nikalila



Rasional mengapa etika profesional sangat ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling

1.0 Pengenalan

Secara umunya etika adalah merupakan satu garis panduan yang digunakan bagi membantu seseorang ahli profesional menjalankan tugasnya mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Pada dasarnya istilah etika berasal daripada istilah Yunani iaitu “ethos” yang bermaksud hukum, adat resam, budi pekerti dan kebiasaan. Secara umumnya terdapat tiga ciri utama etika iaitu bertindak sebagai peraturan, manual kerja atau prosedur kerja, dan nilai-nilai murni yang perlu dipatuhi (Professional Counseling, 2010). Etika memainkan peranan penting dalam menjalankan tugas dan peranan dalam pekerjaan, matlamat utama etika digubal adalah untuk membimbing ke arah tahap profesional yang lebih tinggi (Francis, 2009). Etika dalam kaunseling adalah merupakan salah satu contoh etika yang ditekankan dalam bidang perkhidmatan kaunseling yang perlu dipatuhi oleh kaunselor bagi mengukuhkan lagi tahap profesional mereka.

Dalam perkhidmatan kaunseling terdapat beberapa kod etika yang boleh dijadikan sebagai panduan dan rujukan, antaranya ialah seperti kod etika yang digariskan oleh Persatuan Kaunseling Amerika (ACA). Lazimnya setiap negara mempunyai kod etika dalam amalan kaunseling yang dijalankan dalam negara tersebut, sebagai contohnya di malaysia badan yang bertanggungjawab mengeluarkan kod etika dan prinsip-prinsip kaunseling dijalankan oleh Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA). Secara amnya kesemua kod etika yang digariskan oleh persatuan-persatuan kaunseling tersebut mempunyai persamaan iaitu menitikberatkan amalan profesionalisme kaunselor dan hal ehwal kebajikan klien. Matlamat utama etika ini digubal adalah untuk menjamin perkhidmatan kaunseling agar menjadi lebih cekap, telus, amanah, serta menjamin keselamatan dan kerahsiaan klien.

Terdapat pelbagai etika yang ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling, secara ringkasnya etika profesional yang ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling dapat dibahagikan kepada empat prinsip etika yang utama iaitu yang pertama ialah autonomi, merujuk kepada syarat yang membenarkan klien untuk bebas membuat pilihan. Prinsip kedua ialah bukan berbentuk kejahatan (nonmaleficence), iaitu merujuk kepada tindakan kaunselor untuk mengelak daripada perkara-perkara yang membawa mudarat kepada klien. Prinsip ketiga ialah kepatuhan yang merujuk kepada persetujuan limitasi perhubungan di antara kaunselor dengan klien. Seterusnya prinsip yang keempat ialah kebajikan yang merujuk kepada tindakan kaunselor untuk memberikan hasil yang positif kepada klien (Pack-Brown & Williams, 2003). Huraian dalam perbincangan kertas kerja ini akan memfokuskan kepada rasional penekanan etika profesional dalam perkhidmatan kaunseling.

2.0 Rasional penekanan etika profesional dalam perkhidmatan kaunseling

Dalam profesion menolong, etika adalah merupakan panduan yang dapat memastikan tugas kaunselor dapat dijalankan dengan lebih cekap selari dengan matlamat kaunseling yang ingin dicapai. Antara tujuan utama etika profesional sangat ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling adalah untuk menjadikan kaunselor menjadi lebih cekap dimana sebarang kesilapan yang dilakukan oleh kaunselor dapat diminimakan. Selain itu, etika yang ditekankan akan dapat meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kaunseling yang dijalankan (Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh & Hapsah Md. Yusof, 2002).

Dari segi rasionalnya, etika profesional ini dapat membantu seseorang kaunselor dapat menjalankan tugas dan peranan mereka dengan lebih baik. Dari sudut pandangan masyarakat, kaunselor dilihat sebagai seorang model sosial yang baik kerana mereka terlibat dengan profesion menolong, oleh itu jika berlaku perkara-perkara seperti ketidakcekapan yang dilakukan oleh kaunselor maka tanggapan masyarakat mungkin akan berubah terhadap kaunselor dan ahli-ahli profesional yang lainnya. Dalam hal ini, ketidakcekapan seorang kaunselor lazimnya akan digeneralisasikan secara keseluruhannya oleh segelintir individu terhadap profesion kaunseling. Sebagai contohnya disini segilintir individu dalam masyarakat tentu akan memandang serong terhadap profesion seorang kaunselor apabila mereka mendengar kes-kes dimana kaunselor yang melanggar etika seperti melakukan aktiviti seksual dengan klien mereka atau cubaan mencabul kehormatan klien mereka. Kesannya masyarakat akan sentiasa memberi kritikan sehingga membentuk stereotaip secara keseluruhannya ke atas mereka yang berada dalam bidang profesion kaunseling. Oleh sebab itulah mengapa etika profesional dalam perkhidmatan kaunseling sangat ditekankan untuk mengelak kaunselor bertindak di luar daripada etika yang digariskan, jika etika profesional dipatuhi oleh kaunselor maka perkhidmatan kaunseling akan dapat dijalankan dengan cekap dan baik.

Satu lagi faktor yang menyebabkan etika sangat ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling ialah menggalakkan kaunselor mengarah ke arah tahap profesional. Dalam profesion kaunseling, profesionalisme membantu membawa kepada nama baik (good will) kepada mereka yang yang mengamalkan kod etika dengan baik (Francis, 2009). Secara rasionalnya apabila seseorang kaunselor mempunyai nama baik maka ini tentu akan mengekalkan reputasi baik mereka dan boleh membawa manfaat yang lain kepada mereka. Sebagai contohnya bagi kaunselor profesional yang mempunyai reputasi yang baik, hal ini akan menyebabkan mereka mudah mendapatkan klien untuk menerima perkhidmatan kaunseling daripada mereka kerana klien biasanya akan lebih yakin dengan kaunselor-kaunselor yang mempunyai nama baik dan rekod reputasi yang baik dalam menjalankan perkhidmatan kaunseling mereka. 

3.0 Rasional penekanan prinsip etika persetujuan termaklum (informed consent)

Salah satu etika profesional utama yang ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling ialah persetujuan termaklum. Menurut Fisher (2003), persetujuan termaklum adalah merupakan perjanjian utama bagi melindungi hak-hak privasi klien yang dilakukan pada awal sebelum perkhidmatan kaunseling dijalankan. Prinsip etika ini menekankan kepada keperluan seseorang kaunselor untuk memberikan penerangan yang secukupnya kepada klien tentang perkara-perkara berkaitan matlamat kaunseling, teknik dan prosedur dalam perkhidmatan kaunseling, kerahsiaan, limitasi dan risiko tertentu serta hal-hal penting lain yang melibatkan kaunselor dan juga klien. Dalam hal ini kaunselor juga seharusnya menjelaskan dengan lebih mendalam kepada klien terhadap perkara-perkara seperti implikasi daripada proses kaunseling, penarikan diri daripada terus menerima perkhidmatan, pengunaan ujian dan laporan serta jumlah bayaran bagi khidmat kaunseling yang dijalankan tersebut.

Secara rasionalnya dengan adanya etika ini, klien dapat mengetahui dengan lebih mendalam dan dapat memberi gambaran secara kasar tentang proses-proses yang akan berlaku pada keseluruhan khidmat kaunseling yang diterima oleh mereka. Klien juga akan dapat menilai sejauhmana keberkesanan daripada khidmat kaunseling yang bakal dijalankan di samping mempunyai kebebasan untuk menarik diri jika syarat-syarat yang dijelaskan seperti mana yang dijelaskan oleh kaunselor tidak dipatuhi. Selain itu, melalui makluman dan penjelasan yang diberikan juga membantu klien untuk mengelak daripada sebarang penipuan dalam aspek-aspek tertentu seperti bayaran bagi khidmat kaunseling yang dijalankan, klien juga dapat mengetahui hak-hak mereka dalam undang-undang. Bagi kaunselor pula, perkara-perkara yang dijelaskan dalam etika persetujuan termaklum ini berperanan sebagai panduan kepada mereka untuk menjalankan perkhidmatan kaunseling secara cekap dan telus sesuai dengan prinsip profesional yang dipegang oleh mereka. Dengan erti kata lainnya kaunselor akan melaksanakan tugas berdasarkan kepada apa yang telah dijelaskan dan dimaklumkan kepada klien.

4.0 Rasional penekanan prinsip etika kerahsiaan.

Seterusnya etika profesional yang sangat ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling ialah prinsip kerahsiaan. Berdasarkan etika yang digariskan, seseorang kaunselor tidak boleh mendedahkan maklumat sulit tanpa persetujuan daripada klien. Kaunselor juga harus memastikan bahawa setiap rekod maklumat berkaitan klien seperti laporan, rakaman kaset dan video disimpan di tempat yang selamat dan hanya pihak yang mempunyai kuasa tertentu sahaja boleh mendapatkan rekod maklumat tersebut (ACA, 2005). Prinsip kerahsiaan dalam etika kaunseling ini sangat penting dan perlu diterangkan kepada klien pada setiap sesi kaunseling yang dijalankan.

Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan prinsip etika ini sangat rasional ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling. Salah satu di antaranya ialah untuk mengelakkan klien daripada menerima keaiban daripada orang lain, sebagai contohnya klien tersebut mungkin terlibat dengan isu-isu sensitif atau peristiwa trauma yang berlaku dalam dirinya seperti penderaan, menjadi mangsa rogol, masalah seksual, terlibat dengan penyalahgunaan dadah, mempunyai keinginan untuk membunuh diri, menyertai kumpulan haram dan sebagainya. Setiap klien yang menerima perkhidmatan kaunseling tidak akan dapat mengelak daripada meluahkan pengalaman tidak kira pahit atau pun manis terhadap kaunselor. Oleh itu prinsip kerahsiaan dalam bidang kaunseling ini sangat rasional ditekankan agar menjadikan klien lebih yakin, percaya dan berasa selamat dengan maklumat yang mereka dedahkan. klien juga dapat meluahkan masalah yang dihadapinya dengan rasa bebas tanpa wujud perasaan ragu-ragu. Kesannya hal ini akan menyebabkan kaunselor mudah mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh klien. Dengan adanya prinsip kerahsiaan ini, kaunselor akan dapat menonjolkan diri sebagai individu yang boleh dipercayai, amanah dan bertanggungjawab untuk menjaga hak dan kepentingan privasi klien.

5.0 Rasional penekanan prinsip etika keadilan

Satu lagi prinsip utama dalam etika profesional perkhidmatan kaunseling ialah keadilan. Prinsip etika ini menekankan kaunselor bersikap adil secara sama rata terhadap klien yang datang mendapatkan bantuan kaunseling. Mengikut etika ini, kaunselor tidak boleh mengamalkan atau melakukan diskriminasi terhadap perbezaan manusia dari segi aspek-aspek seperti budaya, umur, gender, bangsa, etnik, agama, kepercayaan, ketidakupayaan fizikal dan mental, orientasi seksual, bahasa yang digunakan, status perkahwinan, status sosioekonomi dan apa-apa sahaja yang membezakan di antara klien dengan kaunselor (NCDA, 2007). Kaunselor seharusnya perlu mengambil kira isu-isu sensitif yang dimiliki oleh klien. Kaunselor haruslah mempunyai kemampuan mengubah perasaan negatif mereka terhadap sesetengah klien suapaya klien merasa diri mereka dihormati (Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh & Hapsah Md. Yusof, 2002).

Dalam hal ini, terdapat rasionalnya mengapa etika keadilan ini sangat ditekankan, perkara ini dapat membantu klien berasa selesa semasa menerima khidmat kaunseling. Bayangkan jika seseorang kaunselor itu menekan klien dengan isu-isu sensitif yang tidak disukainya, keadaan ini akan membawa kepada kesan negatif kepada klien tersebut. Keadilan dalam perkhidmatan kaunseling ini bukan sahaja terhad kepada isu-isu yang sensitif tetapi juga kepada pengalaman-pengalaman lepas yang dilalui oleh klien. Sebagai contohnya kaunselor tidak sepatutnya cuba menghakimi klien tentang pengalaman lepas klien yang pernah terlibat dengan masalah mendera anak-anaknya dengan teruk. Akibatnya apabila berlaku perkara-perkara seperti ini, persepsi negatif akan wujud di antara kaunselor dan juga klien, contohnya dalam situasi tadi kaunselor akan cenderung menilai klien sebagai seorang yang “jahat” kesannya klien mula hilang kepercayaan kepada kaunselor dan beranggapan bahawa tidak ada sesiapa lagi di dunia ini yang sudi memaafkan kesalahan lampaunya. Situasi-situasi seperti ini akan menjejaskan perjalanan kaunseling, kesannya matlamat kaunseling yang dibina tidak tercapai. Perkara ini membuktikan kepada kita bahawa etika keadilan dalam perkhidmatan kaunseling sangat penting, ia juga menjadi garis panduan kepada kaunselor agar tidak bersikap prejudis kepada klien dan melayan klien secara sama rata tanpa mengimbilkira perbezaan yang ada pada manusia.

