nikalila



Kecerdasan Yang Manakah Lebih Baik?, Satu Perbandingan Di Antara Kecerdasan Intelek (IQ) Dan Kecerdasan Emosi (EQ)

Pendahuluan

Kecerdasan emosi dan kecerdasan intelek dapat dibezakan melalui definisinya. Menurut E.G. Boring (1923) kecerdasan Intelek (Intelligence Quotient) atau IQ boleh didefinisikan sebagai “Intelligence is what the test test”. David Wechsler (1975) dalam bukunya ‘Intelligence Defined and Undefined  pula mendefinisikan kecerdasan sebagai keupayaan secara menyeluruh aktiviti kognitif sama ada dari segi mempersepsi, menyimpan, mengingat kembali ingatan, menaakul, menyelesaikan masalah dan kreativiti. Oleh itu secara amnya kecerdasan ialah keupayaan  untuk menyimpan pengetahuan, memperoleh pengetahuan serta keupayaan untuk menggunakan pengetahuan.

Berbalik kepada kecerdasan emosi, Mayer, Caruso dan Salovey (2000), pula mendefinisikan kecerdasan emosi (Emotion Quotient) atau EQ sebagai kebolehan seseorang mengenali makna emosi dan hubungannya dengan cara menaakul  dan cuba menyelesaikan masalah yang berkaitan dengannya. Kecerdasan emosi terlibat dalam kapasiti untuk menjangkakan emosi, mengasimilasikan perasaan berkaitan dengan emosi, memahami maklumat mengenai emosi dan menguruskannya. Goleman (1995), mentakrifkan kecerdasan emosi sebagai kebolehan mengenalpasti emosi diri sendiri dan orang lain, memotivasikan diri sendiri, menguruskan emosi dengan baik serta pembinaan hubungan antara perseorangan. Murray (1998), yang merupakan seorang ahli psikologi mentakrifkan kecerdasan emosi ialah satu kebolehan untuk mengekang perasaan atau emosi negatif seperti marah dan ragu-ragu serta memfokuskan kepada perasaan positif seperti keyakinan diri. Cherniss (2001), pula mendefinisikan EQ sebagai kemampuan melihat (perceive), melahirkan (express), dan menguruskan (managed) emosi diri sendiri dan emosi orang lain.

Kita sering tertanya-tanya bahawa yang mana satukah jenis kecerdasan yang bermanfaat bagi seseorang individu. Pada dasarnya masyarakat meletakkan kecerdasan  kepintaran atau IQ lebih utama dan lebih penting berbanding kecerdasan emosi atau EQ. Masyarakat menganggap bahawa kepintaran adalah segala-galanya yang menjadikannya sebagai kayu ukur kepada sesebuah kejayaan individu. Dalam keadaan perkembangan dunia yang semakin mencabar seiring dengan teknologi yang semakin canggih serta persaingan yang hebat pada masa kini, kecerdasan intelek sahaja sebenarnya tidak mampu menjamin kejayaan seorang individu tanpa wujudnya kecerdasan emosi yang seimbang serta kemahiran-kemahiran lain. Kecerdasan intelek semata-mata tidak mencukupi bagi mengatakan seseorang itu pandai, pintar, bijak, cerdik dan berjaya. Hal ini disebabkan pada masa yang sama, kemahiran inteleknya tidak diseimbangkan dengan pengurusan emosi dan konflik-konflik faktor persekitaran yang berlaku dalam dirinya. Kesannya, hal ini dapat dilihat dalam masyarakat pada hari ini dengan timbulnya beberapa masalah dari sudut emosi yang negatif seperti stres yang melampau, anti sosial dan sebagainya akibat tidak berlakunya pengurusan emosi dan sosial yang baik. Bagi pendapat saya, diantara kecerdasan intelek (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ), kecerdasan emosi (EQ) lebih penting dan perlu ada bagi seseorang individu. Hal ini disokong oleh beberapa pendapat dan kajian yang dilakukan oleh beberapa orang tokoh yang akan dibincangkan secara lanjut dalam kertas kerja ini.

 

Perbandingan diantara kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan intelek (IQ).

Kecerdasan emosi (EQ) dikaitkan dengan pemikiran yang berlaku di sebelah otak kanan manusia. Secara spesifiknya kecerdasan emosi menjana pemikiran otak kanan untuk menghasilkan pertimbangan yang wajar, secara mudah, bebas dan bersahaja ke arah penyelesaian masalah. Ia juga membantu meningkatkan tahap penyesuaian secara menyeluruh, holistik, sintesis, konseptual dan proaktif. EQ meningkatkan daya fokus pembelajaran yang lebih lama selain dapat membina akhlak yang dan tingkah laku yang baik. Kecerdasan intelek (IQ) pula dikaitkan dengan pemikiran yang berlaku di sebelah otak kiri manusia. Pemikiran IQ yang menggunakan otak kiri sebenarnya lebih terhad kepada analisa logikal yang memerlukan langkah demi langkah dan berturutan. Penyelesaian masalah lebih tertutup dan berulang-ulang yang banyak mencetuskan kekeliruan. Kesannya banyak aktiviti menjadi perlahan selain sangat bergantung kepada analisa satu persatu.

Individu yang tinggi dalam kecerdasan emosi mempunyai kebolehan menggunakan emosi sebaiknya, lazimnya individu seperti ini dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai emosi mereka. Individu yang mempunyai tahap kecerdasan emosi, kecerdasan sosial dan kemahiran yang tinggi juga mampu membina kejayaan serta dapat meneruskan hidupnya (survival). Dalam membincangkan hal kecerdasan emosi ini, terdapat dua kajian utama yang dijalankan tentang kecerdasan emosi terhadap kejayaan dan kepentingannya terhadap individu berbanding kecerdasan intelek, iaitu kajian yang dilakukan oleh Goleman yang ditulis dalam buku terbitan beliau iaitu ‘The Emotional Intteligence’ pada tahun 1995 dan sebelum itu pada tahun 1990 oleh Salovey dan Mayer.

Salovey dan Mayer (1990) telah mengemukakan lima ciri model asas kecerdasan emosi. Ciri pertama tersebut ialah dapat memahami sesuatu emosi, ciri kedua ialah kebolehan untuk menangani hubungan interpersonal dengan baik, ciri ketiga ialah kebolehan menggunakan emosi untuk memotivasikan diri sendiri, ciri keempat pula ialah kebolehan untuk mengenali emosi orang lain manakala yang kelima pula ialah kebolehan yang baik untuk menguruskan emosi seseorang.

Goleman (1995), pernah mengatakan bahawa “penilaian seseorang individu bukan sahaja diasaskan kepada kecerdasan yang ada pada keintelektualnya (IQ), tetapi yang lebih penting adalah kecerdasan emosi (EQ) yang ada pada dirinya”. Mengikut kajiannya ke atas kanak-kanak, remaja dan dewasa pada tahun 1995, beliau mendapati individu yang mempunyai tahap kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi menunjukkan pencapaian prestasi kepimpinan yang lebih tinggi dari sudut kecekapan sosial, keberkesanan peribadi, dapat mengawal tekanan, lebih berdikari dan boleh diharapkan dalam kerja mereka. Kesimpulan daripada kajian tersebut juga menunjukkan bahawa tahap kecerdasan emosi lebih banyak mempengaruhi kejayaan seseorang individu berbanding tahap kecerdasan intelektual yang ada. Selain itu, satu lagi perkara yang menarik di sini ialah menurut pendapat para pemimpin berjaya di dunia, lebih separuh daripada mereka mengatakan bahawa kecerdasan intelek mereka berada pada tahap yang sederhana manakala kecerdasan emosi mereka berada pada tahap yang tinggi. Goleman mengatakan terdapat terdapat empat elemen utama dalam kecerdasan emosi, iaitu kesedaran tentang diri (self awareness), mengurus diri (self management), kesedaran sosial (social awareness), dan kemahiran bermasyarakat ( social skill ).

Menurut buku ‘The Emotional Intelligence’ yang ditulis oleh Goleman, terdapat bukti kecerdasan emosi amat berkuasa malahan lebih berkuasa daripada IQ dalam sebarang domain kehidupan manusia. Dalam erti kata lain kecerdasan emosi lebih mampu mencorakkan kehidupan manusia daripada kecerdasan azali (sedia ada). Dari sudut saintifiknya pula, Mayer (1997), dalam bukunya ‘Emotional Development and Emotional Intelligence’, telah mendefinisikan kecerdasan emosi (emotional intelligence) sebagai keupayaan untuk menaakul dengan emosi dalam empat perkara iaitu mempersepsi emosi, menyepadukan emosi dalam pemikiran, memahami emosi dan menguruskan emosi.

Kecerdasan emosi sebenarnya membantu kita untuk mencapai sesuatu matlamat kejayaan yang dikehendaki, walaupun kita tidak mempunyai IQ yang tinggi atau kepintaran yang tinggi untuk mencapai sesuatu kejayaan, dengan adanya EQ sekurang-kurangnya seseorang individu akan mempunyai sifat keyakinan diri dan daya ketahanan yang tinggi untuk mengecapi matlamat kejayaan, berbanding bagi mereka yang mempunyai IQ yang tinggi, mereka tidak semestinya mempunyai tahap keyakinan kerana emosinya yang mungkin kekurangan nilai-nilai positif. Contoh yang paling jelas disini ialah kita mungkin pernah mendengar bahawa ramai individu yang telah berjaya dalam pelbagai bidang walaupun tidak mempunyai diploma, ijazah dan kelulusan-kelulusan tinggi, namun kelebihan yang ada pada mereka telah mampu membuktikannya berdasarkan kecerdasan emosi yang dimiliki. Dalam hal ini, individu yang mempunyai EQ tinggi tidak begitu terserlah dalam pelajaran tetapi mempunyai sikap bekerja dengan rajin sebelum diminta manakala individu yang mempunyai tahap IQ yang tingggi mempunyai ciri cemerlang dalam pelajaran tetapi dalam masa yang sama mempunyai sikap keras kepala atau degil. Biasanya individu seperti usahawan yang mempunyai kecerdasan emosi yang baik akan mampu berdaya saing dan peka terhadap kehendak orang lain, dengan adanya kecerdasan emosi ia juga akan memahami apa matlamat yang ingin dicapainya dan mampu menguruskan dirinya dengan baik. Semua ini berkaitan dengan elemen yang telah dikemukakan oleh Goleman tentang ‘kesedaran tentang diri’ (self awareness).

Kecerdasan emosi boleh memimpin seseorang individu berfikir dan memberi ketenangan dalam kehidupan seharian. Dalam usaha mencapai sesuatu kejayaan yang dikehendaki, kecerdasan emosi penting bagi menangani sebarang masalah berkaitan dengan tekanan yang mungkin timbul. Situasi ini sesuai dengan elemen yang ditekankan dalam ‘mengurus diri’ (self management) oleh Goleman. Seseorang individu yang mempunyai EQ pada tahap yang tinggi akan melihat tekanan merupakan masalah yang biasa dihadapi oleh mana-mana individu sekalipun, oleh itu mereka akan bijak menggunakan emosi untuk menghindarkan tekanan yang dihadapi daripada terus menggangu dalam kehidupannya sehari-hari. Kecerdasan emosi yang terdapat dalam seseorang individu juga akan menyebabkan ia boleh menguruskan perasaan negatif serta berkebolehan menggunakan emosi untuk memotivasikan diri sendiri, ini juga merupakan salah satu ciri dalam model asal EQ yang dikemukakan oleh Salovey dan Mayer. Menurut mereka, individu yang tinggi kecerdasan emosi sepatutnya dapat mengawal diri dan mengarahkan emosi sendiri untuk menolong mereka mencapai matlamat dan terfokus untuk mencapai matlamat tersebut. Hal ini seterusnya menunjukkan bahawa kecerdasan emosi lebih banyak menyumbang kepada kejayaan individu berbanding kecerdasan intelek.

Kecerdasan emosi juga membolehkan kita memahami atau dapat menyelami perasaan orang lain di sekeliling kita. Perkara ini merupakan ciri yang terkandung dalam model kecerdasan emosi oleh Salovey dan Mayer, iaitu kebolehan mengenali emosi orang lain. Dalam hal ini, individu yang mempunyai kecerdasan emosi bukan sahaja boleh memahami emosinya, tetapi juga boleh mengenali emosi orang lain. Keadaan ini juga meliputi kemahiran membaca perasaan orang lain atau empati iaitu kebolehan meletakkan dirinya sendiri dalam kedudukan orang lain. Semua ciri ini dilihat hampir sama dengan elemen yang dikemukakan oleh Goleman iaitu yang berkaitan ‘kesedaran sosial’ (social awareness). Individu yang mempunyai kecerdasan intelek (IQ) pula bersikap memberi keutamaan kepada diri sendiri dahulu dan kurang menghargai dan memahami perasaan orang lain.

Kebolehan-kebolehan yang terhasil daripada kecerdasan emosi ini sebenarnya boleh membawa kejayaan kepada seseorang individu. Sebagai contoh, majikan atau pengurus dalam sesebuah syarikat yang mempunyai EQ akan cenderung untuk memahami emosi dan perasaan orang bawahannya, dia akan berusaha memberikan motivasi dan mewujudkan suasana persekitaraan kerja yang selesa. Di samping itu juga, dia akan berusaha mengeratkan hubungan kerjasama di antara mereka. Kesannya, wujud suasana kerja yang harmoni di kalangan pekerja dan majikannya serta para pekerja terdorong untuk mencapai matlamat syarikat tersebut. Berdasarkan contoh tersebut, situasi ini menunjukkan bahawa kecerdasan emosi yang dimiliki oleh majikan atau pengurus itu telah memberi sumbangan terhadap kejayaannya kerana mencapai matlamat syarikat tersebut. Jikalau seseorang pengurus tidak mempunyai kecerdasan emosi, sudah tentu berlakunya masalah seperti konflik dalaman, tidak percaya sesama sendiri, pecah amanah, rasuah dan lain-lain lagi. Bagi pekerja pula, kecerdasan emosi membantu pekerja menjadi produktif dan mudah memperoleh kejayaan. Kajian yang dibuat oleh Murray pada tahun 1998 menunjukkan bahawa EQ adalah dua kali ganda lebih penting berbanding  kemahiran teknikal dan analitikal, yang mana gabungan kedua-dua boleh membentuk kejayaan seorang di tempat kerja.

Individu yang mempunyai kecerdasan emosi mempunyai kecekapan dalam aspek sosial dan bijak dalam mencipta dan mengekalkan hubungan interpersonal yang berkesan. Dari segi sosial, EQ menjadikan sesorang mudah menjalinkan persahabatan dengan orang lain. Dalam model asal kecerdasan emosi yang dijalankan oleh Salovey dan Mayer, ciri ini dapat dilihat melalui kebolehan untuk menangani hubungan interpersonal dengan baik. Interpersonal di sini merujuk kepada hubungan interaksi oleh setiap unit dalam sesebuah masyarakat iaitu dalam skop yang lebih luas. Elemen yang sama juga telah dikemukakan oleh Golemen iaitu berkaitan dengan ‘Kemahiran bermasyarakat’ (social skill). Kecerdasan emosi sesungguhnya membantu seseorang individu mendapat kesan positif terhadap penyesuaiannya dalam masyarakat. Penyesuaian tersebut termasuklah wujudnya toleransi, kerjasama, tolong-menolong, memberi bantuan ketika dalam kesusahan dan sebagainya. Individu-individu yang berkecerdasan emosi dan hidup secara bersama ini seterusnya akan membentuk sebuah masyarakat penyayang ataupun masyarakat prihatin. Kedaan ini akan memberi pengaruh terhadap peningkatan kecerdasan emosi seseorang dari segi kepuasan hubungan baiknya dengan masyarakat serta sokongan sosial yang diterima daripada mereka, ini seterusnya akan memudahkan dirinya mudah mencapai  sesuatu kejayaan disebabkan faktor persekitaran itu tadi. seseorang yang mempunyai kecerdasan emosi dalam kehidupan bermasyarakat atau bersosial ini juga akan membebaskan individu daripada sikap negatif seperti memencilkan diri, tidak ingin bergaul, anti sosial, rendah diri dan lain-lain. Sebagai contoh, kebanyakan individu yang mempunyai kecerdasan intelek (IQ) dikatakan lebih suka duduk dan memencilkan diri di rumah dan menjadikan komputer sebagai sahabat sepanjang hari. Dalam kata lain bagi situasi ini, individu yang mempunyai kecerdasan emosi (EQ) lebih sesuai dikaitkan dengan tret ekstrovert manakala individu yang mempunyai kecerdasan intelek (IQ) pula lebih sesuai dikaitkan dengan tret introvert.

Dalam hal yang lain pula, seseorang individu yang kurang kecerdasan emosinya berbanding kecerdasan intelek juga boleh menyebabkan konflik dalam  dirinya. Apabila emosi tidak stabil maka tingkah laku seseorang itu juga turut tidak stabil. Keadaan ini dapat dilihat apabila terdapat segelintir individu yang mempunyai tahap kecerdasan Intelek (IQ) yang tinggi tetapi menyalahgunakan kelebihan tersebut bagi tujuan melakukan perbuatan negatif dengan melakukan jenayah dan kes-kes devian sosial seperti perompakan, penculikan ataupun pembunuhan. Sebagai contoh Ted Bundy adalah merupakan pembunuh bersiri sekitar tahun 1985-1990 di Amerika Syarikat yang dikatakan mempunyai tahap IQ yang tinggi. Begitu juga dengan halnya kemunculan penggodam komputer ataupun ‘hacker’ yang dikatakan mempunyai IQ yang tinggi. Semua ini secara umumnya jelas menunjukkan bahawa kecerdasan emosi lebih berperanan penting dan lebih baik dalam menentukan kejayaan seseorang individu.

Secara amnya terdapat perbezaan ciri-ciri atau personaliti diantara individu yang mempunyai EQ yang tinggi dan individu yang mempunyai IQ yang tinggi. Individu yang mempunyai EQ yang tinggi mempunyai sikap belajar sesuatu perkara melalui penghayatan dan pemahaman serta menjalankan analisa dengan terperinci dan teliti. Oleh itu, ingatan dan pengalaman yang dipelajari oleh mereka dapat disimpan dalam jangka masa yang panjang dan mereka berpotensi mengaplikasikan ilmu yang dipelajari tersebut dalam kehidupan seharian atau masa hadapan mereka. Individu yang mempunyai IQ yang tinggi pula lebih bersikap belajar sesuatu perkara dengan kaedah hafalan dan kurang menghayati dan memahaminya, mereka hanya cenderung mendapatkan atau mengestrak isi-isi penting sahaja. Keadaan ini menyebabkan ingatan dan pengalaman  mereka hanya dapat disimpan dalam jangka masa yang pendek.

Kecerdasan emosi yang dimiliki seseorang individu membantu individu tersebut  bijak dalam sesuatu perkara yang memerlukan pembuatan keputusan, sebagai contoh mereka akan mencadangkan jalan kerja yang dengan idea yang kreatif, dalam melaksanakan sesuatu urusan pekerjaan pula,mereka cenderung bekerja lebih masa dan menggandakan kerja, begitu juga dengan halnya bagi seorang pelajar di peringkat mana sekalipun, walaupun tahap intelek mereka kurang mereka akan cuba berusaha untuk memahami sesuatu pelajaran. Disamping itu juga, individu yang mempunyai tahap EQ tinggi ini juga mempunyai sikap keyakinan dengan pengorbanan yang dilakukannya dan cuba menghindari perkara yang jelas salah dalam mencapai  sesuatu matlamat. Berbeza bagi mereka yang mempunyai IQ yang tinggi, personaliti mereka lebih cenderung bersikap lurus bendul jika menuruti sebarang perintah ataupun arahan, dalam melaksanakan urusan pekerjaan pula, mereka lebih gemar melakukan kerja dengan jalan pantas atau sepertimana yang dikehendaki begitu sahaja. Dalam mencapai sesuatu matlamat pula mereka akan mencuba apa sahaja cara sama ada yang baik ataupun yang salah. Sebagai contoh dalam menghadapi sesuatu masalah, mereka terpaksa menipu untuk selamat dan bersikap mementingkan diri sendiri daripada orang lain.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, pada pendapat saya kecerdasan emosi (EQ) lebih berperanan penting dan lebih baik dalam personaliti seseorang individu berbanding kecerdasan intelek. kejayaan seseorang dalam kehidupan bukanlah semata-mata disebabkan oleh kecerdasan inteleknya (IQ), kecerdasan emosi (EQ) juga boleh membawa kejayaan, malahan lebih banyak lagi memberi sumbangan kejayaan individu berbanding kecerdasan intelek. Hal ini disokong oleh kajian yang dilakukan oleh Goleman pada tahun 1998 yang menyatakan bahawa 80 peratus kejayaan bergantung kepada kecerdasan emosi (EQ) manakala selebihnya 20 peratus adalah bergantung kepada kecerdasan intelektual (IQ), kenyataan ini dibuat berdasarkan kajian yang dijalankan olehnya ke atas beribu-ribu orang ahli profesional yang berjaya dalam bidang masing-masing serta penyelidikan yang dilakukan terhadap 500 buah organisasi di seluruh dunia. Sebenarnya kecedasan intelek hanya dimiliki oleh sesetengah manusia sahaja dan hanya dapat diwarisi secara genetik atau biologikal, berbanding kecerdasan emosi, ia dimiliki oleh setiap manusia tidak kira dari latar belakang mana sekalipun seseorang itu datang. Kecerdasan emosi boleh dipelajari, dikembangkan dan ditingkatkan iaitu daripada pengalaman yang didapati sebelum ini. Semakin banyak seseorang itu menerima pengalaman seperti menguruskan emosinya ketika menghadapi tekanan, maka tahap kecerdasan emosinya juga semakin tinggi. Kecerdasan emosi (EQ) penting dalam setiap individu, sama ada terhadap pemimpin, pengurus, pelajar dan sebagainya. Dalam hal yang lain, kecerdasan intelek (IQ) tidak berupaya membentuk akhlak, moral, rohani dan jasmani yang sebenar, kecerdasan intelek yang tidak dikawal dengan emosi yang pintar, biasanya akan membawa kepada kelakuan yang tidak baik. Dengan adanya kecerdasan emosi seseorang akan mampu menilai kebaikan dan keburukan sesuatu tindakan, keadaan ini membolehkannya mudah mencapai sesuatu matlamat dengan adanya disiplin tersebut.

Rujukan

Azlina Abu Bakar @ Mohd. (2002). Psikologi personaliti Individu. Shah Alam: Karisma Publications sdn. Bhd.

Azromihana binti Azmi. (2004).  Kecerdasan Emosi: Satu pengenalan. Diterima pada — Februari, 2009, daripada http://www.hafizfirdaus.com

Camorro-Premuzic, T. (2007). Personality and Individual Differences. Utd. States: BPS  Blackwell.

Christensen, T. E. (2003). What is the Difference Between EQ and IQ?.  Diterima pada — Januari, 2009 daripada http://www.wisegeek.com.

Furnham, A. (1996). All in the Mind. The Essence of Psychology. London: Whurr Publisher Ltd.

Gerrig, R. J. & Zimbardo, P. G. (2008). Psychology and Life. (18th ed). New York:  Pearson Education, Inc.

Hein, S. (2007). Emotional Intelligence. Diterima pada — Januari, 2009 daripada http://eqi.org.

Ma’rof Redzuan & Haslinda Abdullah. (2003). Psikologi. (2nd ed). Universiti Putra Malaysia. Shah Alam: McGraw – Hill.  

Matthews, G., Zeidner, M., & Roberts, R. D. (2002). Emotional Intelligence, Science & Myth. London: Cambridge.

Planalp, S. (1999). Communicating Emotion. Social, moral, and Cultural Processes. London: Cambrige University Press.

Salovey, P., & Mayer, J. D. (1990). Emotional Intelligence. Diterima pada –, daripada http://www.unh.edu

Sternberg, J. S. (1995). In Search of the Human Mind. New York: Harcourt Brace College Publisher.

Taylor, A. R. (t.t.).  EQ + IQ Enhances Success. Success Resources International. Diterima pada –, daripada http://www.arlenetaylor.org

Wagner, K. V. (2005). Definitions, History, and Measures of Emotional Intelligence. Diterima pada — Februari, 2009, daripada http://psychology.about.com.   

Disediakan oleh:

A. Rahman A. N. (Februari, 2009).


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: