nikalila



Masalah Lari Dari Rumah Di Kalangan Remaja: Jenis, Punca, Kesan, Langkah Mengatasi, Statistik dan Teori-teori psikologi/sosiologi yang berkaitan dengan masalah remaja lari dari rumah

1.0 Pengenalan

Golongan belia sememangnya tidak dapat lari daripada terdedah kepada masalah-masalah sosial yang berlaku dalam suasana di persekitaraan pada hari ini. Salah satu isu yang dikaitkan dengan golongan belia yang rata-ratanya terdiri daripada remaja dan pelajar ialah masalah lari dari rumah. Isu ini dilihat menjadi semakin berleluasa pada masa kini sehingga ia dilihat telah menjadi asam garam kepada golongan remaja yang bermasalah. Masyarakat pada hari ini memandang golongan belia sebagai golongan yang mudah terdedah dengan masalah sosial, sehingga ada yang melabelkan golongan belia di negara ini sebagai golongan yang telah rosak moralnya kerana tenggelam dengan masalah-masalah, misalnya seperti masalah lari dari rumah yang akan dibincangkan ini. Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan golongan belia semata-mata kerana sebenarnya terdapat beberapa faktor mengapa golongan belia terlibat dengan kes lari dari rumah ini. Perkara ini seharusnya perlu dilihat dari sudut yang lebih mendalam dan bukannya melalui tanggapan-tanggapan awal yang negatif semata-mata.

Bagi membincangkan secara lebih mendalam mengenai isu masalah lari dari rumah dikalangan belia ini, pengertian dan definisi perlu dinyatakan terlebih dahulu untuk tujuan memahami dengan lebih terperinci. Secara umumnya kita mengetahui bahawa belia yang lari dari rumah adalah belia yang meninggalkan rumah dengan serta merta tanpa memberitahu ibu bapa kemana hala tujuan mereka. Dalam istilah bahasa Inggeris lari dari rumah disebut sebagai runaway. Menurut Loh Kha Bee (2009), lari dari rumah ialah satu tingkah laku atau perbuatan meninggalkan rumah tanpa restu daripada ibu bapa menuju ke satu tempat yang biasanya tidak diketahui oleh ahli keluarganya. Golongan belia adalah merupakan golongan yang paling banyak dikaitkan dengan tingkah laku lari dari rumah ini, kebanyakan daripada mereka meninggalkan rumah dengan memasang niat tidak akan pulang semula ke rumah lagi. Sesetengah daripada golongan remaja tersebut biasanya akan kembali dalam jangka masa tertentu seperti dalam masa beberapa hari, beberapa minggu, beberapa bulan dan bertahun-tahun malahan ada juga yang tidak kembali langsung sehingga diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Secara umumnya individu yang lari dari rumah adalah mereka yang berasa putus asa dan tidak gembira apabila berada di dalam rumah (Santrock, 2005). Daripada huraian tersebut kita dapat mengetahui bahawa terdapat beberapa faktor yang menyebabkan belia berasa putus asa dan tidak gembira ketika berada di dalam rumah, semua itu sebenarnya dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaraan. Jika ditinjau dari sudut bilangan kes pula, tingkah laku lari dari rumah ini amat membimbangkan dan menjadi semakin serius. Rangkaian Kebangsaan bagi Khidmat Belia misalnya telah membuat anggaran bahawa setiap tahun lebih kurang 1.3 juta belia terlibat dengan kes meninggalkan rumah (Neubeck & Neubeck, 1999). Jumlah tersebut membuktikan kepada kita tentang betapa seriusnya masalah sosial yang melibatkan golongan remaja ini.             

2.0 Jenis-jenis tingkah laku lari dari rumah

Tingkah laku lari dari rumah dapat dibahagikan atau dikategorikan kepada beberapa jenis. Profesor Madya Dr. Mohd Fadzil Che Din yang merupakan Pengarah Institut Sosial Malaysia menjelaskan bahawa isu remaja dan pelajar lari dari rumah yang semakin berleluasa pada masa kini dapat dibahagikan kepada lima jenis kategori.

Daripada lima kategori lari dari rumah tersebut, salah satu jenis atau kategori lari dari rumah tersebut ialah pelajar yang keluar dari rumah selepas berakhir waktu sesi persekolahan. Remaja atau pelajar yang keluar dari rumah ini meninggalkan rumah bagi tujuan menghabiskan masa dengan melepak bersama rakan-rakan sebaya di sesuatu tempat, contohnya melepak di pusat membeli belah, restoran, kedai-kedai makan, pusat hiburan dan sebagainya lagi. Punca utama remaja keluar dari rumah bagi kategori lari dari rumah ini ialah disebabkan mereka merasakan ketidakselesaan apabila berada di dalam rumah. Lazimnya mereka akan berasa kekurangan seperti kurang seronok apabila mereka berada di rumah dan sentiasa memikirkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang menghiburkan di luar rumah bersama rakan-rakan. Bagi jenis tingkah laku lari dari rumah ini, remaja biasanya akan pulang semula ke rumah menjelang lewat petang setiap hari. Jangka waktu remaja lari dari rumah ini dilihat amat singkat, namun masalah ini boleh juga dikategorikan sebagai tingkah laku lari dari rumah.

Bagi jenis tingkah laku lari dari rumah yang kedua pula, remaja yang digolongkan dalam kategori ini ialah remaja yang sengaja keluar rumah dalam jangka masa beberapa hari dengan memberi alasan kepada ibu bapa bahawa mereka terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kerja sekolah. Lazimnya mereka akan meminta kebenaran daripada ibu bapa tetapi tidak memaklumkan secara tepat ke mana mereka hendak pergi. Bagi kategori tingkah laku lari dari rumah ini, remaja dilihat cuba berbohong kepada ibubapa mereka bahawa mereka perlu melakukan tugas-tugas yang baik atau berfaedah. Hal ini menyebabkan ibu bapa tidak teragak-agak untuk memberikan kebenaran kepada anak-anak untuk keluar dari rumah disebabkan tujuan mereka keluar dari rumah adalah baik. Sebenarnya tujuan remaja berbuat demikian adalah untuk melepaskan keinginan mereka agar dapat menghabiskan masa yang banyak bersama-sama rakan untuk berhibur. Remaja seperti ini cenderung menumpang di rumah rakan-rakan sebaya yang mempunyai keluarga yang lebih menerapkan nilai-nilai kebebasan berbanding suasana remaja yang lari dari dari rumah tersebut yang mungkin hidup dalam konkongan daripada ibu bapa. Jangka waktu remaja lari dari rumah bagi kategori ini dilihat lebih panjang sedikit iaitu dalam masa beberapa hari berbanding dengan tingkah laku remaja lari dari rumah kategori yang pertama.

Kategori tingkah laku remaja lari dari rumah yang ketiga adalah lebih kurang sama dengan kategori yang kedua, apa yang membezakannya ialah dari segi bagaimana remaja membuat alasan untuk keluar dari rumah. Dalam situasi ini remaja biasanya akan menjadikan orang-orang yang dikenali oleh keluarganya seperti abang, kakak, keluaga angkat, abang angkat sepupu dan sebagainya dengan memberi alasan bahawa remaja tersebut keluar bersama-sama mereka. Alasan yang mengaitkan untuk keluar bersama-sama dengan ahli-ahli keluarga, saudara atau kenalan-kenalan tersebut sebenarnya adalah sebagai satu “lesen” kepada remaja untuk keluar dari rumah dan tidak pulang dalam tempoh jangka masa selama beberapa hari ataupun beberapa minggu. Lazimnya ibu bapa akan membenarkan anak-anak mereka keluar rumah apabila mereka keluar bersama-sama orang yang mereka kenali. Sebenarnya semua itu hanyalah sebagai satu alasan yang diberikan oleh remaja, sebaliknya apabila mereka telah diberikan kebenaran untuk keluar, mereka akan melencong ke destinasi lain, contohnya melepak di rumah kawan sepuas-puasnya selama beberapa hari. Bagi kategori ini, jangka waktu remaja lari dari rumah adalah sama dengan kategori kedua tingkah laku remaja lari dari rumah tadi, namun jangka masa lari dari rumah tersebut boleh menjangkau sehingga kepada beberapa minggu.

Seterusnya ialah kategori yang keempat, bagi kategori ini punca remaja lari dari rumah tidak dapat dikenal pasti. Remaja yang lari dari rumah dalam kategori ini boleh dikatakan mempunyai struktur kekeluargaan yang lemah, hal ini kerana struktur keluarga yang lemah dan longgar akan mempengaruhi perkembangan anak-anak. Remaja yang lahir dalam suasana kekeluargaan ini akan menyebabkan remaja menjadi bebas, mereka bebas pergi ke mana sahaja yang mereka kehendaki dan akan pulang semula ke rumah mengikut kehendak mereka. Selain itu, remaja seperti ini juga lazimnya inginkan kebebasan dimana mereka hanya pulang ke rumah selepas tempat yang ditujui remaja tersebut sebenarnya adalah lebih teruk jika dibandingkan dengan persekitaraan di rumah. Sebagai contohnya remaja yang lari dari rumah tersebut dijadikan mangsa dera atau mangsa seks oleh pihak-pihak dan individu tertentu sama ada di dalam rumah ataupun di luar rumah. Keadaan ini menyebabkan remaja seperti ini akan sentiasa berubah-ubah sama ada ingin duduk di rumah ataupun duduk di luar rumah. Dari segi jangka masa remaja lari dari rumah bagi kategori ini pula adalah tidak tentu, dimana ia bergantung kepada remaja tersebut selama mana mereka akan berada di dalam rumah ataupun berada di luar rumah. Semua ini adalah bergantung bagaimana bentuk persekitaraan yang diterima oleh remaja, jika remaja tersebut merasakan mereka dilayan dengan buruk di rumah maka mereka akan memutuskan untuk lari dari rumah dan sebaliknya jika mereka dilayan dengan buruk apabila berada di luar rumah maka mereka akan kembali semula ke rumah.

Bagi kategori tingkah laku lari dari rumah kelima pula ia melibatkan kes yang lebih tegar. Remaja yang lari dalam kategori ini diklasifikasikan sebagai pelari tegar kerana mereka keluar dan lari dari rumah dengan tujuan untuk tidak ingin kembali langsung ke pangkuan keluarga. Lazimnya kes-kes seperti ini adalah melibatkan remaja yang menghadapi konflik dalam diri dan dengan orang lain. Sebagai contohnya remaja tersebut menginginkan kebebasan yang sepenuhnya tanpa ada apa-apa kongkongan daripada ibu bapa. Remaja yang lari dari rumah secara tegar juga boleh disifatkan sebagai mereka yang lari mengikut ajakan daripada rakan sebaya, bagi remaja yang bercinta tetapi cinta tersebut tidak direstui oleh keluarga masing-masing mereka akan cenderung untuk lari dari rumah. Situasi seperti ini menyebabkan remaja membuat keputusan untuk meninggalkan rumah akibat kecewa dengan sikap ibu bapa mereka. Oleh sebab jenis tingkah laku lari rumah ini diklasifikasikan sebagai kes lari dari rumah tegar maka jangka waktu mereka lari dari rumah juga adalah begitu panjang sehingga mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun lamanya.       

3.0 Punca masalah remaja lari dari rumah

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan belia lari dari rumah. Salah satu punca utama tersebut ialah tekanan yang dihadapi dalam keluarga tersebut. Dari segi aspek psikologikal, ibu bapa di rumah tidak dapat memahami perasaan yang dialami oleh anak-anak, apa yang mereka inginkan dan apa yang mereka perlukan. Ibu bapa kurang mengendahkan kepentingan keperluan belia dari segi psikologi contohnya seperti keperluan keselamatan dan dimiliki, keperluan kepada autonomi, keperluan kompentensi perasaan dan penghargaan kendiri serta keperluan untuk difahami (Neubeck & Neubeck, 1999). Sebaliknya apa yang berlaku ialah keadaan tegang yang disebabkan oleh tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa menyebabkan hubungan dalam keluarga menjadi semakin tegang. Keadaan keluarga seperti ini akan menyebabkan berlakunya perkara-perkara seperti keganasan dalam rumah tangga, penderaan fizikal, penderaan seksual dan sebagainya lagi yang memberikan kesan emosi yang mendalam terhadap anak-anak. Kegagalan ibu bapa dalam memberikan perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya sehingga mengabaikan keperluan anak-anak telah menjadi pendorong kepada belia untuk melarikan diri dari rumah. Setelah dari rumah, mereka akan melakukan apa sahaja perkara yang mana mereka tidak dapat sewaktu berada di dalam rumah (Santrock, 2005).

Masalah yang berlaku dalam keluarga ini dilihat sebagai punca utama mengapa golongan belia terdedah dengan kes-kes lari dari rumah. Hasil kajian yang dijalankan di negara ini yang dilakukan oleh Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mendapati bahawa kira-kira sepuluh peratus daripada ibu bapa di negara ini tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin bagi membimbing dan mencorak anak-anak ke arah kebaikan, situasi ini menyebabkan kes lari dari rumah semakin hari semakin meningkat dan berada pada tahap yang membimbangkan. Presiden PIBGN, Mohammad Ali Hassan menjelaskan bahawa kebanyakan alasan yang diberikan oleh ibu bapa khususnya golongan bapa yang bekerja ialah mereka sering sibuk di tempat kerja, sehingga menyebabkan waktu untuk meluangkan masa bersama anak-anak sangat terbatas, sebaliknya apa yang berlaku ialah tugas tersebut diserahkan pula kepada pembantu rumah ataupun isteri yang tidak bekerja. Kajian yang dijalankan ini juga mendapati bahawa ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak kurang daripada 30 minit setiap hari, hal ini mengakibatkan jurang antara ibu bapa dan anak-anak semakin besar sehingga akhinya anak-anak lebih berasa selesa untuk mencari rakan di luar rumah bagi meluahkan perasaan mereka.

Punca yang menyebabkan golongan belia terlibat dengan isu lari dari rumah ialah akibat terpengaruh dengan rakan sebaya. Sudah menjadi kebiasaan bahawa setiap remaja akan terdedah dengan persekitaraan tertentu dan salah satunya ialah pergaulan dengan rakan sebaya. Rakan sebaya ini adalah merupakan individu yang paling rapat dengan remaja, oleh itu hal ini akan menyebabkan remaja akan cenderung untuk mudah terpengaruh dengan rakan sebaya mereka. Rakan sebaya itu mungkin saja boleh terdiri daripada rakan-rakan sewaktu berada di sekolah ataupun rakan-rakan yang berada di lingkungan kawasan tempat tinggal remaja tersebut. Lazimnya remaja akan mudah menerima nasihat yang negatif ataupun mudah terikut-ikut dengan perangai negatif rakan sebaya mereka. Sebagai contohnya remaja mungkin akan menerima nasihat daripada rakan sebayanya bahawa lari dari rumah dan mencari kebebasan di luar adalah lebih baik berbanding dengan duduk di rumah dikawal oleh ibu bapa. Dalam hal ini pemikiran remaja boleh dikatakan masih belum cukup matang dan rasional sehingga menyebabkan mereka menerima bulat-bulat nasihat dan ajakan negatif daripada rakan sebaya mereka. Remaja juga cenderung terpengaruh dengan perangai rakan sebaya, misalnya jika rakan sebayanya itu gemar mencari hiburan di luar rumah, kesannya remaja juga akan mudah terikut-ikut dengan perangai rakannya itu sehingga sanggup melarikan diri dari rumah semata-mata mencari kepuasan bersama rakan sebaya mereka. 

Punca lain yang dilihat menyebabkan golongan belia dan remaja terbabit dengan kes lari dari rumah ialah disebabkan oleh masalah yang berlaku di sekolah. Dalam suasana sekolah terdapat beberapa keadaan yang dapat memberi tekanan kepada remaja sehingga sanggup lari dari rumah. Antara faktor-faktor tersebut ialah harapan yang terlalu tinggi daripada guru terhadap pelajar atau remaja tersebut, selain itu tekanan terhadap remaja juga boleh timbul apabila prestasi akademik yang dicapainya berada di tahap rendah, situasi seperti ini akan menjadikan remaja menjadi takut jika prestasi akademiknya yang rendah diketahui oleh ibu bapa, kesannya remaja mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Selain itu terdapat juga pengalaman-pengalaman yang berlaku di sekolah menyebabkan remaja rasa tertekan, antara pengalaman tersebut adalah seperti remaja dilabel secara negatif oleh guru, dihalang daripada menerima sebarang peneguhan seperti pujian, didiskriminasi atas sebab status sosioekonominya yang rendah, disingkirkan atau dihalau dari memasuki kelas, dirotan oleh guru dan sebagainya lagi (Neubeck & Neubeck, 1999). Kelemahan gabungan di antara masalah keluarga dan masalah di sekolah ini seperti ini akhirnya akan menyebabkan remaja cenderung lari dari rumah bagi menghilangkan tekanan yang dihadapi oleh mereka.          

Sebenarnya banyak lagi punca yang menyebabkan mengapa golongan belia atau remaja lari dari rumah antaranya ialah seperti terpengaruh dengan budaya barat yang mengagung-agungkan konsep liberalisme atau kebebasan dalam kehidupan sosial, remaja-remaja di luar negara khususnya di barat dilihat bebas untuk mengamalkan cara hidup mereka mencari hiburan sehingga sanggup meninggalkan rumah. Punca lainnya ialah seperti kurangnya pegangan agama dimana remaja sanggup meninggalkan rumah tanpa memaklumkan kepada ibu bapa, tindakan remaja seperti ini dilihat tidak menghormati ibu bapa. salah satu isu yang menarik disini ialah mungkin ada yang mengaitkan status sosioekonomi keluarga yang rendah juga sebagai punca berlakunya kes lari dari rumah ini. Menurut Santrock (2005), masalah lari dari rumah di kalangan remaja tidak semuanya berlaku di kalangan masyarakat yang mempunyai status sosioekonomi yang rendah, sebaliknya ia berlaku atas kemahuan remaja sendiri akibat daripada beberapa masalah lain yang timbul seperti masalah dalam keluarga. Bagi remaja yang hidup dalam status sosioekonomi yang sederhana, lari dari rumah adalah merupakan sebagai satu cara mereka lari daripada ibu bapa yang dirasakan bersikap hipokrit dimana masyarakat memandang mereka sebagai keluarga yang memegang nilai moral yang tinggi, namun sebaliknya apa yang berlaku ialah remaja tersebut hidup dalam suasana keluarga yang longgar daripada apa yang dianggap sebagai keluarga yang ideal.      

4.0 Kesan dan risiko remaja yang terbabit dalam masalah lari dari rumah

Golongan belia atau remaja yang lari dari rumah akan menyebabkan beberapa kesan buruk berlaku khususnya terhadap remaja yang lari tersebut. Kajian yang dijalankan sebelum ini mendapati beberapa masalah yang akan timbul apabila remaja lari dari rumah, kebanyakan remaja yang lari dari rumah cenderung melibatkan diri dengan penyalahgunaan bahan, mereka didapati menghisap rokok, meminum alkohol dan menyalahgunakan beberapa jenis dadah berbanding remaja yang tidak terlibat dengan masalah lari dari rumah (Grenee, Ennet, & Ringwaltz, 1997).

Remaja yang lari dari rumah akan mengalami risiko penyalahgunaan bahan dan juga jenayah keganasan lain. Remaja lazimnya akan mudah terperangkap dengan masalah-masalah seperti dadah, alkohol, jenayah, pelacuran, pornografi dan sebagainya lagi. Situasi seperti ini berlaku apabila remaja lari dari rumah, remaja menjadi bebas tanpa kongkongan daripada mana-mana pihak termasuklah ibu bapa. kebebasan itulah yang menyebabkan remaja akan cuba mencari keseronakan bersama-sama rakan sebaya mereka. Hal ini menyebabkan remaja mudah terdedah dengan pengambilan pelbagai jenis dadah seperti syabu, ganja, pil ecstacy, heroin dan sebagainya lagi. Salah satu jenis dadah yang sering disalahgunakan oleh remaja ialah syabu atau istilah lainnya dipanggil sebagai “Ice”, dadah ini adalah merupakan sejenis dadah perangsang methamphetamine yang paling popular disalahgunakan (Clinard & Meier, 2004). Selain itu, remaja seperti ini juga akan cenderung melibatkan diri dengan pengambilan alkohol, pengambilan bahan ini sering dikaitkan dengan tujuan untuk berhibur bersama rakan-rakan yang lain. Kesannya ialah remaja mungkin akan jadi tertagih dengan alkohol sehingga boleh menyebabkan keruntuhan moral dan akhlak di kalangan remaja yang lari dari rumah dan menerima pengaruh-pengaruh seperti ini.

Remaja yang lari dari rumah juga terdedah kepada salah laku atau jenayah yang berkaitan dengan jenayah seksual. Bagi golongan dan remaja yang lari dari rumah khususnya remaja perempuan, mereka akan cenderung melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti pelacuran, pornografi, menjadi mangsa keganasan seks dan sebagainya lagi. Remaja perempuan yang lari dari rumah akan menyebabkan mereka tidak dapat menanggung kos perbelanjaan seharian, situasi seperti ini akan menyebabkan golongan gadis ini terdesak untuk menjual tubuh badan sendiri atau melibatkan diri dengan kegiatan pelacuran dan pornografi, kesan yang paling serius sekali ialah mereka mungkin akan terdedah kepada sindiket-sindiket pelacuran yang menjual gadis tempatan ke luar negara (Loh Kha Bee, 2009). Golongan remaja perempuan yang lari dari rumah juga cenderung menjadi mangsa seksual. Menurut Cauce (2004), remaja perempuan yang lari dari rumah dalam lingkungan umur 13, 14, dan 15 tahun lebih banyak menjadi mangsa seksual berbanding dengan remaja perempuan yang berumur lebih daripada 17 tahun. Ini disebabkan mereka masih belum matang dan tidak mampu mempertahankan diri dalam mengurangkan risiko-risiko yang mungkin mereka akan hadapi. Situasi-situasi seperti ini akan menyebabkan membawa kepada beberapa lagi masalah seperti komplikasi dan gangguan psikologi yang mungkin akan dihadapi oleh golongan belia dan remaja yang terlibat dalam kes lari dari rumah ini.    

Antara kesan komplikasi penyakit yang mungkin dihadapi oleh remaja yang terlibat dalam kes lari dari rumah ini ialah seperti penyakit kelamin, kehamilan di luar perkahwinan, jangkitan penyakit HIV/AIDS dan sebagainya lagi. Penyakit dan masalah ini adalah disebabkan oleh kesan daripada aktiviti sosial yang dijalankan oleh remaja yang lari dari rumah. Penyakit kelamin seperti sifilis adalah merupakan penyakit yang biasa dihadapi oleh mereka yang melakukan hubungan seks tanpa mengambil langkah keselamatan seperti pengunaan sarung kondom, dimana ia adalah merupakan penyakit yang mudah berjangkit kepada remaja yang sering bertukar-tukar pasangan. Kehidupan sosial yang bebas terhadap remaja yang lari dari rumah ini akan menyebabkan beberapa lagi masalah seperti kehamilan di luar perkahwinan, perkara-perkara seperti ini sudah tentu akan menyebabkan keruntuhan moral dan akhlak yang berlaku di dalam masyarakat. Akhir sekali ialah remaja seperti ini akan mudah terdedah kepada penyakit serius seperti AIDS pembawaan virus HIV. Berdasarkan satu kajian yang dijalankan terhadap golongan remaja yang lari dari rumah ini, dilaporkan bahawa remaja lelaki dan remaja perempuan yang menjadi mangsa seksual didapati lebih berisiko menghidapi penyakit pembawaan HIV berbanding daripada remaja yang bukan merupakan mangsa seksual (Grenee, Ennet, & Ringwaltz, 1999).

Selain itu remaja yang lari dari rumah juga cenderung menghadapi masalah dari sudut psikologikal seperti kemurungan, tekanan, kecelaruan tingkah laku, mencederakan diri sendiri dan akhirnya melakukan percubaan membunuh diri. Masalah psikologi yang dihadapi oleh mereka ini mungkin disebabkan oleh masalah yang timbul akibat daripada tindakan mereka yang lari dari rumah. Lazimnya perasaan-perasaan seperti rasa menyesal, menyalahkan diri sendiri dan menyalahkan nasib yang menimpa dirinya akan memberikan kesan terhadap emosi remaja. Sebagai akibatnya remaja-remaja seperti ini akan mengalami kecelaruan yang disebut sebagai proses pencacatan-kendiri (self-mutilation), pencacatan-kendiri adalah merujuk kepada tindakan menyakiti atau mencederakan diri sendiri. kajian yang dijalankan sebelum ini mendapati bahawa sebanyak 69 peratus daripada remaja yang terlibat dalam masalah lari dari rumah adalah mereka yang didapati mengalami masalah pencacatan-kendiri, iaitu salah satu masalah psikologi yang akan memberi kesan terhadap kesihatan fizikal mereka. Kajian ini juga mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang ketara dari segi jumlah bilangan remaja lelaki dan remaja perempuan lari dari rumah yang menghadapi kecelaruan pencacatan-kendiri (Tyler, et al., 2003).       

5.0 Langkah mengatasi remaja lari dari rumah dan intrevensi yang berkaitan

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil sebagai cara untuk membendung remaja daripada terlibat dengan masalah dan kes lari dari rumah. Salah satu langkah mengatasi masalah ini ialah dengan memperkukuhkan institusi kekeluargaan. Kita sedia maklum bahawa salah satu punca utama yang menyebabkan remaja lari dari rumah adalah disebabkan oleh masalah keluarga yang berlaku di dalam rumah. Bagi mengelak anak-anak atau remaja lari dari rumah, ibu bapa sepatutnya haruslah memahami perasaan anak tentang apa yang mereka inginkan dan apa yang diperlukan oleh mereka dari sudut pendekatan emosi dan psikologikal dan bukannya dengan hanya memberikan anak-anak keperluan material semata-mata. Ibu bapa seharusnya sedar dan tidak menganggap bahawa dengan hanya memberi keperluan material seperti memberi mereka wang, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya sudah cukup menjadikan anak-anak mereka berasa bahagia. Sebenarnya anak-anak atau remaja juga menginginkan keperluan dari sudut psikologi seperti keperluan keselamatan dan dimiliki, keperluan kepada autonomi, keperluan kompentensi perasaan dan penghargaan kendiri serta keperluan untuk difahami (Neubeck & Neubeck, 1999). Jika ibu bapa mengambil berat terhadap perkara-perkara ini sudah tentu remaja tidak akan memberontak sehingga sanggup lari dari rumah. Ibu bapa seharusnya melibatkan diri sepenuhnya dengan mengambil tahu masalah anak-anak mereka. Kasih sayang dan kemesraan daripada ibu bapa sudah tentu dapat memberikan kebahagiaan kepada anak-anak sekaligus mengelak mereka daripada terjerumus ke dalam masalah lari dari rumah. 

Langkah yang kedua ialah dengan memantau peranan yang dimainkan oleh rakan sebaya. Ibu bapa seharusnya mengambil tahu pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka. Hai ini adalah untuk memastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan rakan sebaya yang tidak baik. Kita sedia maklum bahawa rakan sebaya adalah merupakan individu yang paling rapat dengan remaja, oleh itu remaja akan cenderung terikut dengan tingkah laku yang dilakukan oleh rakan sebaya tidak kiralah tingkah laku dan perbuatan itu baik atau tidak. Menurut Newman (1980), remaja lazimnya akan membuat persepsi bahawa rakan sebaya adalah satu-satunya kumpulan yang wujud, dimana rakan sebaya dipersepsikan sebagai tempat dimana remaja menyempurnakan keperluan sosial mereka dan memberi mereka satu perasaan dihargai. Dalam hai ini katakanlah remaja tersebut menghadapi konflik dengan ibu bapa ini menyebabkan remaja tersebut tidak teragak-agak untuk lari dari rumah dan pergi ke tempat rakan sebaya mereka. Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa seharusnya tahu anak-anak mereka berkawan dengan siapa dan menghalang mereka bersahabat dengan rakan sebaya yang tidak baik.

Satu lagi cara untuk mengatasi remaja lari dari rumah ialah melalui peranan yang dimainkan oleh masyarakat. Dalam hal ini pihak-pihak yang berkait secara langsung dengan remaja seperti guru-guru di sekolah dan jiran-jiran seharusnya bersama-sama membendung masalah ini. Unit-unit masyarakat seperti kaunselor dan guru-guru di sekolah perlu memainkan peranan penting dalam mengesan pelajar bermasalah kerana mereka cenderung untuk melarikan diri dari rumah, pihak-pihak itu seterusnya perlu cuba untuk mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah ini. Selain itu terdapat juga beberapa langkah yang boleh diambil oleh unit-unit masyarakat yang lain seperti jiran tetangga untuk bersama-sama membendung masalah ini. Jiran tetangga seharusnya perlu menanam semula nilai hidup kolektivisme dimana masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran lain boleh diselesaikan secara bersama-sama. Dalam hal ini masyarakat tidak boleh berpeluk tubuh sahaja membiarkan remaja hanyut dan terjebak dengan masalah sosial seperti ini.

Seterusnya ialah peranan yang dimainkan oleh media. Media memainkan peranan penting dalam perkembangan remaja yang boleh memberi kesan positif dan juga kesan negatif, media membantu dalam mendapatkan maklumat berguna yang berguna kepada kita, namun sebaliknya media juga boleh memberi kesan yang negatif. Remaja biasanya akan mudah terpengaruh dengan aksi-aksi negatif yang sering dipaparkan dalam media tidak kira sama ada yang dipaparkan dalam media elektronik seperti televisyen mahupun media bercetak seperti majalah dan sebagainya lagi. Sebagai contohnya apabila remaja menonton filem-filem barat yang memaparkan kehidupan-kehidupan remaja barat yang berpusatkan kepada kebebasan dan keseronokan sehingga ada yang sanggup lari dari rumah, remaja-remaja tempatan cenderung terpengaruh dengan budaya kehidupan mereka. Dalam situasi ini ibu bapa seharusnya memantau dan mengawasi aktiviti anak-anak dalam perkara ini, contohnya ialah memberi bimbingan kepada anak-anak semasa menonton sesuatu rancangan televisyen dimana terdapat beberapa perkara dan maklumat negatif yang perlu dielakkan daripada terus sampai kepada anak-anak.

Akhir sekali ialah langkah-langkah yang dijalankan oleh institusi-institusi yang terlibat dalam kemasyarakatan. Pada masa kini terdapat beberapa institusi telah ditubuhkan yang berfokuskan kepada golongan belia khususnya terhadap remaja. Institusi atau pertubuhan yang ditubuhkan melalui agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan ini membantu mengelak golongan remaja di negara ini terbabit dengan masalah-masalah sosial seperti masalah lari dari rumah ini. Institusi seperti ini juga perlu menggalakkan lebih ramai lagi remaja untuk menyertai program atau aktiviti yang dianjurkan. Program seperti bengkel kepimpinan, ceramah, kem perkhemahan, aktiviti sukan, aktiviti keagamaan, aktiviti kemasyarakatan, khidmat sosial komuniti dan sebagainya lagi dapat memberi manfaat yang berguna kepada remaja sekaligus dapat mencegah remaja terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat, hal ini kerana masa yang ada lebih ditumpukan kepada kegiatan yang berfaedah berbanding kegiatan yang tidak berfaedah.        

6.0 Statistik-statistik yang berkaitan dengan kes remaja lari dari rumah

Berdasarkan statistik pada tahun 2009, kebanyakan remaja lari dari rumah adalah disebabkan oleh faktor mengikut kekasih. Dianggarkan sebanyak 99.9 peratus orang hilang atas sebab mengikut kekasih adalah terdiri daripada golongan perempuan, namun begitu terdapat juga kes dimana golongan belia lelaki yang lari dari rumah mengikut kekasih. Kesemua kes tersebut adalah melibatkan bumiputera bukan Islam. Salah satu fakta yang menarik disini ialah kebanyakan kes lari atau kes golongan perempuan dilarikan oleh teman lelaki adalah golongan remaja yang berusia dalam lingkungan 12 hingga 15 tahun.

 Berdasarkan statistik yang diterima daripada pihak polis pula, kes berkaitan dengan lari dari rumah menunjukkan sebanyak 2, 540 kes adalah disebabkan oleh faktor lari bersama teman lelaki, 1 857 kes disebabkan oleh faktor terpengaruh dengan rakan-rakan, sebanyak 1 529 kes disebabkan oleh faktor masalah dalam keluarga dan sebanyak 1 371 lagi lari dari rumah disebabkan oleh faktor ingin kebebasan. Daripada jumlah kes tersebut, didapati bahawa remaja Melayu adalah golongan yang paling ramai sekali terlibat dalam kes lari dari rumah iaitu 10, 489 kes jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain. Analisis yang dibuat menunjukkan bahawa faktor terpengaruh dengan rakan-rakan adalah faktor utama remaja Melayu terlibat dengan kes lari dari rumah manakala bagi remaja Cina pula, faktor utama yang menyebabkan mereka terlibat dengan kes lari dari rumah adalah disebabkan oleh faktor masalah dalam keluarga (Loh Kha Bee, 2009).       

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Institut Sosial Malaysia (ISM) di sebuah pusat kebajikan dan perlindungan di ibu negara, rata-rata remaja yang ditemui dan ditemubual mengaku lari dari rumah di antara tiga hingga empat kali, terdapat juga remaja yang mengakui bahawa mereka lari dari rumah sehingga tujuh kali dalam satu tempoh tertentu. daripada maklumat tersebut didapati bahawa 70 peratus daripada mereka lari dari rumah adalah bertujuan menjalankan aktiviti lepak bersama rakan-rakan dengan berjalan-jalan tanpa hala tuju. Kira-kira 10 peratus daripada jumlah remaja yang ditemui tersebut pula mengakui melakukan aktiviti-aktiviti negatif yang lebih serius, contohnya seperti menghidu gam bersama rakan-rakan.

7.0 Teori-teori psikologi/sosiologi yang berkaitan dengan masalah remaja lari dari rumah

7.1  Teori pembelajaran

Sutherland (1992) (dlm. Clinard & Meier, 2004), telah menjelaskan bahawa tingkah laku devian adalah disebabkan oleh pembelajaran dan bukannya disebabkan oleh faktor-faktor seperti kurangnya kecerdasan, masalah dalam fungsi otak dan sebagainya. Salah satu teori yang dikaitkan dengan teori pembelajaran dan tingkah laku devian ini ialah teori peneguhan (Reinforcement Theory) yang dikemukakan oleh Akers (1985, 1998). Beliau menerangkan bahawa tingkah laku devian adalah disebabkan oleh pembelajaran berasaskan peneguhan atau ganjaran.

Bagi situasi masalah remaja lari dari rumah ini, remaja yang terlibat dalam kegiatan ini mereka mempelajarinya melalui saluran-saluran media massa seperti dalam televisyen dan media cetak yang lain. Apabila mereka mengetahui kisah-kisah tersebut seperti filem barat yang memaparkan mengenai kehidupan remaja di sana, mereka mendapati bahawa lari dari rumah ini boleh membawa kepuasan dan kebebasan yang lebih kepada remaja berbanding duduk di rumah tinggal bersama dengan keluarga. Sebenarnya terdapat elemen peneguhan dalam situasi ini iaitu kebebasan yang mereka akan alami apabila mereka lari dari rumah. 

Keadaan seperti ini dapat dikaitkan dengan pembelajaran pemerhatian yang diutarakan oleh Albert Bandura. Menurut Ma’rof dan Haslinda (2003), pembelajaran pemerhatian dinamakan sebagai “permodelan” dimana ia terhasil apabila manusia memerhatikan tingkah laku orang lain dan mencatatkan konsekuen tingkah laku tersebut. Dalam situasi ini remaja tempatan boleh dikatakan menjadikan remaja barat sebagai model mereka. Remaja akan menjadi terikut-ikut dengan cara hidup dan prinsip kebebasan atau liberalisme yang diamalkan dalam masyarakat barat tersebut.

7.2  Teori kawalan

Teori yang mula diutarakan oleh Kornhauser (1978), menerangkan bahawa tingkah laku devian adalah disebabkan oleh kekurangan kawalan terhadap individu daripada kumpulan-kumpulan tertentu seperti keluarga, komuniti ataupaun masyarakat yang hidup bersama-sama dengan individu tersebut. Hirschi (1969) (dlm. Clinard & Meier, 2004), telah mengemukakan istilah ‘ikatan’ (Bond) yang yang mengandungi empat perkara iaitu kedekatan (attachment), komitmen (commitment), penglibatan (involvement), dan kepercayaan (belief). Kesemua perkara tersebut dapat menghindari tingkah laku devian, jika perkara tersebut tidak berlaku maka tingkah laku devian akan berlaku.

Dalam situasi masalah remaja lari dari rumah ini, remaja yang tidak mendapat kawalan sepatutnya daripada kumpulan tertentu seperti daripada ahli keluarga akan mudah terjebak dengan masalah sosial ini. Sebagai contoh disini, seseorang remaja tersebut mempunyai keinginan untuk mencari kebebasan dan ingin lari daripada kongkongan ibu bapa di rumah serta ingin lari daripada tekanan-tekanan yang dihadapi dalam keluarganya, dalam masa yang sama pula kawalan dan perhatian daripada ahli keluarga indvidu tersebut adalah kurang, keadaan ini akan menyebabkan remaja tersebut mengambil kesempatan ini untuk lari dari rumah.

Kawalan daripada kumpulan yang mempunyai kedekatan dengan remaja tersebut sebenarnya sangat penting kerana ia dapat mengelak individu tersebut daripada terlibat dengan masalah lari dari rumah di samping menyediakan sokongan sosial kepada anak-anak. Hal ini kerana kumpulan tersebut seperti ahli keluarga, saudara mara, jiran dan sebagainya dapat membetulkan apa sahaja perkara yang salah yang dilakukan oleh remaja seperti ini. Misalnya dalam situasi tadi, ahli keluarga seperti ibu bapa seharusnya memberi nasihat kepada remaja tersebut bahawa lari dari rumah boleh membawa keburukan kepada diri sendiri. Namun apa yang sebaliknya berlaku pada masa kini ialah ibu bapa hanya mementingkan aspek emosi dan material mereka sendiri sehingga akhirnya mereka gagal untuk memberi anak-anak mereka perhatian dan apa yang mereka perlukan (Santrock, 2007). Situasi seperti ini menyebabkan aspek kawalan dalam keluarga itu menjadi longgar sehingga menyebabkan remaja terbabit dalam masalah ini.

7.3  Teori labelan

Teori yang diperkenalkan oleh Becker (1963) menerangkan bahawa tingkah laku devian adalah disebabkan oleh tindakan kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat yang menetapkan peraturan dan kebenaran kepada orang yang melakukan kesalahan (Clinard & Meier, 2004). Tindakan melabel seseorang seseorang sebagai pesalah akan menyebabkan orang yang dilabel sebagai pesalah itu kehilangan semangat untuk mencapai penyempurnaan kendiri dan berasa putus asa, walaupun mereka telah insaf dengan kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka.

Masalah remaja lari dari rumah ini juga boleh dikaitkan dengan teori labelan ini. Sebagai contoh dalam situasi ini, terdapat kelompok tertentu yang terus melabel remaja yang telah insaf dan sedar akibat kesilapan mereka mengambil kerputusan untuk lari dari rumah. Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan mereka berasa berputus asa dengan sikap orang-orang seperti ini. Walaupun mereka telah berazam untuk mengubah cara hidup mereka dan tidak ingin melakukan perbuatan itu lagi, namun labelan yang dikenakan terhadap mereka ini menyebabkan mereka merasakan seolah-olah masyarakat tidak mahu menerima diri mereka. Labelan yang dikenakan juga boleh melibatkan terhadap orang-orang terdekat remaja yang lari dari rumah itu, sebagai contoh label turut dikenakan terhadap keluarganya seperti melabel ibu bapa remaja tersebut kerana tidak mampu menjaga anak-anak mereka dengan baik. Keadaan seperti ini boleh menyebabkan remaja ini berasa malu, mereka tidak berpuas hati dengan labelan yang dikenakan terhadap dirinya dan keluarganya, sebagai tindak balasnya remaja terus mengulangi tingkah laku lari dari rumah.

Tindakan melabel remaja ini merupakan faktor mengapa remaja lari dari rumah. Sebagai contohnya di sekolah tindakan guru-guru melabel secara negatif kepada pelajar akan menyebabkan pelajar tersebut menghadapi tekanan sehingga sanggup lari dari rumah (Neubeck & Neubeck, 1999). Situasi-situasi seperti ini menjelaskan menunjukkan kepada kita bahawa pengaruh labelan atau stigma yang diberikan kepada seseorang remaja akan menyebabkan mereka cenderung terjebak dengan masalah sosial seperti dalam masalah lari dari rumah ini.  

8.0 Kesimpulan

Secara kesimpulannya isu berkenaan remaja lari rumah ini telah mendatangkan beberapa masalah tehadap golongan belia dan remaja yang terdapat di negara ini. Kes-kes remaja lari dari rumah semakin hari semakin membimbangkan kita. Apa yang diharapkan ialah majoriti golongan remaja di negara ini tidak terjerumus dengan masalah-masalah sosial seperti ini, kita sedia maklum bahawa golongan ini adalah merupakan bakal pemimpin pada masa akan datang yang mana menjadi modal insan untuk mengerakkan pelbagai aspek pembangunan dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya lagi. Jika kebanyakan remaja pada masa kini tenggelam dengan masalah seperti ini, maka sudah tentu negara kita akan ketandusan golongan pemimpin pada masa akan datang. Oleh itu penulisan berkenaan remaja yang terlibat dengan kes lari rumah ini telah membincangkan aspek-aspek ini dari pelbagai sudut. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti menyebabkan remaja terlibat dengan masalah ini, kesannya banyak kesan-kesan negatif yang mungkin dihadapi oleh remaja yang terlibat dalam kes lari dari rumah ini. Risiko-risiko yang dihadapi oleh remaja ini perlu diatasi melalui beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Program-program intrevensi yang dijalankan diharapkan dapat membantu usaha-usaha yang dijalankan bagi mencegah golongan remaja terjebak dalam masalah kes lari dari rumah ini. Dari sudut psikologikal dan sosiologikal pula terdapat beberapa teori yang dikenal pasti boleh dikaitkan dengan tingkahlaku lari dari rumah di kalangan remaja ini.     

Rujukan

Cauce, A. M. (2004). Homeless, Runaway & Throwaway Youth: Sexual Victimization and the Consequences of Life on the Streets. Diterima pada — Ogos 2010, daripada http://www.wcsap.org.pdf

Clinard, M. B., & Meier, R. F. (2004). Sociology of Deviant Behavior. (12th ed). United States: Wadsworth/Thomson Learning, Inc.

Grenee, J. M., Ennet, S. T., & Ringwaltz, C. L. (1997). Substance use among runaway and homeless youth in three national samples. Diterima pada  — Ogos 2010, daripada http://www.ncbi.nlm.nih.gov

Grenee, J. M., Ennett, S. T., & Ringwaltz, C. L. (1999). Prevalence and Correlates of Survival Sex Among Runaway and Homeless Youth. Diterima pada — Ogos 2010, daripada http://www.ncbi.nlm.nih.gov

“Lari dari rumah”. (atas talian). http://www.infosihat.gov.my/Penyakit/Remaja/php. Diterima pada — Ogos 2010.

“Lima kategori lari dari rumah untuk mencari kebebasan luar”. (atas talian). http://www.bharian.com.my/bharian/html. Diterima pada — Ogos 2010.

Loh Kha Bee. (2009). Lari dari rumah. Diterima pada — Ogos 2010, daripada http://www.smkdds.com.ppt.

Ma’rof Redzuan & Haslinda Abdullah. (2003). Psikologi. (2nd ed). Universiti Putra Malaysia. Shah Alam: Mc Graw Hill.

Neubeck, K. N., & Neubeck, M. A. (1999). Social Problems A Critical Approach. (4th ed). New York: Hill Companies, Inc.

Santrock, J. W. (2007). Adolescence. (11th ed). New York: Mc Graw Hill.

Tyler, K. A., Whitbeck, L. B., Hoyt, D. R., & Johnson, K. D. (2003). Self-Mutilation and Homeless Youth: The Role of Family Abuse, Street Experiences, and Mental Disorders. Diterima pada  — Ogos 2010, daripada http://www.wcsap.org/pdf

Disediakan oleh:

A. Rahman A. N. (Ogos, 2010).

About these ads

Trackbacks & Pingbacks

Komentar

  1. * Moni says:

    Tetapi kebanyakan remaja yg lari dri rumah di babkan oleh bebelan2 bapa@ibu remaja tak tahan mendengar

    | Balas Dikirim 1 year, 7 months ago


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: