nikalila



Teori Konflik Pelbagai Pihak

1.0       Pengenalan

Teori konflik pelbagai pihak boleh dianggap sebagai teori moden yang cuba melihat konflik dalam pendekatan baru yang sesuai dengan konsep pada masa kini. Ramai yang menyatakan bahawa teori-teori konflik terdahulu tidak dapat menerangkan dalam situasi masyarakat pada pada masa kini, konflik tidak berpunca daripada persetujuan (consensus) tapi sebenarnya disebabkan oleh paksaan (Eitzen & Zinn, 2004). Menurut Lecay (2000) (dlm. Malike Ibrahim, 2008), perbezaan yang ada pada manusia menyebabkan timbulnya konflik dan menurut beliau sesuatu konflik tidak semestinya hanya patut dilihat dari sudut negatif. Jika dilihat dari sudut lain, konflik sebenarnya boleh diuruskan untuk tujuan perubahan, pembelajaran, pembangunan, mencipta hubungan yang lebih baik dan pelbagai lagi kegunaan positif.

Teori ini dikenali sebagai konflik pelbagai pihak kerana konflik yang wujud pada mulanya adalah kecil iaitu melibatkan individu ataupun membabitkan dua pihak individu sahaja. Konflik yang terjadi seterusnya akan membesar sehingga mewujudkan satu bentuk piramid yang sangat besar dan terbentang dari bawah ke atas. Sebagai contohnya disini katakan konflik telah bermula berpunca daripada dua perkara atau pandangan yang berbeza. Kemudian bayangkan apabila terdapat dua individu dan kedua-duanya adalah berasal daripada dua komuniti berbeza yang bermusuhan. Kedua-dua komuniti itu dipisahkan oleh jarak yang jauh dan setiap komuniti mempunyai budaya, tradisi dan dialek masing-masing. Individu-individu tersebut kemudiannya mengajar anak-anak mereka menyerang pihak lain dengan pandangan bahawa komuniti orang lain adalah musuh mereka. seterusnya begitulah juga anak-anak mereka mengajar generasi yang baru dengan pandangan komuniti mereka. Arus perkembangan pembangunan memaksa setiap komuniti tertumpu di kawasan-kawasan tertentu sehingga mewujudkan satu kehidupan bercampur dan hidup bermasyarakat. Pada keadaan ini bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan konflik mereka. Sama ada mereka membiarkan saja konflik tersebut berterusan tanpa sebarang penyelesaian ataupun melihat secara konstruk dengan melihat konflik tersebut sebagai satu cara perubahan dan pembelajaran hubungan yang lebih baik.

Teori konflik pelbagai pihak ini sebenarnya dilihat menarik untuk dipelajari kerana kita sebagai individu yang hidup di dalam masyarakat majmuk dan datang dari latar belakang berbeza tidak dapat lari daripada kecenderungan berlakunya konflik. Konflik sama ada yang berlaku secara sengaja ataupun tidak sengaja bukan saja timbul di dalam masyarakat tapi boleh juga berlaku di tempat kerja, sekolah, rumah, antara dua individu, perhubungan yang melibatkan interaksi sosial dengan orang lain sehinggalah kepada dalam diri individu itu sendiri. Dalam erti kata lainya konflik yang berlaku dari aspek interpersonal perlahan-lahan membawa kepada konflik intrapersonal, interkumpulan, intrakumpulan  sehinggalah kepada peringkat yang lebih besar. Teori ini sebenarnya cuba merungkai dengan lebih mendalam mengenai konflik yang datang dari pelbagai pihak, bagaimana sesuatu konflik itu boleh terjadi menurut perspektif tertentu dan sebagainya.         

2.0       Punca dan sumber konflik menurut teori konflik pelbagai pihak

Terdapat beberapa punca berlakunya konflik yang mana ia selau wujud ketika kita merasakan terdapat ancaman daripada pihak lain. Punca konflik yang pertama sekali ialah pengendalian daripada kumpulan yang berbeza. Katakan apabila kita dalam mana-mana situasi yang memerlukan kita untuk bersatu menjadi kumpulan, contohnya pembentukan satu kumpulan untuk menyiapkan satu tugasan kerja atau projek. kemudian dalam kumpulan tersebut ia diketuai atau dikendalikan oleh seorang individu yang berbeza dengan diri kita dari segi nilai dan kepercayaan maka keadaan ini boleh mewujudkan konflik. Sebagai contohnya katakan apabila berlaku kesilapan, ketua tersebut memberi teguran dan kritikan keras secara langsung kepada anak-anak buah kendaliannya di hadapan orang lain, ini sudah tentu menyebabkan pertikaian kepada sesetengah pihak di kalangan anak-anak buahnya kerana mereka berpegang kepada nilai memberi teguran dalam bentuk yang membina dan mengelak menyakiti hati orang lain. Begitu juga dengan halnya apabila kedua-dua pihak iaitu antara ketua dan orang bawahan kurang mengambil tahu sensitiviti kepercayaan antara satu sama lain, ini juga menyebabkan terjadinya konflik.

Punca konflik yang kedua ialah pencerobohan apa yang dianggap sebagai wilayah kita. Punca ini boleh dilihat boleh menyebabkan konflik yang kecil sehinggalah kepada yang lebih besar. Keadaan ini boleh dilihat dalam persekitaraan kehidupan sehari-harian kita. Contohnya disini ialah kita mungkin akan berasa marah apabila tempat letak kereta yang telah disediakan khas kepada kita telah diletakkan dengan kereta orang lain. Kita juga akan berasa marah dan timbul keraguan apabila rumah kita dimasuki oleh orang yang tidak dikenali tanpa ada apa-apa tujuan. Dalam situasi kedua-dua contoh tersebut kita menganggap tempat meletak kereta dan rumah sebagai ‘wilayah’ kita dan apabila wilayah tersebut dicerobohi maka timbullah konflik diantara kita dengan orang tersebut. konflik yang lebih besar pula dapat dilihat apabila ia membabitkan komuniti tertentu sehinggalah kepada konflik antara negara. Setiap hari kita melihat di kaca televisyen dan akhbar berita bagaimana komuniti tertentu berkonflik apabila tempat yang dianggap suci oleh mereka seperti rumah-rumah ibadat diceroboh oleh pihak luar. Kemudian bagaimana peperangan yang berlaku diantara negara akibat daripada pencerobohan wilayah. Keadaan ini menyebabkan konflik yang lebih besar apabila berlakunya perbalahan dan demonstrasi yang berleluasa.

Punca konflik yang ketiga ialah melarikan atau membawa keluar sesuatu yang kita rasakan sebagai hak atau menjadi milik kita sepenuhnya. Dalam erti kata lainnya sesuatu kepentingan atau faedah yang diperolehi daripada hasil permilikan kita digunakan oleh orang lain untuk tujuan kepentingan mereka. Salah satu contohnya disini ialah katakan kita mempunyai seorang sahabat dan sahabat tersebut sering menggunakan benda yang kita miliki untuk kegunaannya tanpa meminta kebenaran daripada kita terlebih dahulu. Keadaan ini seterusnya akan menimbulkan konflik diantara dua pihak. Keadaan ini juga boleh berlaku di tempat kerja dan dalam mana-mana situasi. Katakan dalam sebuah pejabat hanya dibekalkan dengan beberapa buah komputer sahaja dan salah satu komputer tersebut diletakkan di atas meja seorang pekerja yang benar-benar memerlukannya sebagai memudahkan dirinya meyiapakan tugas mengikut spesifikasi kerjanya, kemudian rakan sekerja yang lain pula berebut untuk menggunakan komputer yang sama. Keadaan ini menyebabkan pekerja tersebut tidak dapat menyiapkan tugasan dengan baik dan kesannya timbulah konflik disini. Punca konflik seperti ini juga menyebabkan terjadinya konflik diantara negara, misalnya isu-isu perebutan pulau-pulau yang diakui menjadi sebahagian daripada milik negara mereka.

Punca konflik yang seterusnya ialah perbezaan dalam pelbagai aspek atau cara. Kita sebenarnya tidak dapat lari daripada situasi ini, setiap manusia dilahirkan dengan sikap, personaliti, pembelajaran nilai budaya dan sebagainya lagi yang memang nyata berbeza di antara satu sama lain, ini sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita. Perbezaan yang wujud inilah yang sebenarnya boleh menimbulkan konflik antara kita jika penerimaan pelbagai aspek perbezaan tersebut tidak dikendalikan dengan baik. Perbezaan dalam pelbagai aspek atau cara ini sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita sehari-harian. Sebagai contohnya dari segi gaya pemakaian kita, ada individu yang suka berpakaian kemas dan nampak lebih sopan dan ada pula individu yang lebih suka memilih imej yang lari dari cara pemakaian sopan untuk kelihatan lebih menonjol. Pertembungan kedua-dua individu ini mungkin akan cenderung menimbulkan perbalahan yang mencetuskan konflik, dimana mungkin saja kedua-dua individu tersebut akan saling kritik-mengkritik antara satu sama lain sehingga menyebabkan tertanamnya sikap prejudis di antara mereka. Perbezaan ini tidak terhad kepada aspek tertentu sahaja dan mungkin bagaimana cara kita dalam melakukan kerja juga boleh menimbulkan konflik. Sebagai contohnya dalam menjalankan tugasan berkumpulan, ahli-ahli kumpulan tidak semuanya mempunyai sikap yang sama, ada ahli kumpulan yang menyiapkan tugasan bahagian yang diberikan dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab dan sebaliknya ada juga ahli kumpulan yang menyiapkan tugasan dengan perlu dipaksa berkali-kali terlebih dahulu kemudian barulah mereka menghantar tugasan bahagian tersebut. Dalam keadaan ini, hal ini akan menyebabkan terjadinya konflik sesama ahli kumpulan (konflik interkumpulan).     

Sumber konflik yang terakhir ialah datang daripada punca-punca yang menjadikan kita tidak senang atau selesa. Biasanya kita tidak dapat lari daripada keadaan seperti ini, setiap perkara yang dilakukan oleh orang lain yang dirasakan tidak sesuai dengan kelakuan yang kita harapkan dan kehendaki akan menyebabkan kita merasakan tidak senang dengan perkara tersebut. Perasaan tidak senang atau ketidakselesaan itu mungkin saja timbul daripada gangguan, tekanan, ketidakadilan dan sebagainya lagi. Contohnya disini apabila kita diarahkan untuk menyiapkan sesuatu kerja yang diperlukan secepat mungkin, kemudian katakanlah kita berasa sungguh sukar untuk menyiapkannya, ini akan menyebabkan timbulnya konflik dalam diri kita. Konflik itu seterusnya akan lebih membesar menjadi konflik di antara dua individu jika terdapat orang lain yang membuat bising sehingga menganggu kita menumpukan perhatian menyiapkan kerja atau tugasan yang diserahkan itu kepada kita. Begitulah juga seterusnya konflik akan membesar dan membesar lagi sehingga melibatkan pihak-pihak lain. Misalnya dalam analogi contoh yang diberikan itu tadi, kita akan cenderung menyalahkan pihak yang memberi arahan membuat tugasan itu terhadap kita dan menuduhnya sebagai tidak adil dan pilih kasih kerana memberikan tugasan yang lebih sukar kepada kita berbanding dengan orang lain.        

3.0       Tanda-tanda konflik

Dalam teori ini terdapat satu model untuk mengenal pasti tanda-tanda atau simptom konflik. Mungkin ramai yang berpendapat bahawa konflik biasanya akan menunjukkan ketidaksetujuan, percanggahan umum, persaingan, teriakan atau nada yang keras dan tanda-tanda lain yang jelas menunjukkan bahawa seseorang itu sedang berkonflik. Sebenarnya terdapat juga tanda-tanda tersembunyi dalam konflik. Konflik dapat digambarkan dengan cara yang agresif atau pasif dan sama ada secara terang-terangan atau atau senyap. Bagi menerangkan tanda-tanda konflik ini, Lacey (2000), telah membahagikan tanda-tanda konflik kepada empat sub atau sukuan iaitu tanda jelas, terselindung, agresif dan pasif. Dua daripada empat tanda konflik itu kemudiannya digandingkan untuk menerangkan ciri-ciri individu yang berada dalam keadaan konflik tersebut.

Sukuan pertama adalah gabungan di antara tanda konflik yang jelas dan agresif. Biasanya individu yang berkonflik dalam keadaan ini akan menyebabkan terjadinya pertengkaran, pertelingkahan, jeritan, keganasan dan sebagainya. Tanda konflik akan berlaku secara terang-terangan diantara dua pihak, kemudian konflik yang berlaku diantara dua pihak tersebut berlaku dalam suasana yang agresif. Sebagai contohnya katakan dalam satu situasi kita tidak sengaja melanggar kereta orang lain, kemudian orang tersebut datang kepada kita dan menghamburkan kata-kata yang boleh menimbulkan kemarahan kepada kita, kita akan cenderung bertindak balas untuk membalas apa yang dikatakan oleh pemandu tersebut. Dalam hal ini kita akan cuba menggunakan mekanisme bela diri (self-defence mechanism) dari segi penafian. Penafian merupakan keenganan seseorang untuk mempercayai maklumat yang mencetuskan kebimbangan (Ma’rof Redzuan & Haslinda Abdullah, 2003). Bagi situasi contoh yang diberikan tersebut, kita akan cuba menafikan kesilapan kita yang melanggar kereta orang tersebut. Katakan kedua-dua pihak tidak ingin mengalah maka berlakulah tanda konflik yang jelas dan agersif.

Sukuan kedua merupakan gabungan di antara konflik yang terselindung dan agresif. Dalam keadaan ini terdapat pelbagai cara konflik itu dimanifestasikan, antaranya adalah termasuklah memberi kritikan atau komen secara tidak langsung, membuat sindiran atau kelakuan sinis, berkempen secara kotor, membuat sabotaj dan sebagainya. Dalam erti kata lain tanda konflik ini berlaku secara tidak bersemuka tetapi sangat memberi kesan yang mendalam terhadap mereka yang dalam keadaan berkonflik. Hal ini dapat digambarkan dalam contoh situasi ini, iaitu terdapat seorang individu tidak berpuashati dengan sikap seorang pemimpin yang mana menjalankankan sistem autokratik sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap pengikut-pengikutnya. Disebabkan tidak ada seorang pun yang berani memberi teguran secara bersemuka dengan pemimpin tersebut, individu tersebut kemudiannya mengambil langkah secara tersembunyi menghantar surat layang kepada orang lain tentang keburukan pemimpin tersebut, kesannya pemimpin autokratik itu menerima tamparan yang hebat daripada tindakan individu tersebut. Situasi seperti inilah yang dimaksudkan dengan tanda konflik secara terselindung dalam gaya yang agresif.

Sukuan yang seterusnya menunjukkan gabungan di antara tanda konflik yang tersembunyi dalam cara yang pasif. Ciri-ciri individu yang berkonflik seperti ini ialah tidak ingin memberi kerjasama, ponteng atau lari dari tugas dan gemar memberi alasan. Apabila berlaku sesuatu konflik dalam sesuatu kumpulan, dimana sesetengah ahli kumpulan tidak berpuashati dengan sikap ketua mereka, mereka tidak akan menunjukkan perasaan ketidakpuasan hati mereka secara langsung kepada ketua tetapi sebaliknya menunjukkan sikap tidak puas hati mereka dengan cara tidak ingin membenarkan pencapaian dan kejayaan kumpulan itu. Dalam mencapai tujuan itu, mereka akan cuba bertindak untuk tidak berkerjasama menyiapkan satu-satu tugasan dan apabila diminta berbuat demikian mereka akan memberi apa-apa sahaja alasan untuk mengelaknya. Tanda konflik seperti ini jelas menunjukkan bahawa terrdapat juga manifestasi konflik yang berlaku secara tersirat dan tidak semestinya apa yang sering kita gambarkan tentang mereka yang sedang berkonflik.  

Sukuan yang keempat dan terakhir ialah menunjukkan gabungan di antara tanda konflik yang jelas dengan gaya pasif. Dalam keadaan ini konflik berlaku secara terang-terangan tetapi dimanifestasikan dengan cara yang pasif, antara tindakan yang biasa dilakukan ialah seperti tidak mempedulikan arahan dan teguran, sikap acuh tidak acuh terhadap apa yang berlaku disekeliling dan berterusan rasa tidak puas hati dengan sesuatu keputusan. Apa yang dimaksudkan dengan sikap pasif dalam konflik yang jelas ini dapat digambarkan dalam contoh ini, katakanlah seorang individu itu tidak berpuashati dengan ketuanya oleh sebab-sebab tertentu dan kemudian menyatakan secara langsung kepada ketuanya, selepas itu ketua itu menyedari bahawa individu itu tidak berpuashati dengannya, maka disini timbulnya konflik yang jelas diantara mereka berdua. Sebagai rasa tidak puas hati dengan ketuanya itu, individu itu tidak pula bertindak bertelingkah secara langsung dengan ketuanya tetapi sebaliknya mengambil langkah berdiam diri dan tidak memperdulikan apa sahaja yang dikatakan tentang dirnya. Dalam menerima teguran, individu itu mungkin saja menunjukkan wajah yang selamba dan sinis tetapi tidak bertindak untuk membangkang semula apa yang ditegur terhadapnya. Tindakan ini menunjukkan bahawa individu itu berkonflik dengan gaya yang pasif.                       

4.0       Tahap-tahap konflik

Dalam teori ini, Lacey (2000), telah membuat satu lakaran tentang tahap-tahap konflik. Tahap-tahap konflik itu dibahagikan kepada lima peringkat yang bermula dengan ketidakselesaan, insiden, salah faham, ketegangan, dan akhirnya krisis. Emosi dan perasaan yang tidak bersesuaian seperti dalam keadaan marah, geram dan sebagainya lagi lama-kelamaan akan menyebabkan ia meletus jika terpendam terlalu lama. Perjalanan daripada tahap ketidakselesaan sehinggalah kepada tahap krisis mungkin boleh jadi mengambil masa dalam beberapa hari, seminggu, sebulan, setahun atau dalam beberapa tahun. Semua ini adalah bergantung tentang bagaimana konflik itu terjadi dan dimanifestasikan oleh individu-individu yang berkonflik.

Secara umumnya, banyak konflik bermula dengan perasaan tidak selesa, perasaan seperti ini adalah sesuatu yang tidak baik. Biasanya apabila kita mengalami perasaan seperti ini, ia boleh menjadi insiden yang sangat kecil dan kita mungkin cenderung mengabaikannya disebabkan pada tanggapan kita ia tidak membimbangkan kita dan tidak ada apa-apa yang perlu dikhuatiri. Insiden atau kejadian yang dimaksudkan disini ialah berlakunya tanda-tanda konflik terhadap diri kita dengan orang lain. Apa yang mungkin menyebabkan kita untuk tidak berapa menghiraukannya ialah mungkin kita pernah mengalami pengalaman seperti insiden tersebut banyak kali, tetapi memutuskan untuk tidak ingin memperbesar-besarkan perkara tersebut.

Insiden yang terjadi tersebut sebaliknya akan meninggalkan kesan seperti perasaan benci yang seterusnya menimbulkan salah faham diantara kita dengan orang yang sedang berkonflik tersebut. Perasaan salah faham itu mungkin berlaku apabila orang lain menganggap dan menuduh kita yang terlebih dahulu cuba mencetuskan konflik, sedangkan kita berusaha mengelak daripada konflik itu terjadi. Situasi ini akan menyebabkan peringkat salah faham ini telah beralih kepada peringkat ketegangan, dimana salah faham yang terjadi diantara dua pihak ini akan menyebabkan suasana tegang seperti pertikaman lidah dan kritik-mengkritik antara satu sama lain berlaku.

Konflik yang terjadi seterusnya akan berada di kemuncaknya iaitu berada ditahap krisis. Krisis yang dimaksudkan disini ialah kesan daripada ketegangan yang berlaku, hal ini kerana apabila mengalami hubungan yang tegang dengan orang lain, orang-orang lain yang berada di sekeliling kita akan turut terlibat. Ini menjadikan konflik yang pada mulanya berlaku diantara individu (konflik interpersonal) berubah menjadi konflik yang lebih besar seperti konflik intrakumpulan dan konflik interkumpulan. Sebagai contohnya katakanlah kita dan individu yang sedang kita berkonflik tersebut adalah di dalam kumpulan yang sama. konflik yang berlaku diantara kita dengan individu itu mungkin akan terbawa-bawa di dalam kumpulan. Apabila satu proses pembuatan keputusan atau proses perlaksanaan tugas dijalankan dalam kumpulan, kita cenderung untuk mempertahankan matlamat atau pendapat yang berbeza dengan individu yang sedang kita berkonflik itu. Ahli-ahli kumpulan yang lain pula kemudiannya akan bertindak sama ada menyokong usul matlamat yang diinginkan oleh kita ataupun usul matlamat yang dikemukakan oleh musuh konflik kita. Jika tidak timbul kesepakatan ahli-ahli kumpulan dalam perkara itu, maka implikasinya terjadilah konflik interkumpulan. Hal ini menjelaskan bahawa krisis yang lebih besar akan timbul bermula dengan tahap ketegangan.

Bagi menerangkan proses peralihan tahap-tahap konflik yang bermula daripada tahap ketidakselesaan sehinggalah tahap krisis ini. Lacey (2000), telah membuat satu anologi terhadap perkara ini, beliau menggambarkan perjalanan tahap konflik ini dapat diibaratkan seperti melempar bebola salji (snow ball) ke bawah lereng yang curam. Dalam pergerakan ke bawah menuruni lereng yang curam, bebola salji itu tadi akan mula menggumpal dan menggulung sehingga menjadikan bebola salji itu menjadi semakin membesar dan tidak terkawal. Daripada contoh analogi bebola salji ini kita akan mengetahui bahawa saiz konflik akan juga akan semakin meningkat dan membesar di setiap peringkat atau tahap konflik.                                  

5.0       Penutup

Secara ringkasnya, teori konflik pelbagai pihak ini merupakan teori moden yang cuba menilai konflik dari pelbagi sudut. Daripada teori ini kita dapat melihat beberapa sumber, tanda dan tahap konflik, kesemua aspek-aspek tersebut memberi pemahaman yang berguna kepada kita dalam meneliti bagaimana sesuatu konflik itu boleh berkembang. Daripada huraian konflik ini, kita dapat mengetahui bahawa sumber utama konflik secara umumnya berpunca daripada faktor dalaman dan luaran. Apa yang menarik mengenai teori ini ialah bagaimana sesuatu konflik itu boleh berkembang daripada konflik yang awalnya hanya dialami oleh individu kemudian perlahan-lahan membesar kepada konflik yang dapat melibatkan pihak-pihak lain. Sebenarnya inilah yang ditekankan oleh teori ini dan daripada hal tersebut juga teori ini dinamakan sebagai teori konflik pelbagai pihak. Konflik yang berlaku boleh saja berlaku di peringkat interpersonal, intrapersonal, interkumpulan, intrakumpulan sehinggalah kepada konflik yang berlaku di peringkat antarabangsa yang melibatkan negara-negara. Konflik yang berlaku ini seharusnya perlu diurus dengan baik dan berkesan agar pihak-pihak yang terlibat dapat mencapai kata putus yang dapat memuaskan hati kesemua pihak. Pada hari ini kita sendiri dapat melihat bagaimana usaha-usaha pihak tertentu untuk mengawal konflik yang mungkin terjadi. Dalam konteks Malaysia umumnya, masyarakat kita terdiri daripada pelbagai etnik dan agama, hal ini akan mewujudkan perbezaan yang juga merupakan salah satu sumber konflik. Dalam mengurus konflik antara kaum pelbagai langkah telah dijalankan untuk mewujudkan perpaduan bagi menghalang konflik daripada terjadi.  

Rujukan

Conflict theory. (t.t.). Diterima pada — Februari, 2010, daripada http://en.wikipedia.org/wiki/Conflict_theory

Eitzen, D. & Zinn, M. (2004). In Conflict and Order: Understanding Society. (10th ed). Utd. States: Pearson Education, Inc.

Lacey, H et al. (2009). Affective Education throught Best Practice and Conflict Resolution. Diterima pada — Februari, 2010, daripada http://books.google.com.my

Maldonado, N. & Lacey, H.  (2001).  Defining Moral Leadership: Perspectives of 12 Leaders. Diterima pada — Februari, 2010, daripada http://www.coedu.usf.edu.

Malike Ibrahim. (2008). Mengurus konflik. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.

Ma’rof Redzuan & Haslinda Abdullah. (2003). Psikologi. (2nd ed). Universiti Putra Malaysia. Shah Alam: McGraw – Hill.

Waitchall, S. & Raduan Che Ros. (2006). A Competence-based View to Conflict Management. Diterima pada — Februari, 2010, daripada http://www.scipub.org

Disediakan oleh:

A. Rahman A. N. (Februari, 2010).


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: