah banyak menemui beberapa orang guru terkenal yang terdiri daripada ahli falsafah dan ahli psikologi. Antaranya ialah Franz Brentano (1838-1917). Semasa belajar dengan Brentano, beliau telah mengambil lima kursus elektif ketika dalam dua tahun pertama di sekolah perubatan. Beliau juga berhasrat ingin mengambil ijazah dalam bidang perubatan selepas tamat latihan tetapi tidak kesampaian.Seorang lagi tokoh yang banyak memberikan kesan dalam kehidupan Freud ialah Ernst Brucke (1819-1892). Beliau merupakan pengarah institut fisiologi universiti yang telah mendorong Freud menjadi penyelidik sukarela di institut tersebut sehingga menyebabkan beliau lambat mendapat ijazah perubatannya.

Menjelang tahun 1880, Freud telah menerbitkan empat artikel mengenai neuroanatomi dan cuba memperolehi pekerjaan dalam bidang tersebut. Tetapi beliau gagal kerana bidang penyelidikan yang bergaji tidak banyak, tambahan pula beliau beragama Yahudi yang sering menghadapi diskriminasi bagi pemilihan kerja di universiti. Freud telah melakukan latihan praktikal selama beberapa tahun di hospital awam Vienna sehingga akhirnya membolehkan beliau membuka perubatan persendirian. Ketika di hospital, Freud telah mengikuti pengkhususan dalam bidang yang berkaitan dengan neurofisiologi dan memberi tumpuan kajiannya di bawah seliaan ahli anatomi otak yang terkenal iaitu Theodor Meynert (1833-1893). Beliau telah mahir dalam diagnosis kecederaan pada bahagian otak. Kemudian pada tahun 1885 beliau telah mendapat sokongan Menert untuk meneruskan pengajiannya di Paris. Sekembalinya dari Paris, beliau telah memegang surat tauliah yang sempurna dan telah mendirikan rumahtangga pada tahun 1886. Beliau telah mengahwini Martha Bernays dan dikurniakan empat orang anak. Anna (1895) merupakan anak bongsu Freud yang banyak menyumbang di dalam bidang psikoanalitik.

Freud telah mula mempraktiskan secara persendirian dalam merawat penyakit neurologi. Freud kemudian mendapati bahawa beliau tidak mampu menyara hidup hanya dengan merawat kes neurologi biasa walaupun beliau telah memperhebatkan reputasi dengan menulis buku yang berkaitan dengan sereblum palsi dan afasia. Bagi meningkatkan pendapatannya, beliau telah menerima pesakit histeria dan beliau merupakan salah seorang doktor di Vienna yang memberi perhatian serius terhadap penyakit tersebut sehingga ramai datang menemuinya bagi mendapat perkhidmatan.

Freud telah menghasilkan lebih dari daripada 600 karya penulisannya. Beliau telah menerbitkan karyanya dalam bahasa Inggeris sebanyak 24 volum yang dikenali sebagai ‘The Standard Edition of the Complete Psychological Works of Sigmund Freud’ (1953-1964). Di antara karyanya yang terkenal ialah ‘The Interpretation of Dreams’ (1900), ‘The Psychology of Everday Life’ (1901), ‘Beyond the Pleasure Principle’ (1920), ‘The Ego and the Id’ (1923) dan ‘Cvilization and Its Discontents’ (1930). Freud telah merubah beberapa andaian teorinya selepas beberapa tahun kemudiannya. Perubahan andaian ini telah dimuatkan dalam karyanya ‘New Introductory Lecture on Psychoanalysis’ (1933) dan ‘An Outline of Psychoanalysis’ (1940). kebanyakan karya tulisan daripada Freud masih lagi dikaji sehingga sekarang. Terdapat beberapa orang pengamal teori psikoanalitik yang tidak asing dalam bidang psikologi, mereka terdiri daripada Anna Freud (1966), Melanie Klein (1959), Eric Erikson (1959), Erich Fromm (1955), Carl Jung, Karen Horney (1950), dan Harry S. Sullivan (1964). Terdapat tokoh-tokoh ini yang kemudiannya mencipta teori baru dari sudut pandangan mereka.

Kehidupan Freud dipenuhi dengan matlamat mencapai cita-citanya yang tinggi walaupun dalam masa yang sama terpaksa menghadapai kesengsaraan akibat daripada penyakit barah rahang yang dihadapinya dengan 33 pembedahan. Situasi sebegini tidak sedikitpun menghilangkan semangatnya untuk mencapai cita-cita bagi mendalami tentang kajian psikik manusia. Freud telah meninggal dunia pada tahun 1939 di London kerana penyakit barah rahang yang dialaminya sekian lama. Sebagai pelopor teori psikoanalitik yang masyhur, Freud telah mencipta teknik-teknik yang boleh diaplikasikan dalam memahami tingkah laku manusia dan beliau telah mencipta satu teori yang komprehensif berkaitan dengan personaliti manusia dan psikoterapi. Usaha beliau yang bersungguh-sungguh telah menghasilkan teori personaliti yang masih ‘panas’ dibincangkan sehingga sekarang (Shahabudin & Rohizani, 2002).

2.0 PANDANGAN TEORI TERAPI PSIKOANALTIK TERHADAP KEJADIAN SIFAT MANUSIA

Menurut Corey (1996), teori psikoanalitik adalah merupakan pendekatan yang mula-mula muncul dalam tiga pendekatan psikologi yang utama. Dua pendekatan yang lain ialah pendekatan tingkahlaku dan pendekatan kemanusiaan (humanistik). Pada sudut pandangan falsafah, pendekatan ini telah mengemukakan konsep kegirangan. Freud menyatakan bahawa seseorang individu normal adalah mereka yang dapat menikmati kehidupannya dengan kasih sayang dan bekerja. Menurut Fine (1972), konsep kegirangan yang dikemukakan oleh Freud ini dapat dihuraikan lagi dimana terdapat aspek-aspek lain bagi memperoleh keseronokan, menghapuskan perasaan negatif, melahirkan perasaan positif, mendapat identiti diri dan masyarakat, mencari pengertian tentang perasaan dalam keluarga dan kepuasan bekerja.

Dari sudut pandangan yang lain, Morris (1976), melihat bahawa psikonanalitik telah memberi penekanan pada bahagian tidak sedar, peranan naluri, peranan asas keluarga, tekanan-tekanan dinamik, dan pembentukan personaliti. Pendekatan ini juga telah memberi perhatian kepada proses-proses dalaman individu, tingkah laku luaran, pengalaman masa lampau dan kini, dan keadaan sosial seseorang.

Patterson (1996), mengatakan bahawa pendekatan psikoanalitik merupakan pendekatan pertama yang mengkaji peranan perasaan dan emosi dalam pengalaman psikologi. Pendekatan ini telah diubahsuai oleh beberapa orang ahli teori Psikoanalitik dari segi konsep dan prosedurnya dan mereka telah membentuk teori masing-masing  yang lebih dikenali sebagai pendekatan neo Freudians. Di antara ahli psikologi yang telah mengubahsuai teori tersebut mengikut pendapat masing-masing ialah Alfred Adler yang membentuk teori Psikologi Individu dan Carl Jung yang membentuk teori Analisa. Menurut Ma’rof Redzuan dan Haslinda Abdullah (2003), penekanan Freud yang belebih-lebihan ke atas impuls seksual dan kelangsangan telah menimbulkan pelbagai kontroversi, salah satu kesannya ialah pengikut dan anak-anak murid Freud telah membentuk teori mereka sendiri. Kebanyakan mereka menerima kepentingan motif alam tidak sedar, tetapi mereka lebih meletakkan penekanan yang lebih kepada hubungan ego dengan masyarakat berbanding dengan hubungan ego yang hanya memuaskan kehendak id.    

Pada umumnya pendekatan psikoanalitik melihat manusia itu sebagai individu yang telah ditentukan masa depannya. Kenyataan ini telah disokong oleh beberapa orang tokoh terkenal. Di antaranya, Amir Awang (1991) yang menyatakan bahawa pendekatan ini telah meletakkan manusia itu lahir bersama-sama dengan naluri-naluri kebinatangan yang bersifat jahat. Kehidupannya telah ditentukan dari sejak awal lagi oleh naluri-naluri tersebut. Naluri ini akan mempengaruhi tingkahlaku yang tidak logik dan tidak rasional. Gladding (1996), menjelaskan keadaan semulajadi manusia boleh diterangkan dalam terma-terma minda yang sedar, pra sedar, dan tidak sedar. Mahmood Nazar Mohd (1990) mengatakan pendekatan ini menunjukkan bahawa semua personaliti dewasa manusia dibentuk dari semenjak dilahirkan hingga ke umur lima tahun.

Freud telah menegaskan bahawa manusia dilahirkan dengan dorongan naluri dalaman yang bersifat biologi atau kebinatangan. Naluri ini telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu naluri seksual atau eros (naluri hidup) dan naluri pembinasaan atau thanatos (naluri mati). Semua kuasa naluri telah disimpan dalam tenaga yang tidak bertambah. Tenaga ini akan wujud dalam bentuk yang dikenali sebagai tenaga psikik dan tenaga determinisme psikik. Tenaga ini juga merupakan kuasa penggerak kepada segala perilaku manusia dan mempunyai hubungan dengan naluri seksual dan libido. Tenaga determinisme psikik merupakan tenaga penyebab yang mengakibatkan tingkah laku fizikal dan mental manusia.

3.0 KONSEP DAN TEMA UTAMA TEORI PSIKOANALITIK.

3.1 Tahap kesedaran

Bagi menerangkan teori psikoanalitik ini, Sigmund Freud telah membahagikan tiga tahap kesedaran di dalam diri seseorang manusia. Tiga tahap tersebut ialah alam sedar, alam pra sedar dan alam tidar sedar. Setiap tahap kesedaran itu mempunyai huraian yang berbeza antara satu sama lain. Bagi menerangkan tahap-tahap kesedaran tersebut, Sigmund Freud telah membuat analogi dengan membuat persamaan terhadap seketul ‘iceberg’ yang besar. Seperti yang kita sedia maklum ‘iceberg’ ini biasanya akan terapung di atas permukaan air. Beliau menerangkan bahawa kedudukan dan tahap pemikiran manusia adalah sama juga seperti struktur iceberg.

Alam sedar merupakan tahap dimana ia merangkumi apa sahaja yang seseorang sedari tentang perkara-perkara tertentu. Alam sedar berkaitan dengan pemikiran, sensasi, perasaan, dan ingatan. Dalam erti kata lain ialah apa-apa yang kita sedang rasakan, ingatkan dan fikirkan pada masa kini. Semua perkara ini adalah perkara yang kita sedari sepenuhnya. Sebagai contohnya kita sedang gembira, marah, sepi, lapar, kenyang, inginkan sesuatu dan sebagainya lagi. Berdasarkan iceberg yang dirujuk oleh Freud itu tadi, peringkat alam sedar adalah di bahagian paling atas iceberg yang timbul.

Alam pra sedar ialah tahap dimana ia mengandungi ingatan-ingatan yang tidak disedari pada masa kini, tetapi sebenarnya ingatan-ingatan tersebut dapat dan boleh disedari melalui proses memberi perhatian dan mengingat semula. Misalnya disini, katakanlah kita tidak ingat apa warna baju yang telah kita pakai semalam, tetapi perkara ini sebenarnya kita boleh ketahui dengan mengingat semula, kesannya proses ingatan itu dapat membuatkan diri kita sedar. Alam pra sedar ini berada pada tahap di antara tahap alam sedar dan alam tidak sedar, pada bahagian iceberg ia digambarkan berada di antara bahagian iceberg yang yang timbul dan bahagian iceberg yang tenggelam.

Tahap kesedaran ketiga ialah alam tidak sedar. Tahap ini menurut Freud adalah merupakan tahap yang paling penting. Pada tahap ini, ingatan-ingatan yang tersimpan pada waktu dahulu disisihkan daripada tahap sedar disebabkan oleh kerana tidak membuatkan seseorang selesa dan membawa kebimbangan, sesuatu perkara boleh menyebabkan perubahan-perubahan yang berlaku  di dalam emosi. Freud juga mengatakan bahawa tahap kesedaran adalah merupakan asas kepada tingkah laku manusia. Tahap alam tidak sedar ini mengandungi kesemua naluri (seksualiti) dan keinginan yang tidak dibenarkan masuk ke alam sedar. Tahap ini digambarkan dengan bahagian iceberg yang terletak dibawah permukaan air. Freud mengatakan bahawa hanya pakar sahaja yang boleh memahami tahap alam tidak sedar seseorang berdasarkan teknik perkaitan bebas (free association) yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam bahagian rawatan teori psikoanalitik ini.

3.2 Struktur personaliti

Dalam memahami pemikiran manusia, Freud telah mengutarakan konsep-konsep personaliti yang mempunyai tiga sistem yang mana berkait antara satu sama lain. Menurutnya, sistem ini berfungsi dalam membentuk personaliti seseorang yang merangkumi cara-cara  berfikir dan bertingkah laku. Tiga sistem tersebut ialah Id, Ego, Superego.

Id merupakan tempat terletaknya dorongan biologikal dan tenaga-teaga naluri. Id ini adalah diwarisi, bersifat primitif, dan tidak boleh disedari, ia terletak terletak pada tahap alam tidak sedar. Naluri-naluri yang terdapat pada sistem id dapat diklasifikasikan kepada dua, iaitu naluri hidup (eros) dan naluri mati (thanatos). Naluri hidup ialah naluri seperti seksual, lapar dan sebagainya dimana ia membantu manusia untuk terus hidup (survival), manakala naluri mati pula ialah naluri penghancur dimana manusia mempunyai hasrat dan kehendak untuk mati. Bagi Freud, manusia adalah terlansang kerana hasrat untuk mati disekat oleh naluri hidup. Daripada kedua-dua huraian tersebut dapat dikatakan bahawa naluri daripada Id adalah terdiri daripada naluri seperti seksual, gesaan biologikal, impuls kelangsangan dan juga kehancuran. Id merupakan sumber libido, iaitu satu tenaga psikik yang berfungsi untuk menggerakkan pemikiran dan tingkah laku seseorang. Id beroperasi berlandaskan kepada prinsip kenikmatan dengan mencari kepuasan dan mengelak kesakitan. Dalam mencapai matlamat itu tidak semuanya naluri dapat dipuaskan, kesannya timbul ketegangan dan pergelutan. Bagi mengurangkan ketegangan tersebut, id menggunakan proses pemikiran asas atau premier (primery process) dengan cara membentuk dan membayangkan objek yang diingini. Sebagai contohnya apabila kita dalam keadaan mengantuk kita mungkin akan membayangkan diri kita tidur di atas katil yang empuk.

Sistem personaliti yang kedua ialah ego, iaitu bahagian personaliti yang mempunyai sifat realistik, rasional dan logikal. Ia bertindak seolah-olah seperti kuasa eksekutif dan pengawal kepada tindakan-tindakan fikiran dan tingkah laku yang sesuai dengan keadaan persekitaran. Ego beroperasi berlandaskan kepada prinsip realistik kerana ia perlu mencari jalan yang realistik dan pertimbangan wajar dalam memenuhi keperluan dan dalam masa yang sama cuba mengelak masalah yang disebabkan oleh fikiran dan tingkah laku yang bersifat mementingkan diri sendiri. Bagi memenenuhi kehendak id, ego yang menjalankan fungsi realistik akan melihat halangan-halangan di dalam persekitaraan dalam konsep dunia yang nyata. Dalam strategi ego untuk menyelesaikan masalah yang wujud, ego menggunakan proses pemikiran sekunder (secondary process) dengan cara tertentu. Sebagai contonya apabila kita rasa mengantuk, ego yang ada pada diri kita akan membuat keputusan yang kita harus perlu pergi membasuh muka, meminum air kopi ataupun membuat senaman ringan bagi menghilangkan rasa mengantuk.

Superego adalah sistem personaliti yang ketiga, ia merupakan komponen personaliti yang mempunyai nilai moral. Menurut Freud, Id dan Ego tidak mempunyai nilai-nilai moral dimana Id cuba bertindak memenuhi kepuasan segera dan mengelak kesakitan, Ego pula cuba mencari jalan realistik memenuhi keperluan tersebut tetapi sebenarnya tidak mengambil kira sama ada cara-cara tersebut betul ataupun salah pada pandangan sistem sosial seperti dalam moral masyarakat, agama budaya dan sebagainya. Superego akan bertndak mendesak Id untuk tidak mengeluarkan impuls kepuasannya untuk mencapai kenikmatan semata-mata, Superego juga akan mengarah ego agar dapat mengikuti nilai-nilai moral yang dipegang oleh masyarakat sekeliling.

Superego dapat dibahagikan kepada dua komponen iaitu hati nurani (conscience) dan ego ideal. Dari sudut pandangan Freud, hati nurani adalah merupakan kesemua tingkah laku yang menyebabkan kanak-kanak dihukum dan kesannya mereka berasa bersalah.  Ego ideal pula adalah merupakan kesemua tingkah laku yang menyebabkan kanak-kanak dipuji dan diberi ganjaran, kesannya mereka akan berasa bangga dan mendapat kepuasan. Dalam erti kata lainnya ego ideal ini diperolehi daripada perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk memberi satu kebanggaan kepada diri sendiri. Secara ringkasnya kedua-dua komponen Superego ini membantu dalam pembentukan Superego, dan ia terhasil daripada proses ganjaran dan hukuman.       

4.0 RAWATAN KAEDAH PSIKOANALITIK

Bagi melancarkan proses kaunseling maka pendekatan psikoanalitik telah menggariskan lima kaedah seperti berikut;

4.1 Perkaitan bebas

Teknik ini dilakukan  dengan meminta klien berbaring di atas kerusi manakala kaunselor berada di belakang atau di hujung kepala klien. Kaunselor akan cuba menenangkan fikiran klien. Klien digalakkan meluahkan segala isi hati dan perasaannya yang tidak logik dan tidak rasional. Kaedah perkaitan bebas ini digunakan untuk mengingat dan meluahkan emosi yang berkaitan dengan keadaan-keadaan traumatik masa lalu. Proses ini di kenali sebagai katarsis. Semasa proses ini dilakukan, kaunselor berperanan mengenalpasti bahan represi yang masih terkunci di alam tidak sedar. Dalam hal ini, pendekatam hipnosis juga boleh di gunakan.

4.2 Penafsiran

Penafsiran ialah prosedur asas yang digunakan untuk menganalisis perkaitan bebas, mimipi, penahanan, dan pemindahan. Prosedurnya, kaunselor perlu memberikan petunjuk, penjelasan dan nasihat kepada klien tentang makna-makna tingkah laku yang dimanifestasikan daripada perkaitan bebas, mimpi, penahanan, dan hubungan terapiutik itu sendiri. Fungsinya ialah memberi peluang kepada ego mengasimilasikan bahan-bahan baru dan mempercepatkan pendedahan lanjut bahan-bahan alam tidak sedar. Penafsiran kaunselor membantu klien kepada celik akal dan sedar segala yang terpendam di dalam dunia tidak sedar klien.

4.3 Takbir Mimpi

Analisis mimpi digunakan untuk mendedahkan bahan-bahan tidak sedar klien dan memberi celik akal klien untuk menyelesaikan masalah yang tidak dapat di selesaikan. Freud beranggapan bahawa mimpi adalah “jalan diraja ke alam tidak sedar”. Kerana dalam mimpi terdapat manifestasi perkara atau peristiwa yang tidak biasa muncul dalam alam sedar. Dalam mimpi, alam tidak sedar akan melahikan impian, keperluan, kebimbangan dan sebagainya.

4.4 Analisa penahanan

Semasa perkaitan bebas atau perkaitan mimpi dijalankan, klien mungkin tidak bersedia untuk menceritakan beberapa fikiran, perasaan dan pengalamnya. Keadaan tidak mahu atau tidak berupaya melahirkan perasaan seperti ini disebut sebagai penahanan. Freud melihat bahawa penahanan sebagai dinamika alam tidak sedar yang cuba melindungi daripada menjai sedar akan dorongan dan perasaannya yang tertindas. Selagi penahanan ini tidak diatasi maka selama itulah klien akan mengalami kerisauan dan permasalahan. Dengan itu, kaunselor perlu menjelaskan perkara ini dan klien pula mesti menghadapinya sekiranya ingin menyelesaikan konflik yang dihadapinya secara realistik.

4.5 Analisa Pemindahan

Kebanyakan terapi analitik percaya bahawa klien akan membentuk “pemindahan neurosis” kerana neurosis klien berasal dari zaman kehidupan lima tahun yang pertamanya. Tapi sekarang klien tidak seharusnya membawa unsur-unsur tersebut kedalam zaman dewasanya sebagai kerangka kehidupanya. Dalam pemindahan ini, klien akan memindahkan perasaan dan pengalaman yang di alaminya semasa zaman kanak-kanak dahulu kepada kaunselor. Kaunselor pula akan menggalakkan pemindahan neurosis denganbersikap neutral, objektif, anonymity, dan pasif. Kaunselor akan cuba memahami dan mentafsirkan curahan perasaan dan pengalaman ini supaya klien sedar akan sebab-sebab berlakunya tindakan yang tidak rasional didalam dirinya selama ini.

5.0 APLIKASI TEORI PSIKOANALITIK

Disebabkan sifat psikoanalitik  yang rumit dan kompleks maka aplikasi psikoanalitik adalah agak terhad. Maka untuk memudahkan teori ini diaplikasikan maka seseorang kaunselor perlu mempunyai kemahiran  yang tinggi dan serasi dengan pendekatan ini. Teori ini dapat digunakan untuk; pertama, mengenalpasti masalah klien dengan menghubungkaitkan dengan keterencatan pada peringkat-peringkat tertentu perkembangan klien, kedua menguji sejauh mana pengalaman masa lampau klien menimbulkan kesan yang tidak baik pada diri klien sekarang, ketiga mengatasi konflik yang sekian lama dan berurutan dalam hidup klien, keempat pula ialah mengenalpasti struktur psyche (id, ego, superego) yang sedang mengawal klien.

Dapatlah dikatakan bahawa teori ini dapat diaplikasikan dalam kaunseling bagi menyediakan  suasana untuk membantu klien mengalami semula pengalaman awal hidupnya secara individu mahupun dalam kekeluargaan serta persekitarannya. Ianya juga bertujuan  untuk menyelami dan membongkar perasaan  yang terpendam disebabkan oleh peristiwa atau pengalaman masa lampau yang  boleh mempengaruhi tingkahlaku masa kini. Ia juga dapat membantu kepada celik akal kepada punca keterencatan perkembangan psikologikal kemudian merangsang penyembuhan pengalaman emosi klien. Dari segi tatacara terapi ini juga dapat diaplikasikan dalam kaunseling seperti teknik perkaitan bebas. Tetapi mungkin caranya diubahsuai mengikut semasa.

6.0 SUMBANGAN TEORI PSIKOANALITIK

Freud merupakan seorang tokoh psikologi yang dapat menentukan dan telah mendahului zamannya dengan pemikiran ilmiah dan psikologi. Kerajinan dan kesungguhan beliau telah menghasilkan dapatan-dapatan yang telah dipraktikan oleh Freud di klinik persendiriannya dan didapati telah berkesan . beliau juga telah menghasil beberapa buku yang menjadi rujukan oleh ahli-ahli psikologi di seluruh dunia hingga kini.

Pendekatan yang diperkenalkan oleh Freud ini seperti kaedah hipnosis, perkaitan bebas dan analisis mimpi telah memberi sumbangan yang besar terhadap kaedah terapi psikoanalisis bagi merawat pesakit-pesakit neurosis. Diantara sumbangan yang besar yang dicurahkan oleh freud ialah; pertama, melalui teorinya, kita dapat mengetahui tentang dinamika yang sering berinteraksi dalam jiwa kita sehingga membawa kepada kerisauan, kedua kaedah-kaedah yang dicadangkan oleh Freud dapat membantu di dalam kaitan memahami penahanan dan kepentingan perhubungan kaunselor dan klien, nilai-nilai pemindahan dan mekanisme bela diri, kita juga dapat mengetahui peringkat-peringkat perkembangan personaliti  dan permasalahan-permasalahan yang berkaitan dengannya serta tingkah laku yang terhasil akibat terlekatnya perkembangan tersebut dalam sesuatu peringkat tertentu.

Menurut Shahabudin Hashim dan Rohizani Yaakub (2002), terdapat dua matlamat utama teori psikoanalitik iaitu pembentukan semula watak dan menguatkan fungsi ego. Daripada kedua-dua matlamat tersebut, ramai penyelidik psikoanalitik berpendapat bahawa Freud memberikan tugas tersebut terutamanya kepada kaunselor ataupun aktiviti kaunseling itu sendiri. Pengalaman masa lampau sangat penting untuk membolehkan seseorang individu ataupun kaunselor memahami secara mendalam masalah yang mempengaruhi pemikiran klien yang ada pada masa kini. 

7.0 LIMITASI TEORI PSIKOANALITIK

Antara limitasinya adalah masa dan tenaga yang digunakan dalam proses teori ini adalah terlalu panjang sehingga memakan masa 2 hingga 5 tahun untuk menyelesasikan satu-satu kes, tidak sesuai untuk digunakan bagi melayan jumlah klien yang ramai, teori ini lebih menekankan kepada masalah dalaman dan mempunyai kesan perubatan yang sedikit kepada klien, teori ini terlalu menekankan  tentang naluri seks manusia, pendapat atau pandangan freud terlalu terkongkong dan berpegang  kepada sebaran agama Freud terlalu bersikap berat sebelah (bias) terhadap golongan wanita, tidak sesuai digunakan untuk klien yang menghadapi masalah krisis yang memerlukan penyelesaian segera. Teori ini mempunyai sokongan empirikal yang terhad iaitu hanya berdasarkan pengalaman freud sendiri.

8.0 PENUTUP

Secara ringkasnya kita mengetahui bahawa teori ini sebenarnya sukar diterjemahkan  ke dalam dunia nyata namun kita seharusnya menghargai sumbangan yang besar diberikan oleh Freud dari segi kefahaman, kaedah-kaedah, peringkat-peringkat perkembangan personaliti dan masalah manusia dan bagaimana sifat semulajadi manusia. Kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa teori yang diperkenalkan oleh Freud telah menjadi asas dan menjadi pelopor kepada teori-teori psikoterapi yang lain. Terdapat banyak perkara yang seharusnya kita pelajari daripada teori psikoanalisis ini, kerana teorinya yang sangat kompleks maka kita tidak dapat mengetahui maksud-maksud yang dinyatakan sama ada secara tersurat atau pun secara tersirat. Terdapat beberapa hal yang penting mengenai teori ini yang boleh dijadikan sebagai satu proses pembelajaran sepanjang hayat, dan khususnya sebagai seorang kaunselor, pengetahuan tentang teori psikoanalitik ini haruslah menjadi panduan untuk membantu klien. Teori ini akan dapat membantu kita dalam mengendalikan kaunseling dengan lebih berkesan apabila ianya dijalankan dengan kaedah-kaedah yang betul. Dalam teori ini juga telah ditekankan tentang perkembangan awal kanak-kanak pada peringkat lima tahun pertama dan interaksi ketiga-tiga unsur id, ego, superego yang amat penting dalam pembentukan personaliti seseorang. Walaupun idea-idea  yang dikemukakan oleh freud bukanlah sesuatu yang komprehensif, sebagai contohnya hanya menekankan kepada hal berkaitan seks tetapi pada asasnya teori ini telah meletakkan asas dan rangsangan yang positif ke arah kewujudan teori-teori lain selepasnya. 

RUJUKAN

Amir Awang. (1991). Teori-teori Kaunseling & Psikoterapi. Pulau pinang : Universiti Sains Malaysia.

Corey, G. (1996). Theory and practice of of counseling and psychotherapy (6th ed). Pacific Grove: Brooks/Cole.

Daniels, V. (2003).  Sigmund Freud & Psychoanalysis Notes. Website in The Psychology Department at Sonoma State University. Diterima pada — Mac, 2010 daripada http://www.sonoma.edu

Gladding, S.T. (2000). Counseling; A comprehensive Profession. (4th ed). New Jersey: Prentice Hall.

Guy, S. (2009). The Psychoanalytic Model Of Therapy. Bukisa share your knowledge online. Diterima pada — Mac, 2010 daripada  http://www.bukisa.com

Ma’rof Redzuan & Haslinda Abdullah. (2003). Psikologi. (2nd ed). Universiti Putra Malaysia. Shah Alam: McGraw – Hill.

Othman Mohamed. (2001). Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan dalam Kaunseling. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Shahabudin Hashim & Rohizani Yaakub. (2002). Teori Personaliti Dari Perspektif Islam, Timur dan Barat. Bentong: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Disediakan Oleh:

A. Rahman A. N. dkk (Mac, 2010).


Trackbacks & Pingbacks

Komen-komen

  1. * Norhaniza bt. Taharuddin says:

    Terima kasih di atas ilmu yg dkongsikan bersama.

    | Balas Dikirim 10 years, 8 months ago


Tinggalkan komen