6.0 Rasional penekanan prinsip etika kesejahteraan (wellness)

Kod etika profesional juga mengariskan bahawa dalam perkhidmatan kaunseling, kaunselor seharusnya menjaga kesejahteraan klien yang datang mendapatkan khidmat kaunseling. Etika ini menekankan seseorang kaunselor perlu menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan klien dengan cara memelihara minat dan kesejahteraan klien (Pack-Brown & Williams, 2003). Kesejahteraan klien tersebut termasuklah memberi perlindungan kepada klien dari segi fizikal, emosi dan juga trauma psikologikal. Selain itu, etika ini juga menggariskan bahawa klien tidak boleh diperalatkan untuk kepentingan diri kaunselor bagi tujuan kewangan, emosi, seksual dan sebagainya. Seseorang kaunselor tidak boleh menyalahgunakan hasil penilaian dan intrepretasi dalam kaunseling dan mereka juga bertanggungjawab untuk menghalang orang lain daripada menggunakan maklumat tersebut. Bagi menjaga perasaan klien, kaunselor juga perlu menghormati hak klien yang mana klien berhak untuk mengetahui keputusan sesi yang dijalankan, intrepretasi, kesimpulan dan cadangan-cadangan yang dibuat oleh kaunselor (ACA, 2005).

Secara rasionalnya etika ini ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling adalah agar memastikan bahawa kebajikan dan kepentingan klien dapat dijaga sepanjang mereka menerima khidmat kaunseling. Bayangkanlah  jika terjadi perkara-perkara yang tidak diingini dalam sesi kaunseling sehingga menyebabkan emosi dan mental klien terganggu disebabkan oleh kaunselor, maka perkara ini boleh menyebabkan matlamat kaunseling yang dibina di antara klien dan kaunselor tidak akan dapat tercapai. Matlamat utama perkhidmatan kaunseling adalah untuk membimbing klien dalam mencari penyelesaian masalah dan bukannya untuk lebih memudaratkan lagi keadaan klien dengan menyebabkan emosi dan mental mereka terganggu. Oleh yang demikian, etika untuk menjaga kesejahteraan klien ini sangat ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling bagi mengelak kaunselor bertindak yang tidak sepatutnya dilakukan. Etika ini juga membantu ke arah proses menolong secara profesional dimana dengan adanya sikap untuk melindungi klien dan menjaga kesejahteraan mereka dari aspek fizikal, emosi dan juga psikologikal maka perkhidmatan kaunseling yang dijalankan akan dapat dilaksanakan dengan baik dan lebih berkesan.

7.0 Rasional penekanan prinsip etika perhubungan kaunselor dan klien dalam kaunseling

Satu lagi aspek yang ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling adalah etika berkaitan dengan perhubungan kaunselor dengan klien dan juga ahli profesional yang lain. Etika profesional ini menggariskan bahawa seseorang kaunselor tidak boleh menjalankan perkhidmatan kaunseling dengan klien yang mempunyai pertalian atau hubungan tertentu dengan kaunselor, jika perkara itu berlaku kaunselor hendaklah merujuk klien tersebut kepada ahli profesional yang lain. selain itu, kaunselor juga harus mengelak hubungan hubungan dua hala (dual relationship) dengan klien yang boleh mempengaruhi penilaian profesional ataupun apa-apa yang boleh menyebabkan risiko kemudaratan kepada klien (Pack-Brown & Williams, 2003). Sebagai contohnya disini kaunselor terlibat dengan perhubungan intimasi dan seksual dengan klien. Dalam etika profesional seseorang kaunselor tidak boleh mengadakan sebarang interaksi dan hubungan peribadi dengan klien ataupun mana-mana ahli keluarga klien dalam jangka masa selama lima tahun selepas perkhidmatan kaunseling terakhir dilakukan. Selain itu terdapat juga etika lain yang melibatkan perhubungan di antara kaunselor dengan klien, antaranya ialah kaunselor tidak boleh terlibat dengan aktiviti yang memberi kepentingan kepada mereka seperti terlibat dengan perniagaan atau aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh klien.

Dalam hal ini terdapat rasional mengapa etika ini ditekankan oleh kaunselor dalam perkhidmatan kaunseling. Salah satu perkara yang menyebabkan etika ini rasional ditekankan ialah jika klien yang datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling tersebut adalah merupakan ahli keluarga, saudara mara dan orang-orang yang dikenali seperti sahabat handai maka hal ini sudah tentu akan mempengaruhi pertimbangan kaunselor secara profesional ketika melakukan sesi kaunseling. Begitu juga halnya pertimbangan wajar sebagai seorang kaunselor juga akan terganggu jika mereka terlibat dengan sebarang perhubungan emosi (percintaan) dan seksual dengan klien, apabila keadaan seperti ini berlaku sesi kaunseling yang dijalankan cenderung akan berubah kepada suasana romantik yang mana ia boleh mempengaruhi pemikiran dan emosi kaunselor. Keadaan seperti ini boleh lari daripada prinsip profesionalisme yang dipegang oleh seseorang kaunselor, sebagai akibatnya perkara-perkara seperti ini boleh menjejaskan matlamat proses kaunseling.

8.0 Penutup

Secara kesimpulannya dapatlah dijelaskan bahawa penekanan etika profesional dalam perkhidmatan kaunseling boleh membawa kepada manfaat penting kepada pihak-pihak yang terlibat dalam proses kaunseling iaitu kaunselor, klien mahupun kepada ahli-ahli profesional lain yang berada dalam bidang profesion kaunseling. Etika yang digariskan dalam kaunseling secara amnya bertujuan untuk memastikan perkhidmatan kaunseling dapat dilaksanakan dengan baik seperti mana matlamat kaunseling yang sepatutnya yang ingin dicapai. Selain itu, etika profesional yang ditekankan juga adalah bertujuan untuk mengurangkan kesilapan-kesilapan biasa yang dilakukan oleh kaunselor yang mana ianya boleh menggangu proses perjalanan dalam memberikan perkhidmatan yang dilakukan secara profesional. Oleh sebab itulah terdapat rasionalnya mengapa etika-etika profesional ini perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perkhidmatan kaunseling.    

Rujukan

American Counseling Association (ACA). (2005). ACA Code of Ethics. Diterima pada — Februari 2011, daripada http://www.counseling.org.pdf

Fisher, C. B. (2003). Decoding Ethics Code.  Utd. States: Sage Publications, Inc.

Francis, R. D. (2009). Ethics for Psychologists. (2nd ed). United Kingdom: BPS Blackwell.

National Career Development Association (NCDA). (2007). Code of Ethics. Diterima pada — Februari 2011, daripada http://www.ncda.org/pdf/EthicalStandards.pdf

Pack-Brown, S. P., & Williams, C. B. (2003). Ethics in a Multicultural Context. Utd. States: Sage Publications, Inc.

Professional Counselling. (2010). Etika Kaunseling: Kepentingan dan Pengunaannya. Diterima pada — Februari 2011, daripada http://www.i-counsellor.com/assets/docs.pdf

Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh & Hapsah Md. Yusof. (2002). Kaunseling Individu. Petaling Jaya: Prentice Hall.

Disediakan oleh:

A. Rahman A. N. (Februari, 2011).

About these ads

Trackbacks & Pingbacks

Komen-komen

  1. “Rasional mengapa etika profesional sangat ditekankan dalam perkhidmatan kaunseling nikalila”
    was in fact a wonderful blog, can not wait to
    read a lot more of your blogs. Time to squander a little time on-line lmao.
    Thanks a lot ,Francisco

    | Balas Dikirim 1 year, 10 months ago


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: